MOTOSIKAL meragam sememangnya menguji kesabaran, apatah lagi dugaan berlaku di lebuh raya pada awal pagi. Bayangkan jam menunjukkan pukul 2.30 pagi di lebuh raya yang sunyi, pengguna jalan raya yang lalu biasanya tidak akan berhenti sesuka hati kerana bimbang risiko disamun atau berlaku perkara lain yang tak diingini. Namun, seorang pemuda malang yang motosikalnya meragam dipertemukan dengan seorang pelajar dan rakannya yang melalui lebuh raya berdekatan Plaza Tol Sungai Dua, berhampiran Butterworth, Pulau Pinang. ARTIKEL BERKAITAN: Motor rosak tengah jalan tak sempat ambil pesanan roti canai… “Mujur ada abang ni walaupun tak kenal tapi macam adik-beradik” ARTIKEL BERKAITAN: Kereta Exco KLFA tersadai tepi MRR2, mujur abang Foodpanda bagi servis 5 bintang, “Bukan sebab makanan tapi...” Pelajar berkenaan, Mohamad Shawalmin Md Sofi ketika ditanya mengenai perkongsiannya yang tular di halaman Facebook berkata, ketika kejadian pada awal pagi Isnin, dia menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari Sungai Petani, Kedah ke rumahnya di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Sepanjang perjalanan melalui Jambatan Pulau Pinang, Mohamad Shawalmin membantu menolak motosikal Muhammad Abdul Fattah yang rosak. Pelajar berusia 21 tahun itu memberitahu, dia dan rakannya menyedari ada seorang penunggang motosikal berhenti di tepi lebuh raya, selepas berada kira-kira 100 meter di depan. “Kami patah balik dan tegur brother ni. Rupa-rupanya motor ada masalah. Dia kata dah lebih dua jam tunggu, tapi tak ada seorang pun berhenti tanya khabar. “Mulanya, saya cadang untuk tolak motor dia ke Sungai Dua sebab dah dekat dengan rumah kawan, dan boleh cari mekanik di sebelah siang, tapi dia kata jauh dan tak ada kenderaan lain. “Jadi, saya bantu tuntun motor dia sampai rumah sewa dia kat Air Itam, George Town, Pulau Pinang. Lebih 20 kilometer juga untuk tolak lalu Jambatan Pulau Pinang hingga ke Air Itam,” katanya kepada mStar. Allah tengok sejauh mana kita boleh tolong hamba Allah yang dalam kesusahan macam ni. Dalam perjalanan dia untuk mencari rezeki demi ahli keluarganya yang ramai, dia diduga pula. MOHAMAD SHAWALMIN Sampai di Air Itam, Mohamad Shawalmin berkata, pemuda yang dibantu, Muhammad Abdul Fattah Araman, 21, kelihatan penat dan lesu kerana belum makan selain menunggu lama di tepi lebuh raya. “Jadi, saya bawa dia makan di restoran berhampiran. Semasa makan tu, katanya dia merantau untuk mencari rezeki untuk tujuh adik-beradik dan mak ayahnya di kampung di Kedah. “Sudahlah motor rosak tengah malam, nak kena kerja sampai pukul 8 pagi. Saya hanya tolong setakat yang termampu,” ujar Mohamad Shawalmin sambil menambah bahawa Muhammad Abdul Fattah melakukan kerja-kerja pendawaian. Muhammad Abdul Fattah terpaksa menunggu lebih dua jam di tepi lebuh raya selepas motosikalnya mengalami kerosakan. Pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Balik Pulau itu berkata, walaupun tidak pernah mengalami nasib seperti Muhammad Abdul Fattah, tetapi seorang rakan sekolejnya sering terkandas di lebuh raya dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang kerana motosikal rosak. “Kalau saya jadi Fattah, saya tak boleh bayangkan apa yang akan berlaku. Mungkin dia tak ada rakan-rakan rapat lain yang tinggal berdekatan sebab rakan serumahnya masuk hospital selepas cedera akibat terjatuh semasa bekerja. “Memanglah kalau jumpa motor rosak tepi jalan, lebih-lebih lagi malam tak ada siapa yang berani tegur sebab takut kena samun. “Tapi tolong-tolonglah berhenti tanya khabar. Kalau orang tu berniat jahat, ingat Allah... ikhlas membantu keranaNya, insyaAllah kita akan dilindungi,” ujar anak kedua daripada tiga beradik itu. Mohamad Shawalmin yang mengikuti jurusan Diploma Teknologi Kejuteraan Mekatronik Industri itu berkata, dugaan bukan hanya terjadi pada pemuda yang ditemuinya di tengah lebuh raya itu, tetapi ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. “Allah tengok sejauh mana kita boleh tolong hamba Allah yang dalam kesusahan macam ni. Dalam perjalanan dia untuk mencari rezeki demi ahli keluarganya yang ramai, dia diduga pula. Hari ni hari dia, esok lusa mungkin kita pula,” katanya.