JODOH, pertemuan, ajal dan maut itu ketentuan Ilahi. Kita manusia hanya mampu merancang tapi hakikatnya Tuhan yang menentukan. Begitu juga dengan sekeping gambar yang dikongsi di media sosial sehingga menjadi tular, membangkitkan persoalan dan pemahaman yang berbeza dalam kalangan netizen. Timbul perasaan bercampur baur apabila dua rumah yang berjiran bersebelahan di sebuah pangsapuri mengalami dua situasi berbeza, iaitu kegembiraan berlangsungnya majlis pertunangan dan kesedihan pemergian insan tersayang. “Sebelah majlis tunang, sebelah orang meninggal dunia. Waktu yang sama tapi situasi dan emosi yang berbeza,” demikian menurut perkongsian seorang pemuda di laman sosial Twitter sehingga diulang kicau lebih 22,000 kali. ARTIKEL BERKAITAN: Sumbang dana tertinggi projek urus jenazah, kongsi 'posting' persiapan ke kubur... tak lama kemudian lelaki ini meninggal dunia ARTIKEL BERKAITAN: Setiap tahun wanita India ini tak pernah ‘missed’ datang surau, “Dia sedekah, hantar borang minta buat tahlil...” “Kedua-duanya rahsia Allah... yang bezanya ialah mana satu kita akan jumpa dulu... jodoh atau ajal,” tulis seorang netizen memberikan pandangan. “Tahniah kepada pasangan. Al-Fatihah untuk arwah,” kata seorang netizen. Perkongsian Azman di laman sosial mengundang konflik dalam kalangan netizen. “Inilah yang dikatakan perkara yang tak dapat dielakkan,” ujar seorang lagi netizen. “Sabarlah... kematian bukan dirancang.... majlis tunang memang lama dah dirancang. Jadi, teruskan je perkahwinan tu. Cuma jangan ada hiburanlah. Hormat juga orang sebelah yang dalam kesusahan,” katanya. “Majlis tunang ada persiapan berminggu dan mungkin berbulan awal. Kematian datang bila-bila masa saja. Mungkin jiran tu pun rasa ralat tapi nak buat macam mana? Majlis mesti diteruskan. Mesti lepas tu dia pergi ziarah jiran dia yang ada kematian tu pula,” ujar seorang netizen yang memahami keadaan dialami kedua-dua jiran. Bercakap kepada mStar, pemuda yang membuat perkongsian itu di laman sosial berkata, kejadian berlaku di kawasan perumahan bapa saudaranya di Johor Bahru, Johor, minggu lalu. Hanya mahu dikenali sebagai Azman, pemuda berusia 26 tahun itu berkata, bapa saudaranya merupakan tuan rumah bagi majlis pertunangan anaknya yang juga sepupu Azman. Komen netizen mengenai jodoh dan ajal. Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa kematian jiran hanya diketahui sewaktu majlis pertunangan hampir melabuhkan tirai, dengan kedatangan pegawai perubatan. “Semasa kami hendak makan untuk menutup majlis, dua pegawai perubatan dari hospital datang ke rumah jiran. Kami pun pelik, tapi rupa-rupanya mereka datang untuk mengesahkan kematian jiran. “Jadi, pakcik saya ke rumah sebelah dan dapat tahu ada orang meninggal. Pakcik saya segera bersiap untuk sediakan persiapan jenazah di surau kawasan itu,” katanya, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kematian jiran berkenaan demi menghormati keluarga arwah. Pakcik saya ke rumah sebelah dan dapat tahu ada orang meninggal. Pakcik saya segera bersiap untuk sediakan persiapan jenazah di surau kawasan itu. AZMAN Azman berkata, bapa saudaranya merupakan ahli kariah masjid di kawasan perumahan tersebut dan mengambil inisiatif untuk menguruskan jenazah jirannya. “Pakcik seorang yang baik dan bertanggungjawab, dia uruskan jenazah tersebut. Pakcik tinggalkan majlis anaknya, lagi pun majlis tu dihadiri saudara terdekat saja,” katanya. Pandangan netizen mengenai situasi kedua-dua majlis. Menurutnya, majlis pertunangan berjalan lancar secara kecil-kecilan selama sejam dan semua pihak menghormati situasi yang dialami jiran sebelah. “Majlis anaknya diwakilkan pakcik yang lain dan berlangsung dengan baik. Tengah hari dah selesai antara pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari, satu jam saja. “Kedua-dua majlis pertunangan dan proses menguruskan jenazah berjalan lancar,” tambahnya. Azman terharu dengan sikap bapa saudaranya kerana prihatin dan bertanggungjawab membantu jiran sekeluarga yang menyewa, dengan tampil menguruskan jenazah. “Dia tahu mereka tu penyewa dan kurang tahu nak rujuk kepada siapa. Jadi, pakcik saya ambil inisiatif untuk bantu keluarga arwah. Satu sikap yang harus dipuji,” katanya.