GARA-gara terserempak dengan ‘kembar’ di majlis perkahwinan, seorang lelaki meraih perhatian media antarabangsa. Semuanya bermula dari video yang dirakamkan oleh seorang pemuda yang menunjukkan seorang lagi rakannya sedang menunggu giliran untuk bergambar bersama pasangan pengantin di pelamin. Ketika rakaman menumpukan rakannya yang berkepala botak, bercermin mata dan berbaju merah, lensa secara kebetulan turut merakamkan seorang lelaki di atas pelamin yang kelihatan seiras, juga berkepala botak, bercermin mata dan berbaju merah! ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kembar’ KJ ditemui, mula jadi buruan... ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak layak… beliau tiada pengganti” – Klon P. Ramlee “Bila kau pergi wedding dan terjumpa klon... hahaha,” menurut perkongsian seorang pemuda di Twitter, dengan memuat naik video yang dirakamkan oleh rakannya. Pemuda yang tular mendapat perhatian media antarabangsa. Individu yang merakamkan video tersebut, Amir Zulfadhly Zulkifly berkata, kejadian berlaku di majlis perkahwinan rakannya di Kuala Selangor, Selangor pada Ahad lalu. Pemuda berusia 30 tahun itu memberitahu, dia membuat beberapa rakaman pada majlis tersebut menggunakan telefon bimbitnya, dan turut merakamkan rakannya yang dikenali sebagai Badung yang sedang beratur untuk bergambar di pelamin. “Masa kami beratur nak ambil gambar bersama pengantin di pelamin, tiba-tiba salah seorang rakan kami gelak kata kenapa Badung dah ada kat atas. “Kami nampak ada seorang lelaki yang sama macam Badung di atas pelamin, sedangkan Badung bersama kami. Badung kemudian menoleh ke belakang dan turut ketawa,” katanya kepada mStar. Aksi spontan Badung apabila melihat seorang lelaki seriras dengannya. Foto Viral Press Amir yang menetap di Klang, Selangor berkata, secara kebetulan lelaki di pelamin itu juga adalah kenalannya yang dikenali sebagai Faiz, tetapi terputus hubungan. “Kami kenal masa main permainan Pokemon Go dulu. Saya pun terkejut bila nampak dia kat pelamin sebab lama tak jumpa. “Kalau tanya saya, mereka tak adalah seiras. Yang nampak sama hanya sebab kedua-duanya botak, bercermin mata dan berbaju merah. Tapi kalau tengok dari dalam video memang nampak seiras. Saya yang sendiri rakam pun terkejut,” katanya. Kalau dapat jumpa, saya mahu bergambar bersama dan netizen boleh nilai persamaan dan perbezaan kami. BADUNG Juruteknik teknologi maklumat itu memberitahu, dia kemudian ditegur Faiz dan bertanya khabar selepas bergambar bersama pengantin. “Saya dah lama tak jumpa dengan Faiz, jadi terdapat perancangan untuk berjumpa dengan dia semula dan mengajak ‘kembar’nya bersama,” katanya. Sementara itu, Badung yang kini menjadi tajuk berita dunia itu berkata, dia amat terkejut dan tidak menyangka kisahnya yang bertembung dengan ‘kembar’ di majlis perhatian dilaporkan beberapa media antarabangsa. Badung (kiri, belakang) bersama pasangan pengantin dan rakan-rakannya. Foto ihsan Norazli Mohammad Yusof Badung atau nama sebenarnya Norazli Mohammad Yusof, 29, mengakui dia sendiri terkejut bertembung dengan individu yang mirip wajahnya. “Saya memang terkejut, nampak macam klon. Jangankan kawan-kawan, saya sendiri gelak sebab terkejut macam tengok diri sendiri kat atas pelamin tu. “Saya tengok dia nampak sedikit berusia daripada saya, tambahan pula dia datang dengan keluarga. Saya bayangkan beberapa tahun lagi macam dia,” katanya yang turut berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan ‘kembar’ tersebut. Badung berhasrat untuk bertemu dengan individu di dalam video yang tular. Foto ihsan Norazli Mohammad Yusof Badung yang bakal mengakhiri zaman bujangnya pada Oktober ini turut merancang untuk menjemput individu yang tular dikatakan miripnya ke majlis perkahwinan. “Itupun sekiranya kami berkesempatan berjumpa. Kalau dapat jumpa, saya mahu bergambar bersama dan netizen boleh nilai persamaan dan perbezaan kami. “Nanti mesti ada yang kata... ni lah Upin dan Ipin bila dah besar nanti,” katanya secara berseloroh, merujuk watak animasi tempatan yang popular. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on Sep 8, 2019 at 5:44pm PDT