suria

Sakit kepala tak tertanggung, ubat hospital tak berkesan, lelaki ini buat ujian mental sendiri - “Saya menangis, luah segalanya kepada doktor”

Ery mengakui kemurungannya berpunca selepas atoknya meningggal dunia dan terlalu 'push' untuk kumpul duit.

LEBIH dua bulan menanggung migrain teruk sehingga sukar untuk tidur memaksa pemuda ini mendapatkan rawatan untuk mengetahui punca sebenar kesakitannya.

Menurut Mohd Ery Putra Faizal Jisirin, 24, yang berasal dari Balakong, Selangor, dia terpaksa keluar masuk hospital gara-gara tidak tahan dengan sakit kepala yang dialaminya.

Malang sekali ubat-ubatan yang diberikan oleh pihak hospital juga tidak membantu mengurangkan kesakitannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai pernah kelar tangan hukum diri, gadis nasihat mangsa depresi "kalau nak baik, buat rawatan"

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih ramai rakyat Malaysia alami depresi

"Sejak dua bulan lepas memang saya alami migrain teruk selama beberapa hari dan ada masa sukar untuk bernafas. Tidak tahan dengan keadaan itu saya terus pergi hospital dan doktor hanya beritahu saya kurang rehat dan beri ubat tahan sakit.

Posting Ery mengenai DASS mendapat perhatian warga Twitter.

"Tetapi kepala saya tetap sakit. Jadi selepas beberapa hari saya sekali lagi pergi ke klinik swasta mendapatkan rawatan. Doktor beritahu saya kemungkinan saya ada gastrik dan beri empat jenis ubat termasuk tahan sakit.

"Dalam tempoh dua minggu, bulan lepas migrain saya itu masih tidak berkurangan," kongsi Ery kepada mStar.

Menurut Ery, hatinya terdetik untuk mencari jalan penyelesaian sendiri dengan membuat kajian bagi mencari punca penyakitnya itu.

"Saya ternampak pautan Depression Anxiety Stress Scale (DASS) yang menunjukkan tanda-tanda sama yang saya lalui sepanjang dua bulan ini.

"Jadi saya cuba buat ujian itu dan keputusannya amat mengejutkan apabila ia menunjukkan saya mengalami keresahan dan tekanan yang teruk.

"Dengan keputusan itu saya terus merujuk kepada hospital dan berjumpa dengan jururawat di sana. Selepas bercerita semua, dia sarankan saya pergi ke bahagian psikiatri.

Saya luahkan segalanya kepada doktor. Ada sekali ketika berborak dengannya saya menangis. Dan selepas itu baharulah saya tahu punca saya jadi begini.

MOHD ERY PUTRA FAISAL JISIRIN

PENGHIDAP DEPRESI

"Di sana saya berjumpa dengan seorang doktor dan saya ceritakan segalanya. Doktor itu turut buat ujian DASS, tetapi dengan lebih terperinci lagi.

"Selepas membuat penilaian, doktor ada beritahu saya mengalami depresi dan meminta saya menjalani kaunseling setiap dua minggu.

"Selepas menjalani sesi kaunseling (sekali) saya dapat rasakan kepala sedikit ringan, tidak terlalu berat seperti sebelum ini," katanya.

Jelas Ery lagi, selepas sesi kaunseling pertamanya, dia kini tahu punca-punca depresi yang dihidapinya.

"Saya luahkan segalanya kepada doktor. Ada sekali ketika berborak dengannya saya menangis. Dan selepas itu baharulah saya tahu punca saya jadi begini.

"Salah satunya perasaan sedih belum hilang selepas datuk meninggal dunia tahun lepas. Memang saya rapat dengannya dan sepanjang tiga bulan dia sakit, saya berhenti kerja dan menjaganya.

"Kedua, saya terlalu 'push' diri sendiri kerja kuat sehingga tidak ada rehat semata-mata nak kumpul duit untuk berkahwin tahun depan. Sebab itu saya susah nak tidur dan rehat.

Pengguna Twitter turut membuat ujian DASS.

"Keadaan ini juga membuatkan saya tertekan dan mengambil keputusan tidak bergaul dengan sesiapa, malah pernah sekali tidak menghubungi keluarga lebih kurang dua minggu.

"Jadi dari sinilah saya tahu punca saya berada dalam tekanan dan depresi. Doktor nasihatkan saya supaya sentiasa kongsi perasaan sedih atau gembira dengan keluarga atau rakan-rakan," ujar anak sulung daripada empat orang adik beradik ini.

Tambah Ery yang kini menetap di Sabah, dia turut berkongsi mengenai DASS di laman Twitternya.

"Saya hanya berkongsi kerana sedar ramai yang mengalami masalah depresi.

"Allhamdulillah ramai mengambilnya secara positif. Bagi saya, perkongsian itu bukan untuk rawatan sebaliknya ia adalah medium untuk kita mendapatkan jalan penyelesaian yang lebih baik," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Migrain, DASS, Depresi

Artikel Lain