suria

Simpan rahsia 6 bulan, akhirnya 2 jam sebelum ‘naik belon’ ke Sarawak ibu terima kejutan – “Dari pilot hingga tukang masak, semua mak canang”

Nurul Diana (kanan) membuat kejutan membawa ibunya ke Kuching, Sarawak. Foto ihsan Nurul Diana Jasni

BERMULA dari mendengar cerita menarik daripada kenalan dan rakaman televisyen, seorang ibu tunggal menyimpan hasrat untuk ke Kuching, Sarawak.

“Selamat perjalanan untuk kami. Lama simpan kejutan ni. Mak saya ingat teman pergi persidangan kat Melaka. Dupdapdupdap bila sampai lapangan terbang,” kata seorang anak menerusi perkongsian di halaman Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Umur 64 tahun baru merasa masuk mall, wanita ini enggan keluar kereta... alasannya buat ramai bergenang air mata

ARTIKEL BERKAITAN: Pelan awal tak menjadi, kereta ibu mentua buat hal lagi, “Mak jangan panggil pomen ya, tunggu kami datang”

Nurul Diana Jasni memberitahu, ibunya, Robiah Shapie, 59, belum pernah menjejakkan kaki ke Sarawak seumur hidupnya. 

Robiah bersama tiket penerbangannya ke Kuching.

Dia yang berusia 38 tahun itu berkata, ibunya hanya pernah menaiki penerbangan sekali sahaja iaitu pada 2015 untuk menunaikan umrah.

“Mak saya sebelum ni selalu dengar perkara menarik tentang Sarawak daripada kawan-kawan. Besan dia pun orang Sarawak tapi dah lama berhijrah ke Selangor.

“Jadi, mak asyik ulang tanya kami adik-beradik bila lah dia dapat pergi ke Sarawak, selalu saja dengar sampaikan dia pun teringin ke sana,” katanya kepada mStar.

Nurul Diana dan ibu bersama rakan-rakan dari Sarawak.

Nurul Diana berkata, kejutan untuk membawa ibunya ke Kuching dibuat seawal Mac lalu selepas mendapat maklumat mengenai pembentangan kertas kerja pada satu persidangan di ibu negeri Sarawak pada September.

“Saya, suami dan adik bongsu yang menjadi dalang merancang untuk buat kejutan ini. Bayangkan selama ni saya tak pernah berahsia dengan mak, tapi selama enam bulan saya terpaksa kunci mulut. 

“Tapi saya ada ajak mak temankan saya ke persidangan tu, tarikh dan tempoh yang sama. Cuma saya beritahu lokasinya di Melaka. Saya buat persediaan lebih awal dengan membuat tempahan penerbangan dan penginapan untuk saya dan mak,” katanya sambil menambah ibunya menetap di Jenjarom di Kuala Langat, Selangor.

Rata-rata penduduk Sarawak merujuk perjalanan menaiki pesawat sebagai naik belon.

(Kiri) Robiah menikmati mi kolok yang popular di Sarawak. (kanan) Bergambar bersama cenderamata di Kuching.

Pada hari kejadian, pustakawan kanan di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kampus Puncak Alam, Selangor membiarkan ibunya tidur di dalam kereta sepanjang perjalanan.

Menurut Nurul Diana, perkara sebenarnya hanya didedahkan kepada ibunya kira-kira dua jam sebelum penerbangan ke Kuching, sebaik mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Mak menangis bila dapat tahu sebab tak sangka dapat pergi ke Kuching buat pertama kali. Mak juga tak sangka saya boleh simpan rahsia dengan baik selama ni

NURUL DIANA

“Mak terkejut tanya kenapa nak ke KLIA untuk ke Melaka, kan boleh naik kereta saja. Saya kemudian beritahu sebenarnya nak bawa mak ke Kuching.

“Mak menangis bila dapat tahu sebab tak sangka dapat pergi ke Kuching buat pertama kali. Mak juga tak sangka saya boleh simpan rahsia dengan baik selama ni. Kejutan buat mak memang menjadi dan mak teruja,” katanya.

Dua juruterbang ini merupakan individu yang terawal menerima berita gembira Robiah yang pertama kali menjejakkan kaki ke Kuching.

Keterujaan ibunya dapat dilihat sepanjang tiga hari dua malam mereka berada di Kuching, lebih-lebih lagi sebaik pesawat yang dinaiki mendarat.

“Orang pertama mak kongsi berita gembiranya adalah juruterbang yang membawa pesawat kami naiki. 

“Bukan setakat juruterbang, ramai lagi yang mak kongsikan kegembiraannya, dari pemandu Grab, kawan-kawan pustakawan saya dari Sarawak, sampai tukang masak kat tempat kami makan pun dia beritahu. Semua orang mak canang,” katanya.

Nurul Diana yang juga ibu kepada tiga anak itu meluahkan kesyukuran kerana dia akhirnya dapat menunaikan hasrat ibunya untuk berkunjung ke Kuching.

“Dari jalan-jalan kat Waterfront Kuching, makan mi kolok dan beli buah tangan seperti kek lapis, semua  mak teruja. Dan mak akhirnya dapat juga beli ikan terubuk masin, yang wajib dibawa pulang dari Sarawak,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain