suria

Menyesal tak guna! Sebab satu follow up, gadis ini merana mata kabur, buah pinggang hampir rosak – “Jangan ingat kurus tak ada penyakit”

Menerusi satu posting di laman Facebook, gadis yang menggunakan akaun Cik Sidah berkongsi pengalamannya mengalami masalah penglihatan gara-gara mengabaikan rawatan susulan yang dijadualkan. Kredit Foto: Fb Cik Sidah

“PUNCA masalah mata ni terjadi gara-gara tertinggal satu ‘follow up’,” demikian cerita seorang gadis yang berkongsi pengalamannya berdepan masalah penglihatan selepas dia abaikan rawatan susulan yang telah ditetapkan.

Menerusi satu perkongsian di laman Facebook, gadis yang menggunakan akaun Cik Sidah berkata, segalanya bermula pada 2012 selepas dia mengunjungi sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Darah keluar banyak sebab salah pasang tiub, doktor kata ‘tak ada masalah’... balik rumah isteri nak pitam tengok suami terketar tahan sakit 

ARTIKEL BERKAITAN: Baru 2 minggu hisap vape, doktor kesan lelaki ditahan sebab denggi ada satu lagi penyakit - “Saya perlu dibedah, paru-paru divakum” 

“Pergi klinik sebab ada masalah lain, tapi doktor periksa tekanan darah, tinggi. Doktor periksa gula, juga tinggi. Bacaan gula ketika itu 19. Jadi doktor pun buat surat rujukan ke Klinik Kesihatan (KK).

“Jadi semua follow up pun buat di klinik kesihatan untuk beberapa tahun. Tapi nak dijadikan cerita, punca masalah mata ni kerana saya tertinggal satu follow up. Saya buat-buat tak tahu. ‘Nanti la, esok la’ tup-tup dah habis ubat, pun tak pergi lagi sambung follow up.

“Masa itu cakap pada diri sendiri ‘tak ada apa kot tak makan ubat. Muda lagi, sihat lagi’. Saya masih berdegil walaupun berapa kali dah nurse dari klinik kesihatan telefon,” tulisnya.

Menurut gadis ini, dia meninggalkan rutin pengambilan ubat sehingga hampir dua tahun, malah dalam tempoh itu juga dia langsung tidak melakukan rawatan susulan dan tidak mengambil sebarang ubat alternatif.

Sehinggalah pada suatu ketika, penglihatannya menjadi silau namun ujar gadis ini, dia tetap tidak mengendahkannya kerana masih mampu melakukan aktiviti seharian dan juga bekerja.

Antara komen netizen yang menzahirkan rasa simpati dengan nasib gadis ini.

“Petunjuk kedua, kali ni dah teruk apabila timbul satu tompok/bebenang dalam mata. Ia bergerak sekali masa mata bergerak. Masa tu sebelum bulan puasa tahun lepas tapi benda tu sikit, cepat hilang. Saya masih buat tak tahu lagi walaupun ada beritahu mak yang mata ini macam tak selesa,” ujarnya.

Namun pada bulan puasa lalu, tompok dan bebenang seperti yang timbul sebelum ini muncul kembali, dan kali ini menyebabkan penglihatannya terganggu.

Kata gadis ini, ketika menghadiri jamuan rumah terbuka di sebuah kedai cermin mata, rakan baiknya mencadangkan supaya dia buat pemeriksaan mata kerana pernah mengadu ada masalah penglihatan sebelum ini.

Namun ujar gadis ini, hasil pemeriksaan mendapati ada pendarahan pada matanya dan seorang staf di kedai cermin mata itu mencadangkannya supaya membuat pemeriksaan lanjut di hospital.

“Seminggu selepas itu baru ke hospital buat pemeriksaan. Periksa punya periksa, doktor beritahu ‘mata awak dua-dua dah ada pendarahan. Sebab tu sekarang mata awak jadi kabur’. Masa tu Julai 2019. Selepas itu terus rujuk ke pakar mata Hospital Sultanah Nur Zahirah,” ujarnya sambil menambah, dia perlu berulang alik ke hospital itu setiap minggu untuk rawatan laser.

Menurut perkongsian di Facebook, gadis ini berkata masalah penglihatannya berpunca daripada penyakit diabetes yang tidak terkawal.

Namun ujarnya, rawatan tersebut seolah-olah tidak memberi kesan positif.

“Mata makin kabur. Sampai la tahap sebelah kiri dah ganggu titik peka dan tak nampak. Sekarang ni sebelah kanan pun semakin kabur,” ujarnya.

Kata gadis ini, masalah penglihatannya berpunca daripada penyakit diabetes yang tidak terkawal malah ia juga beransur menyerang buah pinggang.

“Doktor beritahu ‘buah pinggang awak bocor dah ni’. Tapi Alhamduillah. Masih bernasib baik, doktor bagi ubat untuk repair (buah pinggang). Sekarang ni mata ni dah tarik saraf dah. Solution doktor pun belum pasti lagi.

“Ada yang tanya, ‘Sidah tak tanya ke doktor, ada peluang untuk okey macam dulu?’. Saya tanya tapi jawapan doktor, untuk pulih seperti dahulu tu tak boleh dah tapi boleh berusaha lagi.

“Tapi tu kata doktor. Kita selagi boleh ikhtiar kita berubat. Selagi masih bernafas. InsyaAllah takkan putus asa. Punca dia diabetes. Jangan main-main dengan diabetes.

“Moral dia sekarang, tak kira muda atau tua, jagalah pemakanan dan kesihatan. Jangan sampai jadi macam saya. Nak menyesal pun tak guna. Jangan ingat muda, kurus tak ada penyakit,” ujarnya memberi nasihat. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
diabetes, follow up, mata, kabur

Artikel Lain