suria

“Nak duduk asrama?” Rupa-rupanya penghuni rumah anak yatim pada usia 10 tahun… Kecekalan gadis ini harungi derita patut jadi iktibar

Gambar kenangan Adilla bersama arwah ibu dan bapanya yang masih disimpan.

SEAKAN-akan tiada lagi bahagia, hanya jalan gelap menanti kehidupannya apabila kehilangan dua orang tua. Ia antara ujian terbesar dalam hidup setiap insan.

Namun, bagi gadis ini, meskipun ibu bapanya pergi dijemput Illahi, semangat serta kisah ketabahan hatinya dalam meneruskan kehidupan harus dijadikan pedoman untuk semua.

ARTIKEL BERKAITAN: Datang nak lawat, anak terpaksa tipu bapa ‘mak OK’ walau dah meninggal... ikut isteri 6 bulan kemudian

Baru-baru ini tular satu posting yang dimuat naik oleh seorang gadis, Adilla Kamaruzzaman, 23, di akaun twitter miliknya dengan kapsyen, Ini adalah selepas dua tahun lalu. Saya dahulunya tiada apa-apa. Sekarang, Alhamdulliah syukran ya Allah kerana perkenankan semua doa-doa saya serta meluaskan rezeki saya.

Posting yang pernah dimuat naik oleh Adilla dua tahun dahulu kembali tular.

Adilla yang dahulunya pernah memuat naik satu perkongsian kisah silamnya kehilangan ibu bapa ketika masih kecil. Orang tua pergi menjala, menjala sambil mata tertutup. Dulu anakmu dianggap gila, kini mampu teruskan hidup. Terima kasih mama, ayah, demikian luah gadis ini pada posting yang dimuat naik pada dua tahun lalu.

Malah posting tersebut kembali tular serta mendapat perhatian ramai dengan meraih kira-kira 35,200 ulang kicau (retweet) dan 29,200 tanda suka (likes).

Menurut Adilla yang merupakan anak tunggal, peristiwa pahit ini berlaku sekitar 19 tahun lalu, apabila dia kehilangan ibunya.

"Semuanya bermula penghujung Ogos tahun 2000. Pada malam kejadian tu saya dengan mama dan abah naik motor pergi ke satu pesta, masa tu saya baru 4 tahun. Dalam perjalanan balik, kami dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta menyebabkan kami tercampak di tengah jalan.

"Dalam sekelip mata ada sebuah lori gilis mama depan mata. Mama meninggal masa tu juga," katanya dengan nada sebak kepada mStar.

Gadis kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan ini berkata, selepas kejadian itu dia hanya tinggal berdua bersama ayahnya. 

Namun kebahagiaan mereka tidak kekal lama apabila ayahnya pula pergi menghadap Allah ketika umurnya 10 tahun.

"Lepas enam tahun mama pergi, ayah pula dijemput Ilahi sekitar Jun 2006 sebab jatuh di bilik air. Masa tu perasaan saya sedih sangat sebab selama ni hanya tinggal saya dan ayah sahaja. Bagi saya ayahlah segala-galanya, tapi Allah lebih sayangkan dia," luahnya lagi.

Seakan-akan masih tidak percaya dengan berita kematian ayahnya, menyebabkan gadis ini sering 'menunggu' ayahnya di luar rumah pada setiap pagi untuk menghantarnya ke sekolah.

Tapi itulah Allah masih sayangkan saya, banyak ujian dan cabaran yang dititipkan kepada saya sampaikan kadang rasa tak kuat. Mengeluh ada, tapi takda lah nak salahkan takdir seratus peratus. Alhamdulillah, saya sekarang pun dah berjaya

ADILLA KAMARUZZAMAN

Atas persetujuaan bersama saudara yang lain, Adilla kemudiannya dibawa ke rumah anak yatim di Ampangan, Seremban dan meneruskan kehidupannya di situ selama lapan tahun.

"Selang beberapa bulan lepas ayah meninggal pakcik ada tanya saya, nak duduk asrama tak? Pakcik tak cakap pun nak tempatkan saya di rumah anak yatim. Saya pun okaylah sebab bila fikir nanti dapat ramai kawan, tapi bila sampai saja di sana (rumah anak yatim), langsung tak sama macam yang dicakapkan. Ia hanya sebuah rumah dan saya nampak papan tanda tercatat 'Rumah Anak Yatim'.

"Pakcik ada janji nak ambil saya semula bila umur saya cecah 12 tahun. Saya tunggu, tapi akhirnya saya hanya jadi penunggu. Tahun pertama, kedua dan seterusnya. Tapi Alhamdulillah, semua layanan baik, penjagaan di sana tak pernah bezakan kasih sayang antara anak-anaknya dengan kami," kongsi Adilla yang bersyukur dengan perjalanan hidupnya bersama pengasuh di rumah kebajikan itu.

Tambah Adilla, banyak ujian yang menimpanya selepas kehilangan kedua-dua orang tuanya apabila dia mula berasa keseorangan, kurang kasih sayang dan sering diuji dengan masalah.

Lebih menyedihkan apabila gadis ini pernah dicaci kerana dikatakan gila, busuk dan kotor, namun itu semua tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berjaya dalam hidup termasuk menangani kemelut kewangan ketika melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti di Melaka.

Walaupun pelbagai ujian yang datang, ia tidak mematahkan semangat gadis ini untuk terus berjaya.

"Sebenarnya ramai juga tanya macam mana saya boleh sambung belajar lepas mama dan abah meninggal. Pertama, saya guna duit simpanan sepanjang saya tinggal di rumah anak yatim. Itulah yang jadi bekal saya. Tapi tu semua memang tak cukup, dan hanya bertahan sampai hingga semester tiga.

"Kedua saya mohon PTPTN dan saya hanya dapat RM1,000 sahaja untuk setiap semester. Apa yang saya buat, saya akan beli barang-barang art dulu lepas tu baru belanja saya. Kadang-kadang kalau tak cukup juga saya puasa," kata gadis cekal ini yang percaya setiap dugaan pasti ada hikmah disebalik derita yang dialaminya.

Jelasnya, setiap kali pada tarikh istimewa seperti hari ibu, hari bapa dan hari jadinya, dia akan menziahari pusara kedua ibu bapanya bagi mendoakan yang terbaik buat mereka.

Malah gadis berusia 23 tahun ini berjaya menghadiahkan segulung Diploma dalam Seni Lukis dan Seni Reka buat arwah ibu dan bapanya, sekali gus membuktikan dia seorang insan yang tabah.

Rata-rata netizen memberikan kata-kata positif serta mendoakan yang terbaik buat gadis ini.

"Tipulah kalau saya tak pernah rasa putus asa, malah saya sendiri pernah ambil pisau di dapur sebab nak mati. Masa tu baru beberapa bulan saya di rumah anak yatim, mujur ada kawan yang nampak.

"Tapi itulah Allah masih sayangkan saya, banyak ujian dan cabaran yang dititipkan sampaikan kadang rasa tak kuat. Mengeluh ada, tapi tak nak salahkan takdir seratus peratus. Alhamdulillah, saya sekarang dah berjaya," luah Adilla yang kini bekerja sebagai kerani perakaunan dan bersyukur doanya selama ini diperkenankan Allah.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
gadis, maut, meninggal dunia

Artikel Lain