suria

“Hospital Melaka pun saya boleh mati” - Sanggup ‘gaduh’ dengan doktor nak keluar wad, bapa bagai tahu tempat hembus nafas terakhir

Ayah Faris meninggal dunia pda 26 Ogos lalu di Hospital Melaka.

KEHILANGAN insan bergelar bapa pasti perit untuk ditelan. Lebih memilukan kehilangan itu berlaku semasa percutian keluarga yang sepatutnya menyeronokkan.

Begitulah kisah dilalui Muhammad Faris apabila kehilangan bapa tersayang, Mohd Sharudin Abd Aziz semasa mereka sekeluarga bercuti di Melaka pada 24 hingga 26 Ogos lalu.

Kisah menyayat hati yang dikongsi pemuda berusia 24 tahun itu tular di Twitter dan mengundang simpati netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Sama-sama meninggal sebab strok! Genap 24 jam selepas pemergian bapa, anak tunggal menyusul, “Yon terkejut terus sawan”

ARTIKEL BERKAITAN: Baru 2 hari masuk UiTM, remaja ini terima berita duka dari kampung... jam tangan hadiah terakhir abah buat Ija

Muhammad Faris atau lebih mesra disapa Faris berkata bapanya tetap berkeras mahu pergi bercuti meskipun keadaan kesihatannya tidak begitu memuaskan.

Tweet Faris mendapat lebih 3,000 ulang kicau dan 2,700 tanda suka.

"Percutian kami di Melaka tu sebenarnya apak yang plan. Dia sendiri yang nak pergi mungkin sebab dia bosan selalu duduk dekat rumah sejak sakit ni.

"Tiga hari sebelum pergi bercuti tu dia mengadu sesak nafas. Jadi dia kena tahan wad di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Tapi dia minta keluar wad sehari sebelum kami pergi Melaka.

"Mula-mula tu rasa terkilan sebab masa nak keluar wad tu apak 'gaduh' dengan doktor. Doktor memang tak bagi sebab risaukan kesihatan dia tapi apak berkeras nak pergi juga," katanya kepada mStar.

Faris mendedahkan bapanya itu bagaikan sudah mengetahui Melaka adalah destinasi percutian terakhirnya bersama keluarga dan tempat dia menghembuskan nafas terakhir.

"Apak pernah cakap dekat doktor 'saya ni kat mana-mana je boleh mati... Hospital Kuala Lumpur saya boleh mati... Hospital Melaka pun saya boleh mati.

"Saya terkejut juga bila dia sebut Hospital Melaka tu. Mungkin itu salah satu petunjuk atau pun sekadar kebetulan sahaja," katanya.

Faris sekeluarga berkesempatan makan ikan bakar di sebuah restoran popular di Melaka.

Menurut perkongsian Faris, ketika di Melaka bapanya ada meminta supaya dia mencari rumah kawan lamanya, Sharif, yang terletak di Tesco tetapi malangnya nombor telefonnya tiada dalam simpanan.

Bagaimanapun, berpandukan petunjuk 'Tesco' dan apa yang mampu diingati oleh bapanya, mereka tetap ke kawasan tersebut untuk mencari rumah Sharif tetapi tidak berjaya.

"Akhirnya arwah cakap takpelah mungkin jalan dah berubah. Kami pun balik hotel sebab hari pun dah nak gelap," tulis Faris di bebenang Twitter.

Gambar last yang saya sempat selit tu sebenarnya nak ambil gambar apak dan atok saya. Tapi kebetulan saya ada waktu tu saya masuk sekali.

MUHAMMAD FARIS MOHD SHARUDIN.

Graduan UiTM, Shah Alam.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata sebelum meninggal dunia bapanya turut berkelakuan pelik daripada kebiasaannya.

"Sikap apak memang lain sangat. Dia nak orang ikut cakap dia je samalah masa dia 'gaduh' dengan doktor tu. Bukan dia dengar cakap doktor tapi dia nak doktor ikut cakap dia.

"Masa dekat Melaka dia memang happy. Cuma masa kami pergi makan ikan bakar malam Sabtu tu dia macam nak ikut kehendak dia nak order itu, nak order ini termasuklah ais kosong. Memang saya gaduh juga dengan dia masa tu," katanya.

Gambar Faris bersama bapanya (kiri) buat kali terakhir.

Namun Faris berkata bapanya kelihatan penat sebaik mereka pulang ke hotel selepas berjalan di sekitar bandaraya Melaka.

"Jadi apak, mak, adik dan atok tinggal di hotel manakala kami keluar pergi dinner dan tapau sekali makanan untuk mereka. Baru je sampai kedai, adik call suruh balik cepat sebab ayah sesak nafas.

"Sampai je hotel saya nampak apak dah terbaring dan nafasnya pendek. Dia memang tak sedar masa tu. Masa tu saya ucap kalimah syahadah dekat telinga dia takut jadi apa-apa.

"Sampai hospital ayah terus masuk emergency zon merah. Alhamdulillah masa tu apak sedar lagi. Tapi Isnin tu apak koma tapi saya tenang lagi sebab dia pernah tak sedar selama dua tiga hari dulu," katanya.

Bercerita lanjut, Faris berkata bapanya menghembuskan nafas terakhirnya semasa berada di unit rawatan rapi (ICU) kira-kira pukul 2 petang 26 Ogos lalu.

"Masa sampai ICU tu doktor tak bagi masuk. Ada doktor keluar beritahu keadaan apak sangat tenat. Jantung dia dah berhenti empat kali dan mereka dah buat empat kali CPR. Tapi saya lega apabila doktor cakap Alhamdulillah dah ada nadi.

Gambar konvo bersama arwah bapa dan ibunya pada Mei 2017.

"Tapi waktu tu kami berkumpul di hospital tunggu keadaan apak stabil. Seorang lagi kakak yang tak ikut kami pun datang ke Melaka untuk melawat apak. Bila dia masuk nak tengok apak tiba-tiba dia keluar menangis. Kami semua yang kat luar semua masuklah.

"Datang seorang doktor lelaki check keadaan apak. Dia tengok mesin nadi dan check mata. Lepas tu dia cakap 'pakcik dah tiada'. Kami semua menangis dan masa tu saya macam tak percaya yang apak dah tak ada," katanya.

Faris berkata jenazah bapanya dibawa ke rumah mereka di Gombak dengan menggunakan van jenazah Majlis Agama Islam Melaka.

"Apak pernah pesan kalau dia meninggal, uruskan dekat surau dekat rumah. Jadi pulanglah saya ke Gombak menaiki van jenazah bersama arwah," katanya sambil memberitahu ayahnya mempunyai masalah buah pinggang dan jantung.

Walaupun bapanya sudah tiada, Faris gembira kerana dia sempat merakam gambar kenangan terakhir bersama bapa dan datuknya, Abd Aziz Alwi.

Gambar kenangan raya Faris sekeluarga bersama ayahnya.

"Gambar last yang saya sempat selit tu sebenarnya nak ambil gambar apak dan atok saya. Tapi kebetulan saya ada waktu tu saya masuk sekali.

"Tapi satu family terkilan sebab tak ambil gambar ramai-ramai. Kalau ikutkan boleh je masuk satu family tapi waktu tu agak kelam kabut sedikit. Jadi gambar saya je yang ada dengan apak sebab kami pun tak expect akan jadi macam ni," katanya.

Ditanya mengenai keperibadian bapanya, Faris berkata bapanya itu seorang yang kelakar dan suka bergurau dengan anak-anak.

"Saya akan selalu ingat pesan apak. Setiap kali kalau saya atau kakak-kakak saya yang lain nak keluar atau pergi kerja dia akan cakap 'slow and steady win the race'.

"Itu ayat dia selalu sebut kepada kami. Sebenarnya dia nak kami bawa motor elok-elok, kiranya berhati-hati jadi kami akan sampai dengan selamat," katanya.

Gambar terakhir mereka sekeluarga semasa menikmati ikan bakar di sebuah restoran di Melaka.
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
meninggal, Hospital Melaka, ajal

Artikel Lain