PERISTIWA hitam yang berlaku pada pertengahan September kira-kira lima tahun lalu sekelip mata mengubah sikap seorang suami yang dahulunya suka keluar malam. Rumahnya dipecah masuk oleh sekumpulan pencuri dan ketika kejadian dia tiada di rumah, hanya isteri yang sarat mengandung anak ketiga dan dua cahaya mata perempuan yang masih kecil. Suami berkenaan, Mohamad Faizal Saedon berkata, dari zaman bujang, dia seorang yang sering menghabiskan masa bersama rakan-rakan sehingga awal pagi. ARTIKEL BERKAITAN: Isteri sedih tertinggal telekung pink belacan di R&R, suami sanggup susahkan diri bantu - “Boleh ganti baharu, tapi bagi dia tak sama” ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri sanggup gadai nyawa bantu sahabat parah kemalangan disangka pencuri, “Cepat nanti tak pasal-pasal kena langgar lori laju” Dia yang berusia 36 tahun memberitahu, tabiat tersebut berlarutan sehingga berkahwin selama lima tahun dan bakal menimang cahaya mata ketiga pada 2014. Mohamad Faizal pada mulanya menyangka anak-anaknya bermain dengan beg isteri. “Hampir setiap hari saya selalu habiskan masa melepak atau urusan kerja bersama rakan-rakan, kadang-kadang sampai pukul 3 atau 4 pagi. “Tapi, sebelum tu saya akan bawa isteri dan anak-anak keluar atau makan malam bersama sebelum saya keluar semula jumpa rakan-rakan,” katanya kepada mStar. Mohamad Faizal yang merupakan anak jati Kota Bharu, Kelantan itu bagaimanapun memberitahu dia tiada masalah dalam perkahwinan, malah isterinya juga seorang yang penyayang dan memahami. “Isteri tak pernah bising atau merungut kalau saya keluar malam sebab dia tahu kadang-kadang saya memang ada urusan kerja. “Cuma dia selalu pesan supaya saya jangan balik lewat sangat. Tapi, hari kejadian tu saya terasa hati nak gerak balik awal dalam pukul 1.30 pagi. “Bayangkan hari tu kawan rapat dari Putrajaya datang jumpa saya di Kota Bharu pukul 10 malam. Ikutkan mesti boleh lepak sampai pukul 4 pagi, tapi saya terasa nak balik awal. Tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan tu,” katanya yang bekerja sendiri. Tingkap rumah terbuka membuatkan Mohamad Faizal terus mencurigai sesuatu berlaku di rumahnya. Dia mendapati pintu pagar rumahnya terbuka luas kira-kira pukul 2.15 pagi, dan sebaik masuk ke ruang tamu dia terpandang beg isteri yang berterabur di lantai. Tambahnya lagi, pada mulanya dia menganggap ia disebabkan anak-anaknya ketika itu masing-masing berusia enam dan empat tahun yang sering bermain dengan beg isterinya. Kepada suami-suami, sayangilah keluarga anda. Nak cari duit atau harta bukanlah segala-galanya kerana keluargalah yang paling berharga dalam kehidupan apabila sudah berumah tangga. MOHAMAD FAIZAL “Saya cuak sebab fikirkan anak-anak dan isteri yang hamil lapan bulan. Dan kebetulan malam tu, anak-anak saya tidak lagi tidur di bilik saya dan isteri buat pertama kali... seorang tidur di bilik lain dan seorang lagi di depan televisyen. “Bila masuk bilik tidur saya memang terkejut, keadaan semuanya berterabur dan semua laci dibuka. Banyak yang hilang... barang kemas, komputer riba, gajet termasuk wang tunai lesap angkara pencuri. Mohamad Faizal bersama isteri dan anak-anaknya. “Saya bertambah terkejut bila tengok isteri tengah tidur di katil sedangkan keadaan bilik bersepah habis. Isteri saya sebenarnya telinga lintah semasa tidur dan mudah bangun kalau bunyi apa-apa tapi syukur malam tu dia tak bangun. “Kalau dia bangun ketika itu, sama ada pencuri akan panik bertindak sesuatu yang boleh mengancam nyawa isteri dan anak kami yang dikandungnya. Tapi syukur isteri dan anak-anak saya semua selamat,” katanya. Susulan kejadian itu, Mohamad Faizal yang kini merupakan bapa kepada empat anak itu berkata, dia tidak lagi keluar pada waktu malam dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah, dan sekiranya ada hal penting dia akan cuba pulang lebih awal. Mohamad Faizal (kanan) bersama isteri kesayangan. “Selepas kejadian tu juga isteri akhirnya baru meluahkan perasaan yang selama ni dia selalu rasa tak selamat bila saya keluar malam dan pulang lewat. Saya serba salah dan rasa macam tak berguna jadi suami dan ayah. “Kejadian yang berlaku benar-benar menghantui dan mengubah diri saya menjadi seorang suami dan ayah yang lebih bertanggungjawab. “Kepada suami-suami di luar sana, sayangilah keluarga anda. Nak cari duit atau harta bukanlah segala-galanya kerana keluargalah yang paling berharga dalam kehidupan apabila sudah berumahtangga,” katanya.