suria

‘Pocong’ tumpang Grand Livina! Pemilik kereta tak tahu menahu, tukang rakam minta maaf, pelaku tak dapat dikesan - “Semoga kamu diberikan hidayah”

Gambar pocong yang dirakam oleh Mohamad Hasnaim di Kulim baru-baru ini mencetuskan kekecohan di media sosial.

“KEPADA individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah melakukan tindakan kurang wajar dengan meletakkan bungkusan menyerupai pocong semoga kamu diberikan hidayah untuk lebih beramal.”

Itulah pesanan seorang pelayar Facebook, Mohamad Hasnaim terhadap pihak yang meletakkan bungkusan menyerupai hantu pocong pada sebuah kereta, baru-baru ini sehingga mencetuskan kekecohan dalam kalangan netizen.

Pesanan dibuat oleh Mohamad Hasnaim yang sebelum ini bertindak merakam satu video dan gambar sebuah kereta di hadapannya yang diikat bungkusan menyerupai pocong dan berkongsinya di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki cedera parah keluar suara wanita tua selepas pembedahan - “Ada seseorang muncul waktu Maghrib” 

ARTIKEL BERKAITAN: Seram bertukar lucu gara-gara pocong berdiri atas helmet abang motor, “Kurang ajar punya hantu” 

Dalam postingnya di Facebook, Mohamad Hasnaim berkata, ketika kejadian dia baru sahaja pulang dari Kulim Mall, di Kulim, Kedah kira-kira jam 1.00 pagi pada Selasa lalu. 

Menulis di posting itu, Mohamad Hasnaim meminta semua pengguna jalan raya di kawasan Kulim agar berhati-hati dengan kejadian ini, dibimbangi ia adalah taktik kumpulan perompak.

“Kalau betul nak bergurau, bukan ini caranya. Ini kamu nak aniaya orang. Kalau ada ternampak kereta ini, perhati tengok siapa,” tulisnya.

Posting Mohamad Hasnaim sebelum ini yang tular di media sosial. 

Posting berkenaan mendapat reaksi pelbagai daripada netizen sehingga mencetuskan kekecohan di media sosial.

Bagaimanapun, dalam satu posting terbaharunya, Mohamad Hasnaim menjelaskan bahawa perkara berkenaan hanyalah salah faham dan sudah diselesaikan.

“Saya telah pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim untuk memberikan keterangan sekali gus telah berjumpa dengan pemilik kereta Grand Livina tersebut dan pemilik kereta telah menjelaskan bahawa tidak tahu sama sekali berkenaan bungkusan yang berada di atas kereta miliknya.

“Saya percaya bahawa ada individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab dengan sengaja meletakkan bungkusan menyerupai pocong di atas kereta tersebut.

“Tindakan yang kurang matang sebegini telah menimbulkan kegusaran dan kerisauan kepada pengguna jalan raya yang lain dan pihak polis daerah Kulim juga telah mengambil maklum berkenaan kejadian ini,” katanya.

Mohamad Hasnaim juga berkata dia sudah meminta maaf secara terbuka kepada pemilik kereta kerana menularkan gambar keretanya.

“Tujuan sebenar hanyalah untuk memperingatkan kepada pengguna jalan raya khususnya di kawasan Kulim untuk berwaspada supaya perkara seperti ini tidak berlaku kepada pengguna-pengguna jalan raya yang lain.

“Tidak lupa juga kepada individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah melakukan tindakan kurang wajar dengan meletakkan bungkusan menyerupai pocong, semoga kamu diberikan hidayah untuk lebih beramal,” katanya sambil meminta agar netizen menghentikan penularan video berkenaan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
pocong, Grand Livina, Kulim

Artikel Lain