suria

Tak rapat, tapi rakan 'caring' semacam masa konvo petanda ajal... diajak bergambar beri alasan - “Dia sempat toleh belakang tengok jubah saya”

Amirul bersama arwah Amir Nasriq (kanan) baru sahaja menggenggam segulung diploma pada pagi Selasa lalu.

KEHILANGAN rakan sudah tentu sesuatu yang perit, apatah lagi jika kedua-duanya baru sahaja meraikan kejayaan tamat pengajian peringkat diploma.

Lebih memilukan berita pemergian Amir Nasriq Abdul Haris, graduan Diploma Pengurusan Perladangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jengka, Pahang diketahui rakannya, Amirul Afiq Abd Latif sehari selepas mereka hadir majlis konvokesyen bersama-sama pada pagi Selasa lalu.

Perkongsian hiba Amirul Afiq mengenai kisah pemergian rakan sekuliahnya itu di Twitter mengundang sebak netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya tak kuat nak naik pentas" - Sayu, isteri dedah suami berahsia sambung master sebab 'takut malu', meninggal selepas 4 hari disahkan kanser

ARTIKEL BERKAITAN: Graduan terharu, 2 insan istimewa hadir pada majlis konvokesyen selepas 10 tahun bercerai... paling tersentuh bapa komen bapa di Instagram!

Pemuda berusia 22 tahun itu turut memuatnaik video arwah sewaktu naik ke atas pentas untuk mengambil skrolnya.

Amirul Afiq ketika dihubungi mStar mengakui terkejut dengan berita pemergian Amir Nasriq.

Jenazah Amir Nasriq selamat disemadikan di kampung halamannya pada pagi Khamis.

“Saya dapat tahu arwah meninggal bila tengok story WhatsApp. Rupanya ayah arwah buat story beritahu Amir Nasriq meninggal accident.

“Waktu tu tergamam sekejap. Rasa macam mimpi sebab kami baru je jumpa pagi Rabu. Tak sangka petang Khamis tu dia pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Cerita Amirul Afiq atau lebih mesra disapa Amirul, sahabatnya itu meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan pulang ke UiTM Kampus Bandaraya Melaka.

“Dia sambung degree kat sana. Saya diberitahu motosikal arwah bertembung dengan lori dekat Kemayan, Triang Bera kira-kira pukul 5 petang Rabu lalu.

Family dia cakap kalau dia balik (kampus) memang dia selalu ikut jalan dalam. Kawasan dekat situ agak berbahaya sebab banyak selekoh dan berbukit.

“Arwah cedera parah. Dia meninggal dekat hospital. Sebelum tu dia sempat call mak ayah di lokasi kejadian cakap dia kemalangan,” katanya.

Rasa macam mimpi sebab kami baru jumpa pagi Rabu. Tak sangka petang Khamis tu dia pergi buat selama-lamanya.

AMIRUL AFIQ ABD LATIF

RAKAN ARWAH

Mengimbau kenangan terakhir mereka, Amirul berkata arwah berkelakuan agak pelik daripada kebiasaannya.

“Kami sebenarnya tak rapat tapi kami berkawan sebab saya pernah satu kelas dengan dia. Selalunya bila jumpa dekat luar tu kami akan bertegur.

“Tapi waktu konvo tu dia rapat dengan saya lain macam. Masa dekat bilik menunggu dia bantu betulkan jubah saya sebab jubah saya tak ada butang atas.

“Selama saya berjalan, selama tulah dia tolong betulkan jubah saya. Sampailah masa nak naik atas pentas tu jubah saya senget.

“Dia dah kat depan masa tu. Dia sempat toleh belakang nak tengok jubah saya dah elok ke tak dan minta saya betulkan sebab senget sikit,” katanya.

Malah Amirul turut terkilan kerana dia dan rakan sekuliahnya tidak sempat bergambar beramai-ramai dengan arwah di luar dewan.

“Saya sempat selfie dengan arwah di dalam dewan tapi masa nak ajak dia bergambar dengan geng-geng lain kat luar dewan dia cakap nak bergambar dengan family dulu.

Gambar kenangan arwah (kanan, depan) bersama rakan sekuliahnya.

“Lepas tu bila dah jumpa balik dia tiba-tiba cakap nak balik pula. Arwah pun ada cakap kalau panjang umur kita jumpa lagi. Tapi Allah lebih sayangkan dia. Alhamdulillah saya sempat minta maaf kat arwah masa dia nak balik tu," katanya.

Menurut Amirul, dia sempat menghadiri pengebumian arwah di Kampung Paya Pulai, Temerloh pada pagi Khamis.

“Masa saya call handphone arwah tak berangkat tapi adik arwah reply WhatsApp saya. Kebetulan saya kerja dekat kawasan rumah arwah. Jadi saya pun singgah sekejap.

“Alhamdulillah urusan pengurusan jenazah dipermudahkan. Sempat juga saya tolong angkat jenazah arwah. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang beriman,” katanya yang menyifatkan arwah sebagai seorang yang rajin dan suka membantu rakan lain.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain