suria

Guru dikecam beri sumbangan snek, coklat mahal untuk orang susah! “Aku letak diri aku sebagai penerima”

Antara sumbangan yang mendapat teguran rakan-rakan guru, Mohd Fadli (gambar kecil). Foto Facebook Mohd Fadli Salleh

SIKAP pemurah seharusnya dipuji, ibarat kata pepatah 'tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima'.

Begitu juga dengan seorang guru yang mana secara individu mahupun berkumpulan tidak putus-putus memberi bantuan kebajikan kepada mereka yang memerlukan.

Namun agihan sumbangannya kali ini menjadi pertikaian rakan-rakan kerana antara barang yang dibelinya mahal harganya, malah ia bukan barangan keperluan.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Selepas 9 Tahun, Akhirnya Dia Merasa Pakai Kasut’

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya terketaq-ketaq tak pernah dapat hadiah” - Itulah hikmah pemuda berhutang beri makan haiwan jalanan

“Minggu lepas, aku buat agihan barang dapur kepada 20 orang jaga sekolah, antara barang yang aku beri ialah Mister Potato

“Hari ini, agihan untuk beberapa keluarga pula. Aku beli coklat Cadbury dan Toblerone untuk mereka,” katanya menerusi perkongsian di halaman Facebooknya yang menjadi tular.

Sumbangan kebajikan yang rare itu menyebabkan beberapa rakannya menegur, dengan menyatakan alangkah baik sekiranya dia membeli barang-barang yang lebih bermanfaat.

Guru berkenaan, Mohd Fadli Salleh bagaimanapun tidak cepat melatah, sebaliknya hanya tersenyum. Ada teguran yang dibalasnya dengan baik, dan ada yang tidak.

“Begini kawan-kawan, aku jelaskan. Sesekali memang aku nak gembirakan mereka dengan coklat mahal dan elok. Sesekali apa salahnya.

“Mereka juga nak merasa benda-benda begini. Namun kalau harapkan duit sendiri dan duit gaji mereka, memang taklah. Mereka akan pendam perasaan itu dan buang jauh-jauh,” katanya.

 Walau terasa nak minum bersusu, mereka bercatu. Jarang-jarang beli susu. Baik beli gula. Jimat begitu. Jadi sesekali ziarah, aku akan bawa makanan sebegini.

MOHD FADHLI

Bukan tiada keinginan, namun Mohd Fadli memberitahu, mereka lebih memilih untuk berjimat-cermat daripada berbelanja mewah menggunakan wang sendiri.

“Mereka beli apa yang perlu sahaja. Walau terasa nak minum Nescafe, mereka beli teh sahaja. Walau terasa nak minum bersusu, mereka bercatu. Jarang-jarang beli susu. Baik beli gula. Jimat begitu.

“Jadi sesekali ziarah, aku akan bawa makanan sebegini. Mister Potato, coklat, air Ribena, air kotak, air Bliss dan seumpamanya, sesekali,” ujarnya.

Tambahan pula, kunjungannya ke rumah mereka hanya antara lima dan enam kali setahun, dan dalam tempoh itu sekali atau dua kali sahaja diselitkan makanan ‘keseronokan’ itu.

“Agar sesekali mereka dapat merasa. Agar sesekali mereka bahagia.

“Banyak kali aku terima WhatsApp daripada keluarga asnaf dan mereka yang kurang mampu berbunyi begini, ‘Cikgu, terima kasih kirim barang dapur. Dan terima kasih banyak belikan coklat Ferrero Rocher. Seumur hidup akak, tak pernah akak merasa. Kali ini cikgu bawakan. Terima kasih banyak cikgu. Dapat juga akhirnya akak merasa’,” tambahnya.

Menghargai setiap pandangan dan teguran itu, Mohd Fadli berkata, apa yang cuba dilakukannya itu mungkin dilihat segelintir orang sebagai satu pembaziran.

Namun dia berpandangan bahawa caranya itu perlu diselit sekali-sekala, sebagaimana kita sendiri pun hendak juga merasa sesekali, seperti itulah juga mereka.

“Hendak memberi ni, cuba beri yang terbaik buat mereka. Satu pemberian jika kita pun terima kita akan seronok tidak terhingga.

“Begitulah aku letak diri aku saat membeli. Aku letak diri aku sebagai penerima. Dan barangan apa yang buat aku sangat teruja dan gembira,” kata Mohd Fadli.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain