SETIAP orang pasti tidak akan terlepas daripada berdepan cabaran dan dugaan ketika bergelar pelajar di institusi pengajian tinggi. Apatah lagi, jika individu itu dalam masa yang sama memikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan pekerja. Sudah tentulah dugaan yang terpaksa dihadapi bukan calang-calang kerana perlu bijak membahagikan masa dalam memenuhi tuntutan terhadap keluarga, pelajaran dan juga kerjaya. ARTIKEL BERKAITAN: Malam pertama tanpa anak, wife terjaga dan tercari-cari sesuatu... “Dewi, I risau tertindih dia” ARTIKEL BERKAITAN: Tersepit antara adik ambil UPSR, ibu dibedah kanser payudara... “Saya sangat terkejut, nenek baru saja meninggal dunia” Begitulah dugaan yang dihadapi seorang ibu muda, Nor Farhana Jasmi. Wanita ini diuji hebat apabila anak sulungnya, Dewi Faleesya dijemput Ilahi ketika dia sudah berada di penghujung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD). “Pada ketika itu, saya sudah berada di peringkat akhir untuk lengkapkan pengajian. Hanya tinggal untuk hantar ‘correction’ saja masa arwah Dewi meninggal dunia. “Inilah ‘struggle’ yang paling hebat dan kuat sepanjang lapan tahun saya ambil PhD,” ceritanya kepada mStar. Nor Farhana ditemani ibu bapa dan anaknya, Khayr Al Haydar sewaktu mengambil jubah konvokesyen baru-baru ini. Anak sulungnya yang dipanggil Dewi meninggal dunia ketika berusia empat bulan 25 hari dipercayai akibat tersedak susu semasa di bawah jagaan sebuah taman asuhan kanak-kanak di Kota Kemuning, Shah Alam, tahun lalu. Terdahulu, suami kepada Nor Farhana iaitu Fairuzzaman Shaharuddin berkongsi suka duka isterinya dalam menempuhi pengajian menerusi satu bebenang di Twitter. Tweet tersebut sehingga kini mendapat 15,000 tanda suka (like) dan diulang kicau sehingga 14,000 kali. Rata-rata pelayar laman itu begitu tersentuh dengan kisah ketabahan Farhana mengharungi dugaan yang amat berat namun tidak berputus asa untuk bangkit kembali meneruskan pengajiannya. Tweet suami Farhana yang mengundang rasa kagum netizen terhadap ketabahan wanita ini. “Sebenarnya, dugaan ketika awal dulu banyak juga. Design proposal kena reject, kemudian bila run testing, result pula abnormal. Terpaksa repeat dari awal. Itu antara cabaran kursus yang saya ambil iaitu Applied Science (Sains Gunaan). “Sebab itulah ambil masa juga. Tapi bila anak meninggal, ketika itu berada di stage terakhir dah, memang rasa tak bersemangat nak teruskan. Saya kerja di industri, bukan mengajar. Jadi saya kata kepada suami, kalau ada title Dr pun buat apa,” katanya. Bercerita lebih lanjut, Nor Farhana berkata, beberapa bulan selepas itu, penyelia untuk program PhD datang mencarinya di tempat kerja untuk memujuknya meneruskan semula pengajian yang terbengkalai. Hanya tinggal untuk hantar ‘correction’ saja masa arwah Dewi meninggal dunia. Inilah ‘struggle’ yang paling hebat dan kuat sepanjang lapan tahun saya ambil PhD. NOR FARHANA JASMI “Dalam masa yang sama, saya tersentak selepas dengar kata-kata suami. Dia kata ‘kalau awak macam ni, kesian la dekat saya’… Maknanya, kalau saya berterusan macam ni, dia seolah-olah bukan saja hilang anak, tapi hilang isteri juga. “Saya tak mahu dia pula terpaksa layan saya yang tertekan. Saya teringat kata-kata, kita kena reda, kemudian rezeki akan datang. Itulah yang membuatkan saya bangkit,” ujarnya yang kini bekerja sebagai pengurus kawalan kualiti di Ceteau Malaysia. Tambah Nor Farhana, dia sangat bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan yang berperanan sebagai tulang belakangnya ketika menghadapai saat yang sukar itu. Bakal meraikan Hari Konvokesyen pada Sabtu ini, Nor Farhana mendedikasikan kejayaannya kepada semua pihak yang tidak jemu menyokongnya. “Saya nak luahkan rasa terima kasih kepada suami, ibu bapa, adik beradik, keluarga mentua dan penyelia saya. Kalau mereka tak ada, saya mungkin tak teruskan. “Ketika saya hampir putus asa, dengan adanya mereka, beban rasa yang ditanggung jadi ringan, dan kembali bersemangat. “Masa Viva dulu saya mengandungkan arwah Dewi, kini adiknya, Khayr Al Haydar yang berusia dua bulan akan temani saya,” akhirinya.