BUNYI suara wanita menjerit pada awal pagi di saat semua penghuni sedang lena dibuai mimpi mungkin menyeramkan sesiapa sahaja yang mendengarnya, tetapi tidak bagi seorang remaja lelaki. Menerusi satu video yang tular, seorang lelaki dipercayai warga asing dilihat berkelakuan aneh seperti sedang meracau di hadapan pintu rumah jirannya. Sambil melakukan aksi tidak senonoh di hadapan pintu yang sedang tertutup, dari dalam rumah tersebut kedengaran suara wanita itu terus menangis meminta bantuan. ARTIKEL BERKAITAN: Selalu tinggal 2 anak, isteri sarat hamil di rumah... suami suka keluar malam dapat pengajaran, satu hari terdetik nak balik awal - “Rasa macam tak berguna jadi ayah” Remaja berkenaan, Muhammad Daniel Mokhtar berkata, klip video berdurasi 2 minit dan 20 saat itu dirakamkan oleh bapanya dalam kejadian yang berlaku di pangsapuri yang didiami mereka di Damansara, Selangor, kira-kira pukul 1.30 pagi Isnin. Pelajar berusia 17 tahun itu memberitahu, ketika itu dia di dalam bilik untuk tidur tetapi terganggu dengan suara jeritan seorang wanita yang merupakan jirannya. “Pada mulanya saya ingatkan suami isteri bergaduh, jadi saya tak nak masuk campur. Tapi semakin lama semakin kuat dan hanya kedengaran seorang wanita minta tolong. “Masa tu saya tak rasa hantu sebab dah berkali-kali wanita itu menjerit meminta bantuan,” katanya kepada mStar sambil menambah dia kemudian mengejutkan bapanya untuk memeriksa apa yang berlaku di luar rumah. Lelaki tersebut masih berkeras berpaut pada pintu gril rumah jiran. Muhammad Daniel berkata, lelaki warga asing itu dilihat sedang khayal tetapi tiada bau minuman keras. “Kemudian pengawal keselamatan datang untuk mengawal keadaan. Ayah sempat ambil kayu sebagai langkah berjaga-jaga kalau lelaki itu bertindak di luar kawalan,” ujarnya yang tinggal di pangsapuri itu bersama keluarganya lebih 10 tahun. Walaupun dia khayal tetapi dia masih dalam keadaan terkawal dan buat apa nak lakukan kekerasan kerana masa tu kami tengah tunggu polis datang. MUHAMMAD DANIEL Dia yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik menafikan dakwaan segelintir warganet bahawa dia dan bapanya termasuk pengawal keselamatan tidak bertindak mahupun menghalang lelaki warga asing berkenaan daripada terus 'menggila'. “Itu yang warganet nampak dalam video saja. Tapi sebenarnya sebelum dan selepas rakaman tu, ayah dan pengawal keselamatan tu ada tarik lelaki tu jauh dari pintu rumah jiran kami. “Tapi, dia yang dalam keadaan berkhayal masih berkeras mahu berpaut pada pintu rumah jiran tu. Ada yang persoalkan kenapa kami tak pukul saja lelaki tu? “Walaupun dia khayal tetapi dia masih dalam keadaan terkawal dan buat apa nak lakukan kekerasan kerana masa tu kami tengah tunggu polis datang. Pada masa sama, kami juga risau kalau dia ada senjata dan kami juga tidak boleh bertindak sesuka hati,” katanya. Warganet mempersoalkan mengapa tindakan lelaki yang membuat kecoh itu tidak dihalang. Menurut Muhammad Daniel, seorang anggota polis kemudian tiba di lokasi kejadian, sambil menambah bapanya dan pengawal keselamatan membantu mengiring suspek. “Anggota polis yang naik seorang, jadi ayah saya dan pengawal keselamatan bantu dia bawa turun lelaki tu ke bawah, untuk polis bawa ke balai. “Nasib baik juga rakaman video dibuat sebab pihak polis nak tengok apa yang berlaku sebelum mereka tiba di tempat kejadian,” katanya. Tambah Muhammad Daniel, wanita berkenaan kemudian turut dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan tapi sejak kejadian, dia tidak lagi melihat jirannya itu. “Masa dia keluar rumah masa polis tiba, nampak muka dia pucat sangat dan dalam ketakutan. Nasib baik pintu gril rumahnya berkunci, kalau tak... mungkin lelaki pelik tu akan pecah masuk rumah dia. Sebelum tu ada dengar suara wanita tu kata dia tak kenal lelaki yang kacau tu. “Walaupun tak kenal rapat, tapi saya tahu jiran tu tinggal seorang. Mesti lelaki tu dah lama target dia. Jadi, saya pesan kepada semua terutama yang duduk seorang, sentiasa kunci pintu rumah termasuk pintu gril kerana kejadian seperti itu boleh berlaku di mana-mana,” ujarnya. View this post on Instagram Entah apa yang merasukmu. Hati-hati gais, sentiasa kunci rumah elak tetamu tak diundang. Baca kisah di sebaliknya di highlight dan ig story. Video danielmokhtar_ #mstaronline #mstarE1 A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on Oct 22, 2019 at 4:38pm PDT