MEMANG sejak kebelakangan ini, terdapat banyak kes gangguan seksual dilaporkan serta diviralkan di media sosial. Umpama bermusim, gangguan seksual terhadap wanita berlaku tanpa mengira masa dan lokasi, asalkan sang pelaku dapat memenuhi nafsu sendiri. Malah si pelaku juga semakin berani melakukan perbuatan tidak bermoral itu di lokasi terbuka serta tempat tumpuan ramai menggunakan kaedah licik untuk mengaburi tingkah laku mereka. ARTIKEL BERKAITAN: Gigih menyelit, rupa-rupanya mat motor ada plan baik punya! Wanita terkedu tengok lelaki gila seks sebelah pintu kereta ARTIKEL BERKAITAN: Selepas lawan tarik beg dengan peragut sampai masuk wad kecemasan, wanita ini baru tahu dia sedang hamil... ini pesanannya buat lelaki berjaket hitam! Begitu juga dengan kisah yang dialami wanita ini, yang berkongsi pengalamannya menjadi mangsa gangguan seksual menerusi satu posting di laman Facebook. Hanya mahu dikenali sebagai Ayda, wanita ini berkata dia sama sekali tidak menyangka menjadi mangsa gangguan seksual sehingga menyebabkan dirinya trauma untuk keluar rumah tanpa ditemani suami. Mengimbas kembali kejadian yang berlaku Rabu lalu, Ayda berkata dia bersama ibu, adik dan dua anaknya pergi ke sebuah pasar raya mini di Seremban untuk membeli perkakas rumah. “Kami pergi ke pasar raya mini itu lebih kurang pukul 3.30 petang. Bila sampai di sana, saya berseorangan kerana mahu mencari botol air plastik, manakala ibu bersama adik. “Ketika sedang ralit membelek, tiba-tiba saya rasa seperti dihimpit seseorang dan paling membuatkan saya tersentak apabila punggung saya macam terkena sesuatu seperti alat sulit lelaki. “Terlalu terkejut, saya terus menjerit dan ketika berpaling, saya sempat melihat sesuatu sungguhpun lelaki itu memakai jeans. Saya terus berlalu sambil menangis dan mendapatkan ibu saya, manakala lelaki itu berpura-pura terpinga-pinga seolah tiada apa yang berlaku,” kata wanita berusia 28 tahun ini. Ayda turut menerima komen negatif daripada netizen mengenai perkongsiannya. Ujar Ayda, ibunya meminta dia berdepan dengan lelaki berkenaan, namun Ayda mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan memberitahu suaminya kerana bimbang diapa-apakan. “Tak ada saksi yang betul-betul nampak perbuatan lelaki ini. Sebaik sampai di rumah, saya beritahu suami, dan kami bersama-sama pasar raya mini tersebut untuk meminta rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Staf di sana berikan kerjasama dan rakaman itu saya ambil sebagai bukti,” kata suri rumah ini lagi. Terdahulu Ayda berkongsi pengalamannya menerusi satu posting di Facebook, selain turut menyertakan klip video rakaman CCTV yang diperoleh daripada pasar raya mini berkenaan. Menerusi klip video berdurasi 32 saat itu, kelihatan seorang lelaki gempal berbaju biru menghampiri dan merapati badan Ayda daripada belakang, sebelum menunjukkan reaksi terkejut selepas wanita itu menjerit. Kejadian itu berlaku pantas, kalau lihat sekali imbas saja, mungkin tak nampak seperti yang saya ceritakan. Tapi, cuba fikir logik, kenapa dia beriya-iya nak ambil barang di tempat saya berdiri. Kalau betul dia tak ada niat, dia boleh saja minta saya ke tepi sedikit. Saya pasti akan beri laluan. AYDA MANGSA Perkongsian itu mendapat reaksi yang pelbagai daripada netizen, malah tidak kurang ada yang mempertikaikan kesahihan kisah ibu kepada dua anak ini. “Kejadian itu berlaku pantas, kalau lihat sekali imbas saja, mungkin tak nampak seperti yang saya ceritakan. Tapi, cuba fikir logik, kenapa dia beriya-iya nak ambil barang di tempat saya berdiri. Kalau betul dia tak ada niat, dia boleh saja minta saya ke tepi sedikit dan tentunya saya akan beri laluan. “Lagipun dia tak lihat-lihat atau pilih-pilih pun barang, sebaliknya terus terpa ambil barang. Lorong tu punya luas, dia nak juga menghimpit. Barangkali orang yang tak pernah kena akan beri komen negatif. Tapi saya yang merasainya. “Saya tak ambil kisah sangat dengan komen negatif. Niat saya kongsi di laman sosial untuk beri peringatan, kerana bimbang ada yang akan terkena dengan orang yang sama. Lebih daripada itu, saya mahu ingatkan wanita dan ibu bapa di luar sana agar berhati-hati kerana sekarang ni banyak kes gangguan seksual. Tak dapat bayangkan kalau ia terjadi kepada anak kecil kita,” kata Ayda. Tambah wanita ini, dia sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis agar pelaku tersebut dibawa ke muka pengadilan.