RINTIHAN seorang wanita yang diluahkan di sebuah grup halaman Facebook mengundang simpati warganet mengenai nasib malang keluarganya yang tidak mendapat bantuan zakat. Wanita yang dipercayai berasal dari Kedah itu mendakwa ibunya telah memohon bantuan zakat selama bertahun-tahun tetapi malangnya tidak pernah mendapat perhatian pusat zakat. “Mak saya seorang warga emas, minta zakat bertahun-tahun dah, langsung tak ada perhatian. Isi borang tunggu bertahun-tahun,” demikian menurut luahan seorang pengguna Facebook ‘Zaleha Hamid’ yang dikongsikan di halaman grup Facebook Pendang. ARTIKEL BERKAITAN: Berlima Gadai Nyawa Naik Motosikal Ambil Bantuan, Ibu Dedah Dugaan Lain Yang Netizen Tak Tahu ARTIKEL BERKAITAN: Baitulmal Maiwp Akui Makcik Naik Motosikal Berlima Penerima Zakat Tapi... Luahan rasa kecewa wanita itu menjadi tular sehingga mengundang kritikan dan kecaman warganet terhadap Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang didakwa mengabaikan golong asnaf. Antara kritikan termasuk seorang pengikut yang mendakwa tidak mendapat bantuan zakat sehingga terpaksa menanggung derita dengan menjamah lebihan makanan di pasar. “Dulu saya sakit tak boleh bangun dari katil lebih 30 minit. Minta zakat sekupang pun tak boleh bagi sampai makan nasi lemak kat pasar yang jual tak habis. “Biasanya dah basi kat atas, buang yang basi... makan yang bawah elok sikit. Entah siapa yang layak dapat zakat pun tak tahulah,” dakwa warganet berkenaan. Susulan perkongsian yang tular itu, LZNK tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan yang tidak berasas itu. Luahan wanita itu mengundang kritikan warganet. Malahan, LZNK mendedahkan bahawa ibu bapa wanita itu sebenarnya penerima bantuan zakat di bawah agensi itu sejak beberapa tahun lalu. LZNK dalam satu kenyataan di halaman Facebooknya memberitahu ibu bapa wanita tersebut menerima pelbagai bantuan dengan jumlah keseluruhan lebih RM20,000. Alangkah sedihnya apabila dikata sedemikian rupa tanpa asas yang kukuh sedangkan ibu bapanya merupakan penerima bantuan LZNK. Lembaga Zakat Negeri Kedah Menurut LZNK, bantuan tersebut terdiri daripada bantuan baik pulih rumah LZNK pada 2015 sebanyak RM19,853, Hari Raya Aidilfitri RM600 (2016) dan rawatan RM600 (2017). “Alangkah sedihnya apabila dikata sedemikian rupa tanpa asas yang kukuh sedangkan ibu bapanya merupakan penerima bantuan LZNK. “Lebih menyedihkan apabila posting tersebut juga mendapat cacian dan makian daripada netizen lain tanpa mengetahui perkara sebenar,” menurut kenyataan itu. Pusat agihan makanan fakir dan miskin LZNK. Dalam pada itu, LZNK memberitahu ia telah melantik penolong amil di 576 masjid di seluruh negeri bagi membantu dan memudahkan carian asnaf-asnaf yang tercicir dan memerlukan bantuan. Tambahnya, senarai penerima bantuan tersebut kemudian akan ditampal di papan kenyataan masjid untuk tatapan dan makluman semua anak kariah. “LZNK telah menubuhkan Pusat Bekalan Makanan Fakir Miskin (Food Bank) di setiap masjid di seluruh negeri kedah yang menelan kos RM10.5 juta setahun dengan harapan untuk memastikan tiada lagi rakyat Kedah terputus bekalan makanan atau kelaparan. “Siasat dahulu sebelum sebar. Fikir dahulu sebelum tohmah. Pihak LZNK sentiasa terbuka menerima sebarang cadangan atau teguran yang membina bagi meningkatkan lagi keberkesanan agihan dan kutipan bagi membantu dan membangunkan asnaf di Kedah,” katanya.