suria

Suara merdu ‘sebiji’ macam lagu filem KKHH, pernah duet dengan Santesh... tapi Tok Ti juga pilihan hati - “Saya nyanyi lagu Cindai setiap kali uji bakat”

Mengenai video lagu Kuch Kuch Hota Hai nyanyiannya, Roshini berkata dia sememangnya meminati filem Bollywood itu, malah menontonnya lebih 50 kali. Foto ihsan Roshini Balachandran

KEGILAAN netizen terhadap filem Bollywood, Kuch Kuch Hota Hai kembali gara-gara kemerduan suara seorang gadis yang menyanyikan lagu runut filem itu, nyanyian asal Udit Nayaran dan Alka Yagnik.

Malah, ada yang sanggup menonton filem tersebut berulang kali tanpa jemu kerana begitu asyik dengan video berdurasi 30 saat yang tular di media sosial itu.

Setakat ini, video yang dimuat naik di laman Twitter @najiaaaxx ditonton lebih 223,000 kali dan diulang kicau lebih 21,000 kali dengan mendapat 24,000 tanda suka (like).

ARTIKEL BERKAITAN: Duet dengan Sarah Suhairi, selamba minta Caliph Buskers ‘D Minor’… pelajar ini sebenarnya bukan biasa-biasa, dapat peluang ke kejohanan dunia

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak layak… beliau tiada pengganti” – Klon P. Ramlee

Bagai dijangka, gadis berusia 22 tahun itu merupakan peminat tegar filem Kuch Kuch Hota Hai lakonan Datuk Shah Rukh Khan, Kajol dan Rani Mukherjee.

Roshini menonton filem Kuch Kuch Hota Hai lebih 50 kali.

Gadis berkenaan, Roshini Balachandran memberitahu, filem arahan Karan Johar yang diterbitkan lebih 20 tahun lalu itu mula ditontonnya sejak kecil.

“Saya dah banyak kali menontonnya, lebih 50 kali. Ia adalah filem Bollywood kegemaran saya, sebab itu saya nyanyi lagu Kuch Kuch Hota Hai tu.

“Saya memang suka menyanyi seawal usia tujuh tahun, dari suka-suka, masuk pertandingan menyanyi sehingga menjadi penyanyi sambilan,” katanya kepada mStar.

Roshini berkata, selain sokongan dan dorongan ibu bapanya, bakatnya dalam bidang nyanyian diasah oleh bapa saudaranya yang juga merupakan penyanyi sambilan.

Roshini sewaktu membuat persembahan di pentas.

Menurut anak jati Butterworth, Pulau Pinang itu, dia sejak kecil sering mengikut bapa saudaranya membuat rakaman dan persembahan bersama RTM.

Dan siapa sangka anak ketiga daripada empat beradik itu pernah menyertai beberapa pertandingan nyanyian termasuk anjuran beberapa stesen televisyen, selain membuat persembahan di majlis-majlis awam.

Mungkin saya speechless kalau dapat jumpa Siti Nurhaliza. Tapi saya cuba berani diri untuk tunjuk bakat saya dengan menyanyikan lagu Cindai yang saya selalu nyanyi sejak kecil.

ROSHINI

Roshini pernah menduduki tempat keempat dalam pertandingan nyanyian menerusi sebuah program di saluran Astro Vaanavil pada usianya 12 tahun, dan menjuarai pertandingan akhir Bintang Minnal FM 2016 terbitan RTM.

“Saya dinobatkan sebagai juara menerusi lagu irama etnik kreatif, Erti Hidup dendangan Dayang Nurfaizah dan sebuah lagu tamil berduet bersama penyanyi Santesh,” katanya.

(kiri) Roshini semasa menyertai pertandingan nyanyian pada usia 12 tahun. (kanan) Roshini memegang trofi juara Bintang Minnal FM 2016.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak itu turut berkongsi rasa kagumnya terhadap penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. 

Setiap kali menyertai uji bakat dalam mana-mana pertandingan nyanyian yang memerlukannya untuk menyanyikan lagu berbahasa Melayu, Roshini lebih senang memilih lagu yang dipopularkan Siti Nurhaliza. 

“Lagu Siti Nurhaliza yang paling saya suka dan selalu nyanyi adalah Cindai. Lagu inilah yang membawa tuah saya di peringkat uji bakat sehingga memasuki peringkat akhir Bintang Minnal FM 2016.

Roshini pernah berduet dengan penyanyi Santesh pada pertandingan akhir Bintang Minnal FM 2016.

“Saya akui lagu Cindai bukan mudah untuk dinyanyikan kerana ia adalah irama tradisional. Saya ambil masa untuk menghayati lenggok lagu tersebut,” ujar Roshini yang turut berkebolehan menyanyikan lagu-lagu muzik klasik India.

Bercita-cita untuk bergelar pensyarah dalam pendidikan muzik dan penyanyi, Roshini memasang impian untuk berjumpa dengan idolanya, Siti Nurhaliza.

“Mungkin saya speechless kalau dapat jumpa Siti Nurhaliza. Tapi saya cuba berani diri untuk tunjuk bakat saya dengan menyanyikan lagu Cindai yang saya selalu nyanyi sejak kecil,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain