suria

“Mama jelah sanding nanti, kita nak nikah je” - Anak mulut masin, mak ayah jadi ‘pengantin’ di majlis perkahwinan idamannya

Fatheen dan Amirudin (foto kiri) disatukan sebagai suami isteri pada 31 Ogos lalu. (kanan) Amirudin dimasukkan ke hospital dan perlu menjalani pembedahan pada hari persandingannya. Foto ihsan Fatheen Afiqah Jeffry

DIRAIKAN pada majlis perkahwinan seperti yang diidam-idamkan pastinya menjadi impian semua insan apabila bertemu jodoh.

Namun kita hanya mampu merancang, tapi Tuhan yang menentukan. 

Begitulah yang dialami pasangan pengantin baharu ini apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga pada majlis persandingan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Hantaran hangus sejam selepas siap, tapi semasa kemas rumah pengantin tak sangka terjumpa sesuatu yang istimewa

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kali 'tragedi'! Selepas 5 bulan nikah, pengantin terkejut 'ditenggelamkan' pelamin, bridesmaid... Seminggu sebelum kahwin pun ada kisah tragis

“Kemain vogue lagi eh mama prepare untuk reception. Mama jelah sanding nanti, kita nak nikah je. And betul-betul gais, aku sempat nikah je and mama yang sanding dekat dewan. 

“Apa yang kita cakap tu doa, dah terbukti. Dan doa pasal wedding ni cepat je Allah makbulkan,” menurut perkongsiannya di laman sosial Twitter dan menjadi tular.

Majlis pernikahan Fatheen dan Amirudin.

Pengantin perempuan, Fatheen Afiqah Jeffry, 27, memberitahu bahawa dia dan pasangannya, Amirudin Abdul Kassim, 28, bernikah pada petang 31 Ogos lalu.

Katanya, pada sebelah malam pula adalah raptai untuk majlis persandingan yang dijadualkan berlangsung di Dewan Seri Siantan di Putrajaya.

“Bagaimanapun, masa raptai tu suami saya dah mula sakit perut, dia cuba bertahan tapi sampai awal pagi masih sakit sebelum kami ke klinik dan kemudian ke hospital.

“Berdasarkan pemeriksaan, doktor kata suami mengalami apendiks, dan pembedahan segera perlu dilakukan. Masa tu pukul 7.30 pagi, hanya beberapa jam sebelum nikah.

Fatheen menemani suami di hospital.

“Kami minta tangguh sebab ada majlis persandingan, walaupun doktor kata ia berisiko tetapi bergantung juga kepada persetujuan pesakit,” katanya kepada mStar.

Bagaimanapun, semasa melangkah keluar dari bahagian kecemasan hospital, suami Fatheen meraung kesakitan yang teramat sangat.

“Sakit! Sakit! Itu jeritan suami masa kami baru nak keluar dari hospital. Jadi, doktor kata pembedahan perlu dilakukan segera.

Yang lebih penting adalah kami sudah bernikah, syukur Alhamdulillah. Pasal majlis sanding, itu boleh buat bila-bila kalau nak nanti.

FATHEEN

“Saya hubungi mak ayah untuk beritahu perkara sebenar dan tidak dapat berada pada majlis persandingan. Mereka kata tak apa selesaikan pembedahan dahulu, dan majlis pula perlu diteruskan sebab dah jemput ramai orang.

“Ayah kata majlis persandingan ditukar jadi kenduri makan-makan, dan mereka akan beritahu tetamu mengenai pengantin di hospital sebab ada pembedahan,” katanya.

Ibu bapa Fatheen 'naik pelamin' menarik perhatian.

Majlis perkahwinan bertemakan Inggeris adalah yang diidamkannya, inspirasi daripada perkahwinan pasangan diraja Britain, Putera William dan Kate Middleton pada 2011.

“Masa tu saya masih single, dan belum kenal dengan suami saya. Saya mula kenal suami dua tahun masa kami sama-sama bertugas sebagai guru.

“Siapa yang tak sedih kalau tak dapat berada pada dream wedding kan. Tapi, saya lagi sedih melihat keadaan suami yang sakit. Kesihatan suami harus diutamakan.

“Yang lebih penting juga adalah kami sudah bernikah, syukur Alhamdulillah. Pasal majlis sanding, itu boleh buat bila-bila kalau nak nanti,” ujar anak sulung daripada dua beradik itu.

Ibu bapa Fatheen tidak membiarkan pelamin kosong, demi menggembirakan tetamu yang hadir.

Menurut Fatheen, dia tidak menyangka majlis persandingan tersebut berjalan lancar sebagaimana yang dirancang meskipun tanpa kedua-dua pengantin.

Apa yang paling membuatkannya terharu apabila ibu bapanya tidak membiarkan pelamin itu kosong, sebaliknya berada di situ sambil melayani tetamu.

“Mak cakap dia tak mahu suasana nampak muram. Kalau semua sedih, nanti tak ada orang nak makan. Jadi, kenapa tidak untuk mereka ‘bersanding’ lagi bagi menceriakan keadaan. Terima kasih papa mama!,” kata Fatheen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
sanding, majlis kahwin, apendiks, bedah

Artikel Lain