SUDAH menjadi lumrah individu yang bergelar pelajar untuk menuntut ilmu sampai ke menara gading. Semestinya menghadapi peperiksaan atau ujian merupakan perkara biasa buat mereka bagi mengukur potensi atau tahap kecemerlangan masing-masing. ARTIKEL BERKAITAN: “Lewat 30 minit je...” - Pelajar dapat ucapan tahniah sebab lambat masuk kelas, tabah berdepan sindiran ‘makan dalam’ pensyarah Baru-baru ini tular satu posting yang dimuatnaik oleh seorang pelajar, Mohd Ilhamy Mohd Nahzeri, 22, di akaun Twitternya dengan kapsyen, 'Tengah ujian midterm, tiba-tiba elektrik terputus'. Posting tersebut yang dimuatnaik oleh Mohd Ilhamy pada Jumaat mendapat perhatian ramai dengan meraih kira-kira 20,700 ulang kicau (Retweet) dan 26,100 tanda suka (like). Mohd Ilhamy (kiri, belakang) bersama rakan sekelasnya. Menurut pelajar Ijazah Sarjana Muda, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini, ketika kejadian terputus bekalan elektrik dia bersama-sama rakan sekuliahnya sedang menduduki ujian pertengahan semester bagi subjek Undang-Undang. "Masa tu kami satu batch tengah jawab midterm, tiba-tiba lampu buat hal tapi sekejap je dalam dua tiga minit macam tu. Tapi masalah sama berulang sebanyak tiga kali. "Mula-mula tu semua OK lagi, masuk kali tiga masing-masing keluarkan telefon dan buka lampu suluh. Mengeluh sikit saja, lepas tu terus diam dan sambung jawab soalan. Tak ada seorang pun yang nak bising-bising. Yelah semua tahukan ujian law ni macam mana, semua kena jawab dalam bentuk karangan. Jadi masing-masing tak mahu buang masa takut tak sempat nak jawab nanti," katanya ketika dihubungi mStar. Ada juga kawan yang kebetulan hari tu tertinggal telefon jadi struggle sikitlah, dengan nak berkongsi lagi... nak pegang telefon, nak menulis lepas tu nak tengok akta-akta. Tapi nak buat macam mana kan, nak tak nak kenalah buat kalau tak mesti tak sempat nak jawab. MOHD ILHAMY MOHD NAHZERI PELAJAR JURUSAN UNDANG-UNDANG, UIAM, GOMBAK Pelajar yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkata, ini merupakan kejadian pertama yang dialaminya sepanjang belajar di situ. Malah kebetulan juga terdapat rakannya yang tertinggal telefon di kolej jadi mereka mengambil inisiatif untuk berkongsi cahaya lampu suluh bersama. "Ada juga kawan yang kebetulan hari tu tertinggal telefon jadi struggle sikitlah, dengan nak berkongsi lagi... nak pegang telefon, nak menulis lepas tu nak tengok akta-akta lagi. Tapi nak buat macam mana kan, nak tak nak kenalah buat kalau tak mesti tak sempat nak jawab," kongsi anak kedua dari tiga beradik itu. Difahamkan kejadian berlaku pada hari yang sama posting tersebut dimuatnaik oleh Mohd Ilhamy iaitu pada Jumaat petang di dalam sebuah dewan kuliah yang menempatkan kira-kira 230 orang pelajar semasa ujian tersebut berlangsung. Mohd Ilhamy dilihat sempat berdakwah, 'gelap pun tuhan nampak'. Mengenai persoalan atau dakwaan tentang 'senang meniru', dia berkata ia tidak mustahil untuk dilakukan tetapi menganggap semuanya terletak atas kejujuran masing-masing. "Sebenarnya buku dalam gambar yang netizen nampak itu bukan nota, itu buku akta dan buku tu memang dibenarkan bawa masuk ke dalam dewan tak salah pun. Yelah kami kan belajar undang-undang. "Ada juga orang cakap senanglah nak meniru kalau jadi macam ni. OK saya tak nafikan benda tu, mungkin ada juga yang cuba nak meniru tapi saya tak tahulah kan. Bagi saya itu hak masing-masing cuma kena fikirlah kalau nanti dapat keputusan tinggi pun tapi hasil meniru, rugi juga sebenarnya. Sebab kita takkan tahu tahap mana potensi kita," ujar Mohd Ilhamy lagi. Menurut Mohd Ilhamy tidak lama kemudian mereka diminta oleh pensyarah untuk berpindah ke dewan kuliah bersebelahan bagi mengelakkan insiden sama berulang. Malah mereka turut diberikan masa tambahan sebanyak 10 minit bagi menjawab ujian pertengahan semester tersebut. Kata-kata positif daripada netizen. "Selain buka flashlight... mesti ada yang multitasking then buka Google... cari ayat penenang hati agaknya..." kata seorang netizen menerusi ruangan komen pada posting tersebut. "Cuma satu je saya nak pesan untuk pelajar kat luar sana, ingatlah jika kita meniru dalam peperiksaan dan dapat markah tinggi pun, rasa seronok tu tak sama macam kita jawab atas usaha sendiri. Dan tak guna kalau ada degree tapi apa yang kita belajar selama ni kita langsung tak faham, rugi sangat. Misal kata, kalau sekarang ni pun tak boleh nak ikut peraturan macam mana nanti nak praktikkan masa kerja sebagai peguam," nasihatnya kepada pelajar lain.