suria

Isteri sedih tertinggal telekung pink belacan di R&R, suami sanggup susahkan diri bantu - “Boleh ganti baharu, tapi bagi dia tak sama”

Faiz dan isteri kini masih mencari telekung hantaran kahwin (kanan) yang tertinggal di R&R Jejantas Ayer Keroh, Melaka. Foto ihsan Muhamad Nur Faiz Leong

SIAPA yang tidak sedih apabila barang kesayangan hilang, tidak kiralah ia tercicir, tertinggal mahupun diambil orang lain.

Lebih sayu sekiranya barang yang hilang itu mempunyai nilai sentimental tersendiri, sudah tentulah pemiliknya berharap ia ditemui atau dikembalikan semula.

“Siapa semalam ada ambil telekung Siti Khadijah warna pink belacan bini aku yang tertinggal kat surau wanita R&R Ayer Keroh jejantas menghala ke Johor?

ARTIKEL BERKAITAN: Anak cari telekung Siti Khadijah untuk jenazah ibu

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Hantu ayam’ dapat KFC sebagai hantaran, baju bertunang tak sempat tukar terus ‘ngap’ 2 ketul paha

“Tolonglah hubungi aku untuk pulang balik. Tak sampai hati aku tegok dia bersedih sebab tu hantaran masa kami kahwin,” menurut satu perkongsian seorang suami di laman sosial Twitter, sehingga menjadi tular.

Perkongsian seorang suami di laman sosial yang mencari telekung isteri yang tertinggal.

Muhamad Nur Faiz Leong, 26, berkata, kejadian berlaku pada Selasa lalu semasa dia dan isterinya dalam perjalanan dari Kuala Terengganu, Terengganu untuk pulang ke kediaman mereka di Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Menurutnya, mereka singgah untuk berehat dan menunaikan solat Asar di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh di Melaka.

“Isteri saya hanya menyedari telekung kesayangan tu tertinggal di surau wanita R&R itu masa nak solat Isyak sebab masa solat Maghrib dia guna telekung lain.

“Disebabkan telekung tu tertinggal, isteri saya sedih sangat sebab itu adalah hantaran yang diterimanya daripada saya masa kami kahwin,” katanya kepada mStar.

Telekung (kiri) merupakan antara hantaran yang diberikan Faiz kepada isterinya.

Faiz yang bekerja sendiri berkata, isterinya hanya meninggalkan telekungnya sahaja di surau tersebut, selepas menunaikan solat.

“Telekung saja yang tertinggal. Isteri kata masa tu nak buat panggilan telefon yang penting berkaitan kerja, dan dia kemudian terus keluar dari surau.

Masa malam pertama telekung isteri tertinggal tu, dia sedih sangat sampai menangis. Sekarang dah tak menangis, tapi saya tahu dia cuba ‘cover’ perasaan sedih.

FAIZ

“Masa tu dalam surau, jadi dia kena keluar untuk buat panggilan,” katanya sambil menambah bahawa dia dan isterinya, Nor Asifa Azmi, 26, berkahwin pada Mac lalu. 

Menurut Faiz, dia mencadangkan isterinya untuk pergi mencari telekung tersebut di R&R itu pada malam yang sama meskipun perjalanan sehala mengambil masa kira-kira 1 jam dan 30 minit.

Contoh telekung milik isteri Faiz yang tertinggal di surau wanita R&R Jejantas Ayer Keroh. Foto sg.carousell.com

Bagaimanapun, mereka memutuskan untuk menghubungi pihak PLUS Customer Care Line bagi mendapatkan bantuan untuk membuat pemeriksaan di surau berkenaan.

“Kami kemudian diberitahu telekung kepunyaan isteri saya tidak ditemui di surau berkenaan. Saya beranggapan ada hamba Allah yang telah mengambilnya.

“Dan sekiranya ia diambil, saya berharap individu tersebut dapat memulangkannya kepada kami. Kami sedia untuk memberi saguhati sekiranya individu terbabit sudi memulangkan semula telekung isteri saya yang diambilnya itu,” tambahnya.

Faiz tidak mahu isterinya bersedih atas kehilangan telekung yang mempunyai nilai sentimental itu.

Faiz berkata, telekung tersebut merupakan salah satu daripada tujuh hantaran yang diberikan kepada pihak keluarga isterinya, dengan berbalas sembilan hantaran.

“Masa malam pertama telekung isteri tertinggal tu, dia sedih sangat sampai menangis. Sekarang dah tak menangis, tapi saya tahu dia cuba ‘cover’ perasaan sedih.

“Walaupun saya faham perkara dah berlaku dan sesuatu yang terjadi itu pasti ada hikmahnya, tetapi saya sebagai suami tak mahu dia bersedih.

“Telekung tu mungkin boleh digantikan dengan yang baharu dan isteri pun ada telekung lain untuk digunakan. Tapi bagi dia, mana nak sama dengan telekung hantaran yang ada nilai sentimental tersendiri,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
telekung, Siti Khadijah, R&R, hantaran, kahwin

Artikel Lain