SEBUT sahaja anjing, pasti ada stigma negatif dalam masyarakat Melayu apatah lagi haiwan berkenaan tergolong sebagai salah satu najis berat dalam agama Islam. Hanya kerana pandangan ini, seorang doktor veterinar turut terkena tempias apabila usahanya menyelamatkan dan merawat anjing liar mendapat cemuhan daripada masyarakat. Berkongsi cerita dengan mStar, Dr Muhamad Taqiyudin Zainal Ulum berkata, dia sememangnya sudah lali dengan pandangan sedemikian sejak mula melibatkan diri secara sukarela dalam aktiviti ini pada 2015. ARTIKEL BERKAITAN: Darah keluar banyak sebab salah pasang tiub, doktor kata ‘tak ada masalah’... balik rumah isteri nak pitam tengok suami terketar tahan sakit ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau tak bawa ke kebun, dia mengamuk nak ikut” -Bapa hairan Che Tam terlalu sayangkan haiwan, tak kisah digelar Syukur 2.0 “Kecaman memang banyak sangat dapat, terutama di media sosial. Macam-macam mereka komen bertujuan untuk buatkan saya down. “Ada satu peristiwa, di mana seorang client beragama Islam bawa kucingnya untuk dirawat, bila nampak ada anjing dalam klinik, dia bertanya sama ada saya sudah menyamak (sertu) bilik dan ruangan klinik. “Ada juga yang masuk klinik, mereka terus keluar semula selepas nampak anjing. Tapi saya tak kisah. Sekiranya ada client yang bertanya, saya akan jawab elok-elok dan terangkan bahawa saya sememangnya melakukan sertu dan melakukan mengikut lunas agama,” katanya. Dr Taqiyudin mula merawat anjing-anjing liar sejak tahun 2015. Kisah doktor muda ini menjadi viral kerana kesanggupannya menyelamatkan dan merawat kira-kira 200 anjing liar dengan kos sendiri meskipun tindakannya mendapat cemuhan segelintir masyarakat. Cerita doktor berusia 31 tahun ini lagi, dia hairan dengan sikap segelintir masyarakat yang sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman tanpa memeriksa terlebih dahulu mengenai apa yang dilakukannya. “Sebenarnya, orang yang ada latar belakang ilmu agama langsung tiada isu dengan saya. Antaranya salah seorang pencetus ummah yang popular dan juga Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Saya sentiasa berhubung dengan mereka dan saya sangat hormat dengan pendekatan mereka. “Sebaliknya, orang yang ada isu dengan apa yang saya lakukan ini adalah mereka yang bukan datang daripada golongan agamawan,” ujarnya lagi. Proses sertu akan dilakukan setiap kali selepas merawat anjing. Bercerita lebih lanjut, doktor yang mesra dipanggil Dr Taki ini berkata, dia langsung tidak mempunyai masalah untuk melakukan sertu setiap kali selepas merawat anjing. “Kalau mereka yang sering hentam saya ini tertanya-tanya bagaimana saya bersolat atau sebagainya, saya nak jelaskan bahawa saya tetap mengikut mazhab Syafie. Malah sebenarnya, proses sertuan langsung tak lama. Malah pakaian juga akan saya tukar sebelum bersolat. “Dan sudah semestinya, pakaian yang dipakai sewaktu merawat anjing akan dicuci berasingan sebab saya tahu itu najis. Jadi memang langsung tak ada masalah buat saya untuk bersolat,” ujarnya. Dr Taki juga berkata, dia sedih dengan sikap masyarakat yang memandang hina dengan anjing sehingga sanggup meracun haiwan berkenaan, sedangkan sifat belas kasihan terhadap haiwan adalah salah satu ajaran Islam. Ada satu peristiwa, di mana seorang client beragama Islam bawa kucingnya untuk dirawat, bila nampak ada anjing di dalam klinik, dia bertanya sama ada saya sudah menyamak (sertu) bilik dan ruangan klinik. Ada juga yang masuk klinik, mereka terus keluar semula selepas nampak anjing. DR MUHAMAD TAQIYUDIN ZAINAL ULUM DOKTOR VETERINAR “Sebenarnya ada langkah yang betul untuk masalah ini, bukan terus meracun atau membunuh anjing. Seperti mana yang saya lakukan, anjing yang ditemui akan dikasi (pemandulan). Dengan cara ini, kita dapat mengurangkan populasi anjing. Malah, ia akan lebih jinak berbanding sebelumnya. Anjing-anjing yang dikasi ini akan ditanda,” ujarnya yang mempunyi klinik haiwan di Klang. Kata Dr Taki lagi, dia tetap akan meneruskan aktiviti menyelamatkan anjing-anjing liar kerana menyifatkan ia sebagai sebahagian khidmatnya kepada masyarakat. “Kerja ini membuatkan saya gembira. Tak apa jika tak kaya sekalipun, namun ini adalah salah satu cara untuk kayakan diri dengan amal jariah. Kalau orang tak suka, apa lagi yang boleh saya lakukan?” akhirinya.