suria

Bukti mampu nyanyi lagu Cindai, gadis Kuch Kuch Hota Hai dapat pujian Tok Ti siap emoji ‘love’!

Roshini (kanan) teruja apabila video nyanyiannya bagi lagu Cindai mendapat pujian daripada Siti Nurhaliza (kiri). Foto Siti Nurhaliza instagram ctdk, foto Roshini instagram Roshini_Balachandran

LAGU irama tradisional Cindai dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza membawa tuah buat seorang gadis berbangsa India setiap kali menyertai uji bakat dalam pertandingan nyanyian.

Bakatnya dalam bidang nyanyian terus diperkatakan selepas video gadis berusia 22 tahun itu menyanyikan lagu runut filem Bollywood, Kuch Kuch Hota Hai menjadi tular.

Anak jati Butterworth, Pulau Pinang itu sekali lagi bertuah apabila video nyanyiannya mendendangkan lagu Cindai bukan sahaja mendapat pujian netizen, malahan daripada penyanyi asal lagu itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Suara merdu ‘sebiji’ macam lagu filem KKHH, pernah duet dengan Santesh... tapi Tok Ti juga pilihan hati - “Saya nyanyi lagu Cindai setiap kali uji bakat”

Video Roshini Balachandran menyanyikan lagu itu dengan lenggok irama tradisional dikongsikan di akaun Instagram rasmi mStar pada Jumaat malam.

“Bagusnyaaaaa,” komen Siti Nurhaliza menerusi akaun Instagramnya @ctdk berserta tiga emoji berbentuk hati.

“Haaa... pemilik lagu dah komen,” ujar seorang netizen dengan emoji tepukan tanda syabas kepada Roshini.

Tangkapan skrin video nyanyian Roshini yang dimuat naik di akaun Instagram mStar.

Terdahulu, mStar menerusi kapsyen video tersebut meminta Siti Nurhaliza yang merupakan juri tetap bagi program realiti Big Stage untuk memberi komen tentang nyanyian Roshini.

Program realiti hiburan itu mengetengahkan bakat baharu dalam bidang nyanyian yang diberi jolokan ‘budak baru nak up’ (BBNU).

Komen Datuk Siti Nurhaliza memberi semangat kepada saya untuk menyanyikan lebih banyak lagu-lagu cover

ROSHINI

Roshini meluahkan rasa gembira dan teruja sehingga sebak apabila penyanyi yang dikaguminya itu memberi ulasan mengenai nyanyiannya.

“Saya sangat gembira dan seperti tidak percaya beliau menonton video saya dan memberikan ulasan.

“Sudah tentu komen Datuk Siti Nurhaliza memberi semangat kepada saya untuk menyanyikan lebih banyak lagu-lagu cover,” katanya kepada mStar.

Sebagai penyanyi nombor satu negara, Roshini menyifatkan Siti Nurhaliza sebagai penggiat seni yang kekal merendah diri sehingga kini.

“Beliau ambil masa untuk menontonnya, malah membalasnya. Saya berharap dapat memberikan yang lebih baik pada masa akan datang,” tambahnya.

Roshini pernah menduduki tempat keempat dalam pertandingan nyanyian menerusi sebuah program di saluran Astro Vaanavil pada usianya 12 tahun, dan menjuarai pertandingan akhir Bintang Minnal FM 2016 terbitan RTM.

Roshini mula menyertai pertandingan nyanyian sejak kecil.

Rata-rata netizen turut memuji video lagu Cindai yang dinyanyikan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak.

“Sumpah sedap gila,” tulis seorang netizen.

“Boleh pergi jauh ni,” puji netizen yang lain.

“Sedap suara dia. Suara macam ni baru bakat sebenar, bukan auto tune,” kata seorang netizen memberikan pandangan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain