suria

Dulu pelik, kini anak faham kenapa mak ayah tak mahu kembang bisnes nasi lemak - “Sebab itu agaknya mereka bahagia walau tak kaya raya”

Mak dan ayah Alif menawarkan nasi lemak biasa pada harga RM1.50 sejak 2008 hingga hari ini.

JIKA dulu sebungkus nasi lemak berharga RM1, tetapi harga itu mustahil untuk kita dapat pada hari ini terutamanya di bandar-bandar besar.

Rata-rata peniaga tiada pilihan melainkan menaikkan harga jualan atas faktor kenaikan harga barang demi survival perniagaan mereka.

Namun berbeza pula dengan pasangan warga emas, Saadon Kastary, 65, dan isterinya, Saadiah Abdullah, 62, yang memilih untuk mengekalkan harga RM1.50 bagi sebungkus nasi lemak biasa selama hampir 11 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah bergelut habiskan nasi lemak demi sara 7 adik, gadis ini tak lokek kongsi cara masak sambal paru yang ‘sumpah win’

ARTIKEL BERKAITAN: Pemilik ditipu, dibuli, nasi lemak viral Raja Muda Selangor 'gulung tikar'... apa yang owner dapat kemudian amat mengejutkan, “Saya nangis peluk suami”

Anak kepada pasangan itu, Mohammad Alif Saadon ketika dihubungi mStar berkata ibu bapanya mempunyai alasan tersendiri untuk mengekalkan harga tersebut.

"Pada harga kita dah jual tu ada je untungnya cuma untung tu makin kurang. Target kami lebih kepada jual volume sebab prinsip parents saya lebih kepada berniaga sebab nak bagi lebih ramai orang boleh merasa.

Perniagaan itu diusahakan ibu bapa Alif sendiri di Taman Desa Anggerik, Nilai.

"Mereka berniaga bukan kerana nak kaya. Kalau jual mahal maknanya kami dah kurangkan orang yang mampu membeli. Jadi mak bapa saya mahu semua orang mampu membeli sebab kawasan tu ramai student," katanya.

Malah Mohammad Alif atau mesra disapa Alif berkata kedua-dua ibu bapanya lebih selesa menguruskan perniagaan itu sendiri bagi mengekalkan harga dan juga rasa hidangan tersebut.

"Mak saya start berniaga masa kat tinggal dekat Bangi. Masa tu ayah saya masih bekerja dengan orang. Kami pindah ke Nilai sebab dapat tawaran operate canteen masa pembinaan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

"Bila ayah saya sakit dan tak boleh bekerja sebagai pemandu dia bantu mak buka gerai. Saya pun peliklah juga mereka tak ada ke plan nak besarkan lagi gerai sebab buka gerai pun dah lama.

"Kalau ada gerai ayah cakap kami kena upah pekerja dan terpaksa jual lebih mahal. Jadi mereka kata biarlah berniaga kecil-kecil macam ni janji tak susah. Sebab itulah agaknya saya nampak mereka sentiasa bahagia walau tak kaya raya," katanya.

Antara nasi lemak yang ditawarkan di gerai tersebut.

Alif berkongsi rahsia perniagaan kedua-dua ibu bapanya itu yang masih bertahan sehingga hari ini di Twitternya.

Perkongsian pemuda berusia 31 tahun itu mendapat 15,700 ulang kicau dan 11,700 tanda suka.

Anak keempat daripada lima beradik itu tidak menduga postingnya itu mendapat perhatian ramai.

"Saya post tu sebenarnya nak bantu parents saya promote gerai mereka. Kebetulan minggu lepas saya pulang ke Nilai. Jadi saya bantu mereka sekejap sementara tunggu nak masuk kerja petang.

Ayah saya orang Johor. Biasanya bila buat sambal nasi lemak, ikan bilis digoreng asing tapi kami masak sekali dalam sambal sampai keluar minyak ikan bilis tu.

MOHAMMAD ALIF SAADON

"Tiba-tiba datang perasaan rindu dengan suasana pagi-pagi time berniaga dulu. Cuma sekarang sambutan tak macam dulu-dulu, jadi feel tu kurang sikit.

"Dulu kalau pergi berniaga sampai je ada orang dah menunggu dekat situ. Kadang tu ada pelanggan yang nak cepat mereka sanggup tolong buka gerai. Tapi sekarang suasana dah lain," katanya.

Rata-rata netizen memberi reaksi positif tentang keenakan Nasi Lemak Anggerik yang dijual ibu bapa Alif.

Posting Alif tular di Twitter.

"Seriously nasi lemak ni paling padu, murah pun murah," kata Syeraa.

"Saya ex student Usim 2009-2014... selalu beli nasi lemak dekat sini dulu. Sedap! Cravingnya. Moga murah rezeki selalu," kata Kiela.

Ditanya mengenai rahsia keenakan nasi lemak keluarganya, Alif berkata ramai suka sambal ikan bilis pada nasi lemak itu yang juga resipi sebelah bapanya.

"Ayah saya orang Johor. Biasanya bila buat sambal nasi lemak, ikan bilis digoreng asing tapi kami masak sekali dalam sambal sampai keluar minyak ikan bilis tu.

"Itu yang buat rasa sambal tu lebih sedap berbeza dengan tempat lain. Lagipun mak ayah saya memang pentingkan rasa. Mereka akan maintain dengan cara mereka. 

"Kalau dah biasa guna kawah besar, mereka akan kekalkan masak saiz tu juga walaupun order banyak. Mereka sanggup masa dua kali demi kekalkan rasa," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain