KEHADIRAN anak sememangnya ditunggu-tunggu oleh setiap pasangan yang berkahwin bagi menyerikan keluarga. Bagaimanapun, rezeki yang ditentukan kepada setiap pasangan adalah berbeza-beza. Sesetengah pasangan mungkin tidak perlu menunggu lama untuk mendapat cahaya mata, namun ada sebahagian daripadanya masih belum dikurniakan anak walaupun bertahun-tahun mendirikan rumah tangga. ARTIKEL BERKAITAN: Isteri masuk tandas tak sangka bayi dalam perut dah nak keluar, suami mandi peluh sambut anak ke-2 - “Kali pertama ‘tahniah’ sangat bermakna dalam hidup saya” ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa makcik tua di klinik kesihatan, bayi Cina disuruh letak nama Melayu... tiga bulan kemudian lelaki ini bawa 2 isteri, 6 anak peluk Islam Bagi wanita yang dikenali sebagai Nadira Azlan, 31, dia amat bersyukur kerana dikurniakan seorang anak perempuan sebagai penyeri rumah tangga. Walau bukan daripada rahim sendiri, Nadira dan suami menjaga anak perempuan yang diberi nama An-Nisa Nayli Abdullah itu seperti menatang minyak yang penuh. “Saya dan suami berkahwin selama lapan tahun. Sehingga kini kami tetap berusaha mendapatkan cahaya mata sendiri, namun belum ada rezeki. “Saya sentiasa panjatkan doa agar dikurniakan anak. Menjangkau usia tiga tahun perkahwinan, doa kami dimakbulkan. Allah kurniakan kami seorang anak perempuan walaupun bukan dari rahim sendiri,”ceritanya kepada mStar. Nadira bersama anak angkatnya, An-Nisa Nayli Abdullah yang dipelihara sejak lima tahun lalu. Nadira yang merupakan bekas jururawat berkata, kehadiran Nayli begitu bermakna, malah keluarganya dan keluarga mentua melayani anak mereka seperti darah daging sendiri. “Jadi apabila melihat berita mengenai kes buang bayi seperti yang berlaku baru-baru ini, hati saya sangat sedih. Saya dan suami dah lama inginkan cahaya mata, tapi ada pula yang tergamak untuk membuangnya,” katanya meluahkan kekecewaan. Beberapa hari lalu, negara kita dikejutkan dengan berita penemuan mayat seorang bayi lelaki di dalam lubang tandas dalam keadaan berlumuran darah di Terminal Sentral Kuantan (TSK), Pahang. Jika ditakdirkan kami dikurniakan anak angkat lagi, kami akan menjaga amanah itu seperti zuriat sendiri. Berilah pada orang yang mahukan, tapi jangan buang bayi. NADIRA AZLAN Bukan saja mendapat liputan meluas media, bahkan berita itu turut menjadi tajuk utama perbincangan di media sosial sehingga beberapa pihak tampil dengan pelbagai inisiatif untuk mengekang gejala buang bayi. Antaranya, seorang penerbit saluran televisyen, Hazeman Huzir yang membuat ‘thread’ di Twitter dengan meminta mana-mana pihak yang ingin mengambil bayi malang sebagai anak angkat agar meninggalkan komen di ruangan tersebut. Tweet tersebut mendapat sambutan daripada netizen yang mana berpuluh individu tampil meninggalkan butir peribadi di ruangan komen dan menyatakan kesediaan untuk menerima mana-mana bayi sebagai anak angkat, termasuk Nadira sendiri. Bebenang (thread) di Twitter milik Hazeman Huzir yang mendapat reaksi positif daripada netizen. Ia turut dihujani pelbagai komen netizen, selain mendapat ribuan tanda suka (like) dan diulang kicau sehingga 1,100 kali. “Sungguhpun sudah mempunyai seorang anak angkat yang dipelihara sejak lima tahun lalu, tapi saya dan suami sanggup menerima anak angkat lagi kerana kami sememangnya sukakan kanak-kanak. “Sepanjang lapan tahun berkahwin, pelbagai cara dan ikhtiar telah kami lakukan, sama ada dari segi kaedah rawatan moden mahupun tradisional. “Pemeriksaan perubatan yang dilakukan mendapati kami berdua tiada masalah. Cuma mungkin belum ada rezeki. Jika ditakdirkan kami dikurniakan anak angkat lagi, kami akan menjaga amanah itu seperti zuriat sendiri. Berilah pada orang yang mahukan, tapi jangan buang bayi,” katanya.