suria

Mahu mental sihat selepas 7 tahun teruk belajar, doktor tinggalkan bidang perubatan - “Saya terperangkap dalam dunia yang saya tak suka”

Dr Aen membuat satu keputusan besar apabila memilih meninggalkan kerjaya sebagai doktor selepas tamat pengajian dan menceburi bidang lain yang diminatinya.

SETIAP antara kita pasti mahukan satu profesion yang diminati selain memberi pulangan setimpal dalam memastikan kehidupan dapat diteruskan.

Namun berbeza dengan kisah seorang doktor perubatan yang terjun dalam bidang tersebut secara terpaksa, bukan kerana minat atau dengan kerelaan hatinya sendiri. 

ARTIKEL BERKAITAN: “Siapa sudi derma, mak aku hidap kanser payudara tahap 4” - Anak rayu bantuan, doktor langsung tak simpati selepas ‘hidu’ penipuan

Kisah mengenai pengalaman kerjayanya itu mula mendapat perhatian apabila postingnya di Twitter tular dengan meraih kira-kira 7,300 ulang kicau (retweet) dan 11,100 suka (like).

'Saya tahu saya akan kecewakan kebanyakan orang. Tapi, saya dah tahan 7 tahun. Untuk tahan seumur hidup, mungkin saya takkan waras lagi lepastu. Saya takkan jadi medical doctor dah. Saya dah penat pendam apa yang saya nak bagitahu ni bertahun', demikian kapsyen pada posting yang dimuatnaik oleh Dr Nurul A'in Sa'ari di akaun Twitter miliknya pada Isnin.

Posting yang dimuatnaik oleh Dr Aen di akaun Twitternya.

Dr Nurul A'in atau lebih dikenali sebagai Dr Aen, 27, yang merupakan bekas housemanship lepasan siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata dia percaya keputusan meninggalkan kerjaya sebagai doktor pada Rabu adalah satu keputusan yang betul.

"Saya percayakan rezeki... sebab kenapa saya letakkan jawatan kerana saya memang dah tak boleh nak teruskan lagi dengan pekerjaan yang saya sendiri tak minat," katanya ketika dihubungi mStar.

Jelas Dr Aen lagi, sejak dahulu lagi minatnya lebih kepada bidang perniagaan dan kesenian namun desakan keluarga membuatkan beliau terpaksa menyelesaikan pengajian dalam bidang perubatan.

"Minat saya lebih kepada perniagaan dan benda-benda seni macam make-up dan menulis, kerana bidang-bidang itu lagi dekat dengan jiwa saya. Dulu lepas SPM, saya ada beritahu keluarga nak ambil bidang fesyen tapi mereka suruh saya ambil bidang yang boleh kerja kerajaan. Sebab mereka cakap kerja lain susah nak jangka masa depan," kata Dr Aen yang menghabiskan masa hampir tujuh tahun untuk belajar dalam bidang perubatan.

Dr Aen juga merupakan seorang penulis novel.

Ibu kepada seorang cahaya mata ini juga pernah diuji dan berputus asa untuk meneruskan pengajiannya dahulu. Namun, beliau tetap meneruskan pengajiannya demi membahagiakan kedua orang tuanya.

"Dalam masa lima tahun saya belajar dulu, saya dah banyak kali cakap nak berhenti sebab saya fikir paling tidak pun saya masih ada masa untuk berpatah balik belajar benda lain. Tapi mereka cakap, bila saya dah mulanak tak nak saya kena teruskan juga. Dulu setiap kali nak pergi kelas pun saya rasa tak semangat.

"Habis saja lima tahun tu, saya memang dah tak nak teruskan lagi. Tapi saya fikir kenapa tidak kalau saya cuba dulu. Bila dah start kerja (latihan praktikal), satu je dalam fikiran saya, saya nak habiskan cepat, susah sebenarnya bekerja dalam bidang yang saya sendiri tak minat walaupun hanya dua tahun," luahnya yang sebelum ini berkhidmat di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Wanita ini berkata dia sebenarnya tidak ada masalah untuk meneruskan pekerjaan sebagai doktor, namun perasaan serta hati yang kosong selain tiada minat membuatnya tekad untuk meninggalkan bidang yang penuh dengan tanggungjawab ini.

Seakan-akan terperangkap dalam satu dunia yang saya tak boleh keluar, itulah yang saya rasa. Selama tujuh tahun, saya terperangkap dalam dunia yang saya sendiri tak suka dan selalu fikir untuk mati. 

NURUL A'IN SA'ARI

BEKAS DOKTOR PELATIH HOSPITAL SUNGAI BULOH

Walaupun ibu bapanya jelas kecewa, Dr Aen yakin dengan keputusan yang dibuat olehnya. Malah, dia turut mendapat sokongan daripada suaminya.

"Betul sebenarnya tak ada masalah pun kalau saya kerja dalam bidang yang saya tak minat, cuma, walaupun kita dah buat yang terbaik, kita tetap akan rasa sedih dan tak ada hati nak teruskan. Satu saja masalah sekarang ini, kita punya budaya di Asia ni, kita selalu cuba nak puaskan hati semua orang.

"Alhamdulillah, suami banyak bagi sokongan dan kata semangat untuk saya," kongsi wanita yang berasal dari Terengganu ini.

Selain bergelar doktor pelatih satu ketika dahulu, Dr Aen juga merupakan seorang penulis novel serta berjaya menghasilkan lebih tiga buah karya berjudul Psiko: Nota Dari Bilik Gelap, H.A.K: Hak Hanya Ada Kematian dan Trofi.

Dr Aen percaya dengan peletakkan jawatannya, ia sedikit sebanyak mampu membuka peluang untuk mereka yang meminati bidang perubatan.

Beliau turut memberi pandangan peribadi bahawa bidang perubatan kini mula goyah serta masa depan seseorang doktor atau jururawat sukar diberi jaminan.

Dr Aen (kanan) bersama rakan sekerjanya.

"Saya sedar bidang ni bukan untuk saya dan saya percaya dengan keputusan saya ini boleh bagi peluang untuk orang lain yang berada dalam bidang ini.

"Ramai orang tak tahu, sekarang semua pelantikan adalah kontrak dan untuk dapat jawatan tetap tu sebenarnya masih samar-samar," kongsinya.

Tegas bekas doktor ini lagi, beliau turut menghidap depresi sehingga perlu mendapatkan nasihat pakar bagi membantu mengurangkan rasa tertekan yang dihadapinya.

"Seakan-akan terperangkap dalam satu dunia yang saya tak boleh keluar, itulah yang saya rasa. Selama tujuh tahun, saya terperangkap dalam dunia yang saya sendiri tak suka dan selalu fikir untuk mati.

"Hari-hari saya rasa tak boleh dah nak teruskan hidup dan disebabkan itu jugalah saya dapatkan nasihat pakar. Pakar turut mengesahkan yang saya mengalami depresi. Jadi saya fikir inilah jalan terbaik untuk saya terus keluar dari dunia yang saya sendiri tak suka demi kekalkan kesihatan mental saya," luah Dr Aen.

Dr Aen kini hanya memberikan sepenuh tumpuan kepada perniagaan penjagaan kulit jenama sendiri 'alluskin' yang diasaskan awal Oktober lalu.

Walaupun begitu, rata-rata netizen memberikan kata-kata positif serta mendoakan yang terbaik buatnya.

"Tak apa doktor. Kita lebih tahu apa yang terbaik untuk diri kita dan hidup kita. Lakukan apa yang menggembirakan anda. Semoga dipermudahkan segala urusan. Rezeki Allah sentiasa ada di mana-mana, Allah tak menjanjikan rezeki untuk kerjaya profesional dan kerja makan gaji je. Saya sokong anda," kata seorang netizen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
doktor, profesion, minat, bisnes

Artikel Lain