suria

“Perempuan gempal tarik rantai dia” - Anak kena ragut di Jom Heboh, ibu nak bagi peringatan dituduh nak tunjuk ‘have-have’

Siti Haryani berkongsi cerita mengenai rantai leher anak perempuannya yang diragut individu tidak dikenali ketika berkunjung ke pesta Jom Heboh baru-baru ini sebagai pengajaran kepada orang ramai.

NIATNYA hanya mahu memberi peringatan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dengan peragut, sebaliknya kecaman yang diterima ibu muda ini.

Ia gara-gara satu posting yang dimuatnaik di laman Facebook yang menceritakan insiden rantai leher anak perempuannya yang diragut individu tidak dikenali ketika berkunjung ke pesta Jom Heboh baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas lawan tarik beg dengan peragut sampai masuk wad kecemasan, wanita ini baru tahu dia sedang hamil... ini pesanannya buat lelaki berjaket hitam! 

ARTIKEL BERKAITAN: Kantoi curi ayam untuk anak, tiada budi bicara untuk ibu tunggal... mujur ada insan ‘standby’ nak bantu - “Salah tetap salah, RM2,000 untuk belanja” 

Berkongsi cerita dengan mStar, ibu muda tersebut, Siti Haryani Azmi berkata, dia sedar insiden seumpama itu boleh dielakkan sekiranya langkah pencegahan diambil seperti menanggalkan barang kemas yang dipakai anak-anak sebelum berkunjung ke tempat awam.

“Sebenarnya, kalau benda tak terjadi pada diri sendiri, memang kita takkan terfikir. Anak-anak memang dipakaikan barang kemas dari mereka kecil lagi, dan sebab dah biasa pakai, memang saya tak tanggalkan.

“Ada yang netizen cakap saya sengaja pakaikan pada anak masa nak keluar berjalan, ini tak betul langsung. Macam-macamlah yang netizen cakap.

“Tapi tak apalah, sebab saya hanya bertujuan nak kongsi untuk beri peringatan supaya ambil pengajaran dari kisah saya, agar tak jadi pada ahli keluarga mereka pula,” katanya.

Rantai yang dipakai anak kedua Siti Haryani yang diragut baru-baru ini.  

Siti Haryani sebelum ini memuat naik satu posting di Facebook menceritakan anaknya menjadi mangsa ragut ketika mereka sekeluarga berkunjung ke pesta Jom Heboh di Batu Kawan, Pulau Pinang, Ahad lalu.

Menulis dalam posting itu, Siti Haryani berkata mereka sekeluarga baru sahaja tiba di tapak pesta untuk melihat barangan yang dijual.

“Kami sekeluarga jalan berkumpulan, dan suami memegang tangan anak saya, Anelia. Tak semena-mena, saya nampak Anelia menangis. Bila ditanya, dia beritahu ada perempuan gempal tarik rantai dia.

Nak kata serik pergi Jom Heboh tu, tidak lah juga. Tapi memang perlu lebih beringat pada masa akan datang.

SITI HARYANI AZMI

“Kami memang tak dapat buat apa. Kejadian itu terlalu pantas. Lagi pula orang berpusu-pusu. Kepada peragut, kamu dapat duit dari hasil yang tak halal. Balasan mungkin tiada di sini, tapi di akhirat nanti pasti ada,” katanya.

Posting itu sehingga kini mendapat lebih daripada 3,200 perkongsian, selain dibanjiri ribuan komen netizen.

Sebahagian daripada netizen melahirkan rasa simpati atas apa yang berlaku, namun tidak kurang ada juga yang menghamburkan kecaman.

Antara komen netizen pada posting Siti Haryani.

“Saya kongsi pun memang bertujuan untuk beri peringatan agar sama-sama ambil pengajaran, jadi saya tak ambil hati. Pada yang beri komen positif, saya ucapkan terima kasih. Pada yang kecam, moga anda tak diuji seperti ini,” katanya.

Siti Haryani menambah, insiden ini memberi pengajaran kepada mereka sekeluarga agar lebih berhati-hati bagi mengelakkan pisang berbuah dua kali.

“Nak kata serik pergi Jom Heboh tu, tidaklah juga. Tapi memang perlu lebih beringat pada masa akan datang,” akhirnya.  

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
ragut, rantai, Jom Heboh

Artikel Lain