suria

Tak cukup berangan, surat sekolah anak pun ‘diberitakan’... wanita ini akhirnya dapat masuk TV - “Penerbit puji saya macam orang berpengalaman”

Nor Salynata Salim yang merupakan bekas pramugari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut menyertai cabaran tersebut.

BETULLAH kata orang, 'rezeki memang tidak pernah tersalah alamat'. Baru-baru ini tular satu posting tentang seorang ibu kepada empat orang anak yang berpeluang muncul sebagai pembaca berita di televisyen.

Nor Salynata Salim, 37, tidak menyangka akhirnya dia berpeluang untuk muncul sebagai pembaca berita dalam segmen ekonomi 'Detik Niaga', Buletin Utama TV3 walaupun dalam keadaan tidak sihat, pada malam Isnin.

Nor Salynata atau lebih mesra disapa Saly sebelum ini pernah mendapat perhatian netizen apabila videonya menyertai cabaran #bacaberitachallenge yang dianjurkan oleh pihak produksi sejak Ogos lalu tular di Twitter selepas dimuat naik oleh anak sulungnya, Puteri Nur Arisya, 16 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Kasihan dua sahabat... cabaran ‘makan dan cabut lari’ kena kecam, ini penjelasannya!


Posting yang memaparkan videonya melakukan cabaran #bacaberitachallenge yang mendapat perhatian netizen.

Menurut Saly yang merupakan bekas pramugari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dia terkejut selepas mengetahui keputusan tersebut yang mana dirinya diumumkan sebagai pemenang bagi cabaran #bacaberitachallenge pada 30 Ogos lalu.

"Saya ada upload satu video baca berita dengan tajuk 'Ketibaan Pelancong Asing ke Malaysia Meningkat' menerusi akaun Instagram saya @bunga_d_angkasa dengan mengenakan tanda pagar #bacaberitachallenge.

"Namun, saya pun tak sangka menang cabaran ni. Sedangkan ramai lagi anak-anak muda yang berbakat kat luar sana. Tapi saya bersyukur kerana dengan umur saya yang dah tua ni, masih lagi diberi peluang.

"Sebenarnya pada hari saya diminta ke studio untuk on air, saya mengalami masalah kesihatan sedikit. Tapi suami banyak bagi sokongan jadi saya teruskan juga," luahnya kepada mStar.

Saly yang sanggup datang ke Bandar Utama, Petaling Jaya dari Johor Bahru juga menegaskan bahawa tidak mudah sebenarnya untuk membaca berita, malah dia sendiri perlu mengambil masa hampir satu jam untuk membuat persediaan supaya dirinya nampak lebih yakin.

Yang seronoknya lepas saya baca berita dalam studio hari tu, penerbit tu ada puji saya cakap bagus dan macam orang yang berpengalaman.

SALYNATA

Saly yang kini merupakan seorang suri rumah sepenuh masa turut mendedahkan bahawa dia sering meniru gaya pembaca berita di televisyen semasa membaca surat khabar atau surat dari sekolah anak-anaknya.

"Sebelum ni pun kalau saya dapat surat sekolah anak-anak, saya akan baca dengan intonasi serta gaya seorang pembaca berita. Biasalah bergurau dengan anak-anak," jelasnya yang bersyukur dengan bakat yang dimilikinya.

Saly berkata dia hanya ingin mencabar dirinya sahaja dengan menyertai cabaran ini, namun terdapat juga individu yang ketawa serta mengecam tindakannya selepas dia berkongsi video tersebut.

"Eh tak payahlah buat challenge ni, bagi je budak-budak muda yang cuba. Umur dah 37 tahun pun, buat malu saja," Saly berkongsi salah satu kecaman netizen kepada dirinya.

Walau bagaimanapun, Saly bersyukur kerana masih ada keluarga serta masyarakat luar yang masih menyokong serta memberikan kata-kata positif kepadanya.

Rata-rata netizen meninggalkan komen positif kepada Saly.

"Suami, anak-anak serta keluargalah banyak bagi semangat. Walaupun mula-mula tu keluarga tak tahu saya join cabaran ni. Tapi lepas keluar TV, Alhamdulillah semua percaya dengan bakat saya.

"Yang seronoknya lepas saya baca berita dalam studio hari tu, penerbit tu ada puji saya cakap bagus dan macam orang yang berpengalaman," luahnya.

Saly percaya walaupun tidak memiliki kelayakan yang tinggi dalam akademik, namun dia percaya rezeki ada di mana-mana.

Posting pertama yang dimuat naik oleh anaknya di akaun Twitter pada 16 Ogos lalu mendapat lebih 6,000 ulang kicau (retweet) dengan kapsyen, "Korang tolonglah sedar bakat ibu saya, dia suka sangat baca berita. Dan sekarang nak cuba cabaran #bacaberitachallenge. Sokonglah dia juga".

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
bacaberitachallenge, gembira, menang

Artikel Lain