GUNA alasan sakit untuk dapatkan duit atas angin, mudah bukan? Perkara ini bukan lagi sesuatu yang aneh, kerana hakikatnya ia memang berlaku! Baru-baru ini tular satu posting yang dimuat naik oleh seorang individu di akaun Twitter miliknya dengan kapsyen, 'Assalamualaikum geng. Minta tolong sangat kepada sesiapa yang sudi derma untuk beli ubat mak aku yang menghidap kanser payudara tahap 4. Aku dah tak mampu. Murung sangat-sangat, tak tahu mana nak cari duit lagi. Mohan bantuan'. ARTIKEL BERKAITAN: Kena ‘game’ dengan bekas pesakit kanser, scammer kurang cerdik hanya dapat RM1 dalam akaun Posting tersebut yang dimuatnaik pada Isnin, meraih lebih 15,700 ulang kicau (Retweet) selain turut disertakan nombor akaun bank. Namun, tidak sempat 24 jam ia telah dipadam oleh pemilik akaun itu selepas dipercayai mempunyai unsur penipuan. Posting yang tular di laman Twitter. Selepas penularan posting tersebut, seorang doktor pelatih dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur tampil menyangkal fakta pada posting itu dengan memberi komen, 'Tacrolimus untuk kanser payudara? Macam pelik saja. Tacrolimus merupakan sejenis ubat yang selalunya digunakan untuk pesakit pemindahan buah pinggang, bukan kanser payudara. Berhati-hati ya netizen'. Menurut, doktor pelatih berkenaan, Muhamad Aznor Aqwa Azman, 27, ubat yang ditunjukkan itu adalah 'Tacrolimus' yang berfungsi bagi melemahkan sistem imun dalam badan selain hanya digunakan untuk pesakit selepas menerima pemindahan buah pinggang. "Ubat ini hanya digunakan bagi pesakit buah pinggang yang kronik semasa atau selepas pemindahan buah pinggang supaya sistem imun badan mereka lemah agar tidak menyerang buah pinggang yang baharu. "Jadi, dalam konteks kanser payudara seperti kes yang diberitahu oleh lelaki itu, ubat tersebut macam tak logik untuk diberikan kepada pesakit kanser payudara kerana ia untuk melemahkan sistem imun dalam badan. Sedangkan kalau pesakit kanser payudara, sistem imun mereka perlu kuat," jelas Aqwa kepada mStar ketika dihubungi. Difahamkan, terdapat beberapa rawatan bagi penghidap kanser payudara antaranya dengan melakukan pembedahan khusus bagi pesakit yang belum sampai ke tahap 4. Dari pandangan saya, saya dapat rasakan lelaki itu menipu. Pertama, fakta yang dicakapkan itu tidak betul. Dia cakap untuk kanser payudara tahap 4, tetapi dia tunjuk ubat Tacrolimus. Keduanya, selepas saya tweet tentang kesahihan fakta dia, dia terus tukar cerita. Cakap ubat itu untuk SLE. MOHAMAD AZNOR AQWA AZMAN DOKTOR PELATIH PPUM, KUALA LUMPUR Selain itu, melalui kaedah radioterapi atau kemoterapi dalam merawat kanser, pesakit akan diberikan Tamoxifen bukannya Tacrolimus seperti yang ditunjukkan lelaki itu. Justeru menerusi posting tersebut Aqwa berpendapat bahawa lelaki itu dipercayai menipu netizen bagi mendapatkan sumbangan. Aqwa berpendapat ini merupakan salah satu taktik 'scammer'. "Dari pandangan saya, saya dapat rasakan lelaki itu menipu. Pertama, fakta yang dicakapkan itu tidak betul. Dia cakap untuk kanser payudara tahap 4, tetapi dia tunjuk ubat Tacrolimus. Keduanya, selepas saya tweet tentang kesahihan fakta dia, dia terus tukar cerita. Cakap ubat itu untuk SLE," kata Aqwa yang hampir dua tahun berpengalaman dalam semua jabatan di hospital. Tambahnya lagi, kebiasaannya apabila penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) itu ditahap kronik barulah Tacrolimus akan diberikan namun bukan sebagai pilihan pertama kerana ubat ini agak bahaya untuk diambil sesuka hati. Aqwa yang baru sahaja tiga bulan ditugaskan di unit pembedahan payudara berkata isu menggunakan alasan sakit untuk mengaut untung atas angin seperti ini bukan isu yang asing lagi kepadanya. "Saya faham masyarakat kita mudah tersentuh dengan cerita-cerita sedih macam ni, tambahan pula apabila melibatkan soal hati dan perasaan. "Apa yang berlaku sekarang ni, kalau kita lihat jumlah retweet yang lelaki itu perolehi bukan sedikit, ianya lebih dari 15,000 ulang kicau. Jadi, ini sangat membimbangkan apabila masyarakat kita mudah percaya dengan semua maklumat yang ada di luar tanpa semak dulu kredibiliti maklumat tersebut," jelasnya. Namun demikian, Aqwa bersyukur apabila pendedahan beliau berkaitan isu ini dapat menyedarkan banyak pihak terutamanya netizen. Bersyukur hampir tertipu, seorang netizen meninggalkan komen. "Alhamdulillah, kebetulan saya nampak tweet tu. Jadi tanggungjawab saya untuk betulkan apa yang tidak. Mungkin kalau saya seorang engineer, saya pun tak tahu dan kemungkinan besar saya percaya dan terus menderma. Tetapi, sebab ini dalam bidang saya, saya cuba ketengahkan perkara ini," tegas Aqwa. Namun, menerusi bebenang (thread) pada posting tersebut, lelaki itu berkata dia hanya copy paste maklumat yang dihantar oleh kawannya menerusi kumpulan WhatsApp dan dia hanya ingin membantu sahaja. Nasihat Aqwa buat lelaki tersebut, dia seharusnya menyemak dahulu kesahihan fakta sebelum memuat naik perkongsian tersebut di laman sosial.