suria

“Saya mesej emak, beritahu tak mahu teruskan hidup” - Kulit muka teruk, dipukul dan dihentak sehingga ganggu otak... gadis ini derita depresi

Sya berkongsi pengalamannya sebagai seorang yang sedang berdepan dengan masalah depresi di dalam Twitter, di mana perkongsiannya mendapat perhatian para netizen.

MASALAH depresi sememangnya tidak boleh dipandang ringan.

Jika dibiarkan, ia akan menyebabkan seseorang itu cenderung untuk menghidap sakit mental. Begitulah kisah yang dikongsi oleh seorang gadis ini yang hanya mahu dikenali sebagai Sya.

Menjangkau usia 18 tahun, Sya mendedahkan dia sebenarnya didiagnosis menghidap depresi sejak berusia 14 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Baru 2 minggu hisap vape, doktor kesan lelaki ditahan sebab denggi ada satu lagi penyakit - “Saya perlu dibedah, paru-paru divakum”

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki sakit mental terharu gadis belajar overseas sudi kahwin dengannya, “Dengan dia, saya cuba tahan...” 

“Masalah depresi ini saya hidap sudah lama. Pada mulanya, saya mengalami migrain yang teruk, rasa susah untuk bernafas, rasa sakit pada dada. Apabila saya buat pemeriksaan, doktor beritahu jantung saya OK dan saya juga tidak mengalami asma.

“Namun doktor beritahu, masalah saya tak normal. Dia minta saya rujuk pakar, dan pada ketika itulah saya didiagnosis mengalami depresi,” katanya kepada mStar.

Sebelum ini, Sya berkongsi pengalamannya sebagai seorang yang sedang berdepan dengan masalah depresi  di Twitter, yang mana perkongsiannya mendapat perhatian para netizen.

Menerusi satu bebenang (thread), Sya menceritakan bagaimana dia sedang berjuang untuk keluar daripada masalah depresi yang membelenggu hidupnya sekian lama, betapa dia terlalu ingin bebas daripada masalah berkenaan dan menjadi seorang gadis normal yang ceria.

Sya berkongsi pengalamannya mengalami depresi menerusi satu bebenang di Twitter.

Luahan hatinya mengenai depresi yang sedang dialaminya itu sehingga kini diulang kicau sehingga 4,000 kali.

Malah netizen turut sama meluahkan rasa simpati selain memberikan kata-kata semangat buatnya.

Bercerita lebih lanjut, Sya berkata, pelbagai punca yang mendorong dirinya diserang depresi, antaranya hal keluarga dan persekitaran sewaktu alam persekolahannya.

“Biasalah kadang-kadang kita bergaduh sesama adik beradik. Tetapi Sya tak dapat kawal emosi. Pernah juga Sya dipukul dan dihentak sehingga beri kesan kepada otak.

“Paling teruk sekali masalah Sya, sewaktu berada di tingkatan dua. Ketika itu kulit muka Sya bermasalah sangat sebab Sya alergik. Jadi bahagian muka jadi teruk sehingga Sya terpaksa pakai topeng muka selama beberapa bulan.

“Masa tu, memang tak ada orang nak berkawan. Sya terasing sangat. Memang terlalu stress sehingga pelajaran turut terjejas. Masa itu rasa tiada sesiapa yang pedulikan Sya langsung, tak ada tempat untuk mengadu. Sya pendam sendiri dan sebab itulah masalah makin teruk.

“Pada masa itu, Sya mesej emak dan beritahu Sya tak mahu teruskan hidup lagi,” ujar anak ketiga daripada lima orang adik beradik ini.

Komen netizen yang memberikan kata-kata semangat kepada Sya.

Menurut Sya, ibu bapanya pernah mencuba pelbagai cara untuk mengubatinya, termasuk membawanya mendapatkan rawatan perubatan Islam.

“Namun sehingga kini, Sya bergantung dengan ubat-ubatan selain menghadiri beberapa siri terapi dengan pakar psikiatri,” kata gadis yang berasal dari Johor Bahru ini.

Selama empat tahun berdepan dengan masalah depresi, Sya berkata keadaannya kini bertambah baik dan sedang dalam proses penyembuhan.

“Sya cuba positifkan diri, dan menganggap semua yang terjadi sebagai permainan hidup. Tiada sesiapa yang sempurna. Saya juga sibukkan diri dengan bekerja dan kini sudah enam bulan bekerja sebagai promoter di sebuah pasar raya di Johor Bahru.

“Ibu bapa dan keluarga sangat menyokong selepas mereka tahu apa yang Sya hadapi. Alhamdulillah,” akhirinya sambil menasihatkan mana-mana individu yang senasib agar mendapatkan rawatan dengan segera. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
depresi, kulit muka, psikiatri

Artikel Lain