"DOA-doa mereka semua adalah ketenangan buat arwah dan kami sekeluarga," demikian kata Mazlan Mat Jadi. Bapa kepada graduan Allahyarham Aina Fatin Najwa ini mencuri perhatian apabila tampil mewakili anak bongsunya yang meninggal dunia November tahun lalu akibat demam denggi. Lebih kurang setahun sudah berlalu, namun bagi Mazlan sekeluarga kehilangan anaknya yang berusia 20 tahun itu adalah satu ujian berat yang dirasakan seperti baru berlaku. ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar tak teruja hadir konvo, tapi “Saya hadiahkan mereka Anugerah Naib Canselor” ARTIKEL BERKAITAN: “Ah sudah habislah aku” - Lulus diploma tapi 'gagal' sifir, pelajar gugup dua kali kira Pro Cancelor kata 'salah juga'! Menurut pesara jurutera berusia 55 tahun ini, hakikatnya dia tidak kuat seperti yang dilihat umum walaupun hadir menerima diploma pengajian untuk arwah anaknya itu. "Dia seorang yang istimewa berbanding kakak serta abangnya kerana sejak kecil lagi dia tidak pernah berpisah dengan saya dan ibunya, Norazian Ahmad. Mazlan (dua, kiri) dan isterinya Norazian selepas menerima skrol Diploma Pengurusan Hotel dan Pelancongan milik arwah anaknya Rabu lalu. "Abang dan kakaknya pergi ke sekolah asrama penuh, jadi tinggallah dia dengan kami dan hubungan jadi sangat rapat. "Pertama kali dia tinggal berjauhan ketika menyambung pengajiannya dalam bidang Diploma Pengurusan Pelancongan di UiTM, Lendu, Melaka. "Apabila dia meninggal dunia tahun lalu, kami sekeluarga sangat merasai kehilangannya. Memang apa yang berlaku ini sudah tertulis dan kami semua meredai pemergiannya," kongsi Mazlan bersama mStar. Jelas Mazlan yang tinggal di Tanjung Agas di Muar, Johor, dia sekeluarga tidak menjangka pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) sanggup mengadakan majlis khas untuk arwah anaknya. Ketika istiadat berlangsung, hati saya tertanya-tanya kenapa pasang lagu sedih. Rupa-rupanya ia untuk 'tribute' arwah Aina Fatin Najwa. MAZLAN MAT JADI Bapa Allahyarham Aina Fatin Najwa "Pihak UiTM tetap mengiktirafkan anak saya dengan memberi skrol yang sangat bermakna buat kami walaupun hanya 95 peratus pengajian keseluruhan yang anak saya habiskan. "Saya menganggap ini satu penghargaan besar buat kami sekeluarga. Pada mulanya saya jangka hanya akan menerima skrol di pejabat atau secara 'offline' sahaja, tetapi rupanya ada majlis istimewa khas untuk arwah. "Kami dilayan seperti VIP, malah dapat berjumpa secara peribadi dengan Naib Cancelor UiTM Profesor Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kassim. "Ketika istiadat berlangsung, hati saya tertanya-tanya kenapa pasang lagu sedih. Rupa-rupanya majlis itu untuk tribute arwah Aina Fatin Najwa. Hati saya mula sebak. "Ketika berjalan naik ke pentas untuk menerima skrol, fikiran dan jiwa saya berasa sangat kosong. Rasa sebak tetapi saya cuba kuatkan dan apabila turun dari pentas itu, saya tidak sedar memeluk skrol arwah," luahnya sayu. View this post on Instagram Sebak tengok video ni. ?. Seorang bapa menerima skrol diploma milik arwah anaknya. #mstaronlineofficial #mstarmns Video kredit: Ain Dzarah Nafisah A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on Oct 18, 2019 at 2:32am PDT Tambah Mazlan, situasi majlis itu telah dirakam oleh pensyarah-pensyarah yang hadir dan dikongsi oleh anak keduanya, Ain Dzarah Nafisah yang kini sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana di UiTM Shah Alam. "Anak kedua saya berkongsi di media sosialnya dan telah menjadi viral. Saya sebenarnya tidak sangka kerana ramai yang ulang kicau video itu. "Rata-rata mereka terharu dengan situasi di istiadat konvo itu. Tetapi apa yang penting bagi saya doa-doa mereka semua adalah ketenangan buat kami sekeluarga menerima hakikat bahawa Aina Fatin Najwa sudah tiada. "Kenangan ini akan kami simpan sampai bila-bila," jelasnya.