suria

Mula-mula teruja nak cuba sebab bau sedap, lepas tengok peniaga tukar papan tanda halal terus tak jadi - “Ramai sangat terbeli... memang ramai”

Papan tanda berlogo halal diletakkan di bawah meja niaga salah satu gerai makanan di Myeondong.

JIKA melancong ke Korea Selatan tak lengkap percutian ke negara K-POP itu sekiranya tidak menjejakkan kaki ke Myeondong yang menjual beraneka hidangan street food.

Kepelbagaian dan keenakan bau makanan yang dijual peniaga di sana sudah tentu membuatkan sesiapa sahaja mahu mencubanya.

Namun awas! Tidak semua makanan street food yang dijual di Myeondong halal.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Terkejut orang Korea tengok gadis Malaysia busking di Seoul, "dia terpegun dan kata 'daebak'..."

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami tulis nama tipu-tipu” - 6 sahabat bercuti ke Korea nyaris tertipu gara-gara Hanbok free, lepaskan diri dengan 1,000 won

Perkongsian video Najib Ayub yang bercuti ke negara itu bersama isteri dan anaknya baru-baru ini membongkar penipuan penggunaan logo halal segelintir peniaga di kawasan tersebut.

Antara makanan street food yang ditawarkan di Myeongdong.

Video berdurasi 23 saat yang dikongsi pemuda berusia 28 tahun itu menunjukkan papan tanda berlogo halal diletakkan di bawah meja niaga salah satu gerai makanan di Myeondong.

Menerusi video dimuat naik di Twitternya, Najib menerusi ciapannya turut mendedahkan sikap peniaga di situ yang hanya mempamerkan papan tanda logo halal ketika melihat kehadiran pelancong bertudung.

Video itu mendapat pelbagai reaksi di kalangan netizen dan meraih lebih 300,000 tontonan sejak dimuat naik di Twitternya.

Najib ketika dihubungi mStar berkata dia bersama isterinya, Nurulnadiah Mohd Aris pada awalnya teringin untuk mencuba makanan tersebut tetapi membatalkan hasrat mereka selepas terlihat tindakan tidak bertanggungjawab segelintir peniaga di situ.

"Bila pergi sana nampak orang makan, ikutkan hati nak makan juga sebab bau pun dah sedap. Kiranya nak juga rasa makanan kat tempat orang.

"Tapi bila dah lalu dan nampak benda berlaku depan mata, memang kami tak jadi nak makanlah. Saya dan wife fikir balik better jaga-jagalah," katanya.

Najib bersama isteri dan anaknya, Ajda sewaktu melancong ke Korea Selatan.

Jelas pemuda itu, video itu dirakam isterinya secara spontan ketika mereka berjalan di kawasan tersebut pada waktu malam.

"Waktu awal-awal sampai saya jenis suka jalan sampai ke hujung dulu, lepas tu baru patah balik. Jadi waktu jalan tu saya dengan wife tengok banyak gerai halal.

"Tapi kami tak test lagi waktu tu. Kami jalan je tengok dulu. Dah sampai ke hujung kami patah balik, kami pelik sebab kedai halal tadi dah tak ada.

"Bila tengok balik kami nampak tanda halal tu diletakkan dekat bawah. Isteri saya cakap eh tadi ada. Masa tulah wife saya rakam video papan tanda logo halal tu," katanya.

Bila saya tanya peniaga-peniaga di sana apa yang mereka tahu tentang halal, rupa-rupanya mereka hanya tahu halal tu 'is no pork' dan tak ada alkohol.

NAJIB AYUB.

Akauntan.

Menyedari insiden itu, Najib yang juga seorang akauntan turut menegur pelancong Islam yang terbeli makanan di gerai tersebut.

"Ramai sangat (terbeli)... memang ramai. Waktu saya sampai tu ada sekumpulan pelancong Indonesia dalam 30 ke 40 orang lalu depan gerai tu. Jadi waktu itulah peniaga nak dapatkan pelanggan. 

"Bila pelancong (Islam) dah tak ada barulah mereka naikkan papan tanda pork. Itu yang saya perasaan. Saya ada juga tegur (pembeli Muslim) tapi mereka kata yakin.

Peniaga yang melakukan penipuan papan tanda berlogo halal untuk menarik pelancong bertudung.

"Saya dah buat apa yang patut tapi terpulang kepada diri  masing-masing. Rakyat kita ni bila keluar negara pantang nampak halal je terus beli. Ramai ambil ringan perkara tu," katanya.

Najib berkata dia memuat naik video itu sekadar ingin memberi peringatan kepada orang ramai supaya lebih berwaspada tentang makanan halal ketika berkunjung ke sana.

"Saya bukan mahu mengaibkan peniaga di sana tetapi perkongsian itu lebih kepada peringatan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati terutamanya soal makanan halal.

"Saya sendiri tidak terkejut kerana sebelum ini saya pernah duduk di Ireland selama tiga tahun. Saya dah pernah nampak peniaga di sana guna cara sebegini untuk tarik orang luar.

"Bagi saya semua terpulang atas diri sendiri. Kita sendiri yang kena berwaspada semasa ada di tempat orang. Kalau nak salahkan mereka, orang sana tak ada kesedaran pasal isu halal," katanya.

Najib berkongsi video tersebut untuk memberi peringatan kepada orang ramai supaya lebih berwaspada ketika berkunjung ke Myeongdong.

Malah Najib berkata dia sendiri turut bertanyakan kepada peniaga tersebut sejauh mana pemahaman mereka mengenai isu halal.

"Bila saya tanya peniaga-peniaga di sana apa yang mereka tahu tentang halal, rupa-rupanya mereka hanya tahu halal tu 'is no pork' dan tak ada alkohol.

"Memang mereka tak faham dan tak tahu benda tu sebab negara mereka bukan negara Islam. Jadi kita yang melancong inilah yang kena berhati-hati," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain