'PERNAH rasa nak bunuh diri suatu ketika dahulu,' luah seorang suami dalam satu majlis seminar yang dianjurkan oleh penceramah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew @ Lew Yun Pau atau lebih dikenali sebagai ustaz Ebit Lew. Terkenal dengan cara berdakwah secara 'halus', selain bahasa yang digunakan sangat menyentuh hati, pastinya ustaz Ebit Lew menjadi pilihan ramai terutamanya golongan muda untuk mendapatkan pandangan serta bebas berkongsi masalah. ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda India sebak dipeluk Ebit Lew, akui ia malam terindah dalam hidupnya - “Sedih... dah 6 tahun tak jumpa anak” Terbaharu, satu posting yang dimuatnaik oleh ustaz Ebit di akaun Facebook miliknya pada Isnin mendapat perhatian ramai dengan meraih kira-kira 34,000 perkongsian (share). "Terkejut sangat sebak bila saya tanya siapa pernah rasa putus asa dalam hidup, rasa lebih baik mati je dan terasa macam nak bunuh diri," katanya menerusi posting tersebut. Video berdurasi 3:32 saat itu menunjukkan seorang suami sanggup merendahkan egonya dengan berkongsi kisahnya yang pernah putus harapan dalam kehidupan suatu ketika dahulu sehinggakan berasa adalah lebih baik untuk dirinya mati sahaja. Ya Allah terharunya. Syukur abang ni baru dapat kerja dan berterima kasih pada isterinya membawa beliau ke sini. MasyaAllah. Abang ini orang baik dan rendah diri. Isterinya baik dan memaafkannya. Doa seorang isteri yang solehah. Subhanallah. Syukur pada Allah. EBIT LEW PENCERAMAH Lelaki itu meluahkan rasa kecewa dengan sikapnya yang dirasakan selalu menyusahkan isteri. Luahan itu dikongsinya semasa menghadiri seminar 'Keluarga Sunnah #PerbaikiDiri' yang diadakan baru-baru ini. "Fikiran rasa macam down sangat-sangat. Dengan kerja tak ada. Anak ramai. Harapkan kerja, harapkan duit kerja isteri. Gitulah ustaz. Kadang-kadang isteri pun selalu duduk menangis dengan kita. "Tension dengan kitalah. Maksudnya... kita pun ada buat hal juga. Ada buat perangai yang isteri tak suka," luah lelaki itu dengan perasaan menyesal. Lelaki itu seterusnya berkongsi tentang kesempitan hidupnya, yang bukan sahaja hilang pekerjaan tetapi juga buntu untuk mencari kerja. Malah berdasarkan video tersebut, ustaz Ebit mengambil pendekatan dengan memberi semangat serta mendoakan yang terbaik buat lelaki itu. Turut dilihat lelaki itu keluar memeluk penceramah itu sambil ditenangkan beliau. Suasana majlis bertukar hiba apabila lelaki ini bangun dan memeluk isterinya. Menurut lelaki itu, isterinya yang mengajak dia untuk bersama-sama menghadiri majlis itu. "Abang sangat hebat, mulia. Abang ada doa Nabi. Abang dari muda dah Islam. Allah sayang dekat abang. Abang langsung tak ada apa-apa kurang. Abang ada doa Nabi. Nabi sayang dekat abang. "Abang ada doa mak ayah abang yang sangat kuat, hebat, baik. Semua orang buat silap, yang terbaik yang minta ampun. Saya sayang abang kerana Allah. Sebab tu abang jangan rasa nak mati, rasa macam putus asa. Jangan pernah putus asa daripada rahmat Allah," nasihat penceramah itu kepadanya yang akhirnya menyebabkan air mata mengalir. Selain itu, ustaz Ebit juga turut mendoakan agar lelaki itu dipermudahkan dan diberikan kekuatan dunia akhirat serta pekerjaan yang baik. Jelasnya lagi, ujian itu hanya untuk menguji lelaki ini untuk menjadi manusia yang lebih kuat dan mengingatkan agar kita tidak mengulang kembali kesilapan lalu. Suasana majlis bertukar hiba apabila lelaki itu keluar tanpa mengenakan kasut menuju ke bahagian belakang untuk berjumpa dan memeluk isterinya sambil meminta maaf. Perasaan sedih itu turut dirasai oleh tetamu pada majlis itu yang rata-ratanya turut terkesan dengan luahannya sehingga ada yang mengalirkan air mata. Rata-rata netizen mendoakan yang terbaik buat pasangan ini. Difahamkan lelaki itu baru sahaja mendapat pekerjaan. "Ya Allah terharunya. Syukur abang ni baru dapat kerja dan berterima kasih pada isterinya membawa beliau ke sini. Masya-Allah. Abang ini orang baik dan rendah diri. Isterinya baik dan memaafkannya. Doa seorang isteri yang solehah. Subhanallah. Syukur pada Allah," kongsi ustaz Ebit menerusi posting tersebut. Menurut penceramah itu, terdapat beberapa pasangan yang pada awalnya bercadang untuk berpisah pada hari kejadian akhirnya berbisik bahawa mereka bercadang untuk meneruskan ikatan perkahwinan yang dibina. "Terima kasih Allah. Dialah Allah Maha Kaya. Maha Kuasa. Hati manusia dalam genggaman-Nya," katanya. View this post on Instagram Setiap manusia pasti diuji dengan pelbagai dugaan dalam hidup. #mstaronline #mstarkongsi A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on Oct 8, 2019 at 5:08am PDT