suria

Comel! Adik kecut perut hilangkan airpods kakak sampai sanggup guna duit sekolah, duit raya ganti baharu - “Saya pilih untuk jujur”

Amsyar mengakui kakaknya seorang yang baik hati namun sedikit tegas jika melibatkan barangan kesayangannya.

DALAM hubungan adik beradik pasti ada pasang surutnya, terkadang ada perselisihan faham dan termakan hati sudah menjadi kebiasaan.

Namun, salah faham antara adik beradik boleh dipulihkan hanya dengan melalui komunikasi ibarat, ‘carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum jua’.

ARTIKEL BERKAITAN: Karangan 'makan dalam' adik umur 10 tahun buat kakak terkejut... “Sorry dik”

Baru-baru ini tular satu posting yang dimuatnaik oleh seorang gadis yang dikenali sebagai Diyana Sabri di laman Twitter miliknya dengan kapsyen, ‘Adik saya hilangkan airpods saya tetapi dia sendiri tidak takut untuk jujur. Malah dia juga turut beli airpods yang baru untuk saya. Semestinya, ibu saya membesarkan dia dengan baik selain penuh rasa hormat dan bertanggungjawab’.

Posting yang memuatkan sebuah video berdurasi 0:55 saat dimuatnaik pada Ahad itu mendapat perhatian ramai dengan meraih kira-kira 18,900 ulang kicau (retweet) dan 27,200 suka (like).

Posting yang tular di laman Twitter.

Menurut Amsyar Mohd Sabri, 17, pada Khamis lalu dia meminjam airpods kakaknya dan secara tidak sengaja memasukkan aksesori telefon bimbit tersebut ke dalam beg sekolahnya.

Malangnya, ia didapati hilang sewaktu pulang dari sekolah pada Jumaat.

“Saya ada bagitahu kakak nak pinjam airpods hari tu, lepas tu saya letak dalam beg terbawa pergi sekolah. Sebenarnya tak ada niat pun saya nak bawa ke sekolah, cuma tak sengaja. Lepas tu masa nak balik saya check airpods tu dah hilang.

“Tapi dekat sekolah tak ada pula saya guna, mungkin silap saya tengah-tengah kemas beg ada orang nampak dan dia ambil. Tapi yang hilang airpods saja, bekas dia ada. Mungkin orang yang ambil tu tahu kot kalau dia ambil sekali dengan bekas tu kita boleh trace,” kata Amsyar ketika dihubungi mStar.

Risau dimarahi kakaknya, anak kedua daripada tiga orang adik beradik itu kemudiannya memaklumkan perkara tersebut kepada ibunya.

“Balik sekolah tu saya memang tak ada beritahu sesiapa, saya terus telefon mak saya tanyakan pendapat dia. Mula-mula tu mak saya marahlah, tapi saya cakap nak buat macam mana benda nak jadi kan. Mak ada cakap kalau nak ganti mak boleh bagi duit, tapi saya tolak. Buat apa nak susahkan mak sedangkan saya yang bagi hilang, lagipun saya ada duit simpanan lebih dalam akaun.

“Lepas tu saya terus telefon kawan minta teman pergi Wangsa Walk Mall, KL sebab nak cari airpods baharu. Kakak memang tak tahu masa tu yang airpods dia hilang dan saya pun pergi diam-diam,” kongsinya.

Merupakan salah seorang pelajar di Sekolah Menengah Setiabudi, Gombak, Amsyar kemudiannya mengambil inisiatif untuk ke pusat beli belah tersebut pada Sabtu.

Saya sendiri tak sangka video tu tular, namun saya bersyukur ramai juga yang bagi kata positif, ada juga yang puji cara saya bercakap dengan kakak. Bagi saya, sebenarnya kat luar sana ramai sahaja yang bahasakan diri, ‘adik-kakak’ tapi kita tak tahu. Dan bila dah viral macam ni ramai yang buka mata, lagipun memang dari dulu saya dah diajar oleh mak ayah.

AMSYAR MOHD SABRI

PELAJAR

Amsyar juga sedia maklum bahawa harga airpods agak mahal, namun dia sanggup menggunakan wang simpanannya hanya untuk menggantikannya. Dia membelanjakan RM 699 bagi mendapatkan airpods yang baharu.

Tambah Amsyar, dia memang mempunyai simpanannya sendiri hasil simpanan duit lebihan belanja sekolah yang dikumpul serta duit raya yang diperolehinya, dan kemudian meminta ibunya menyimpan kesemua wang tersebut dalam akaun peribadinya.

“Alhamdulillah, kakak langsung tak tanya tentang airpods dia yang saya hilangkan tu. Masa saya beli, mula-mula tu saya ingat saya tak nak mengaku juga. Saya fikir saya nak bagi macam tu saja, sebab kalau bagi pun dia tak tau kan. Tapi saya rasa macam, apa guna dah beli lepas tu menipu pula kan. Jadi saya pilih untuk jujur ajelah walaupun saya tahu dia akan marah,” jelas anak kelahiran Ampang itu.

Kongsi Amsyar lagi, rakannya bertindak merakam video tular itu di laman Twitter tanpa pengetahuannya.

“Mula-mula memang tak ada niat nak rekod. Dan saya rasa bila ada kawan-kawan menyebabkan kakak lagi kurang marahlah. Jadi saya rasa masa tu memang sesuailah untuk saya bagi airpods tu dan beritahu perkara sebenar,” kata Amsyar yang menyifatkan kakaknya seorang yang baik namun sedikit tegas jika melibatkan barangan kesayangannya.

Kata-kata positif dari netizen tentang hubungan adik beradik ini.

Amsyar pada mulanya tidak menyangka bahawa video pengakuan serta kejutan menghadiahkan airpods yang baharu kepada kakaknya tular di Twitter selain bersyukur kerana ramai yang memberikan respon yang positif kepadanya.

“Saya sendiri tak sangka video tu tular, namun saya bersyukur ramai yang sokong, ramai juga yang bagi kata-kata positif malah ada juga yang puji cara saya bercakap dengan kakak. Bagi saya, sebenarnya kat luar sana ramai sahaja yang bahasakan diri, ‘adik-kakak’ tapi kita tak tahu. Dan bila dah viral macam ni ramai yang buka mata, lagipun memang dari dulu saya dah diajar oleh mak ayah,” luahnya.

Merupakan salah seorang calon SPM tahun ini, Amsyar berharap agar orang ramai akan lebih menghargai hubungan adik beradik selain mengingatkan bahawa walau apa pun yang berlaku keluarga perlu diberikan keutamaan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
hubungan, adik, kakak

Artikel Lain