"DAH kenapa dia kerja, student lagi kot. Jangan-jangan mak ayah tak cukup duit?" Demikian antara kecaman yang dihadapi oleh pelajar ini. Susulan itu, Muhd Irwan Shah Sabarudin, 16, tampil menepis kecaman individu yang menunding jari serta meletakkan kesalahan ke atas orang tuanya. ARTIKEL BERKAITAN: Gigih buat 5 kerja sambilan dalam sehari, pelajar ini juga akui ‘tamak’ pointer, “Kampus tak besar, pusing-pusing akan nampak muka saya” Perkara ini terjadi selepas tular satu posting yang dimuat naik oleh seorang lelaki di akaun Twitter miliknya @ariffazharb dengan kapsyen, ‘budak ni tingkatan 4, ada lesen. Sabtu Ahad jadi rider dahmakan. Masih sekolah, ambil subjek akaun dan matematik tambahan. Semoga berjaya kawan’. Posting tersebut tular di laman Twitter. Posting yang dimuat naik pada Sabtu, akhirnya medapat perhatian ramai dengan meraih kira-kira 27,000 ulang kicau (retweet) dan 29,400 tanda suka (likes). Tegas Irwan, menjadikan kerjaya penghantar makanan syarikat atas talian ‘dahmakan’ sebagai kerja sampingan merupakan pilihannya sendiri tanpa desakan daripada sesiapa. “Jangan salahkan ibu bapa saya, ini pilihan saya. Betul, ibu ayah mana yang akan bagi kebenaran kalau anak mereka yang masih belajar nak kerja kan... dan itu juga yang jadi pada saya. “Mula-mula dulu ibu dan ayah memang tak bagi tapi saya pujuk juga supaya mereka percaya pada saya. Mereka kata bahaya sebab kerja ni memerlukan kita untuk pergi ke sana ke sini, risau kalau-kalau terjadi kemalangan,” katanya ketika dihubungi mStar. Dua tanggungjawab besar yang dipikul oleh Irwan sebagai seorang pelajar dan penghantar makanan. Merupakan salah seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras, Kuala Lumpur, Irwan mengakui ada benarnya juga kata ibu bapanya. Mana tidaknya, sudah tentu pekerjaan seperti ini terdedah kepada risiko kemalangan. Tambah anak kedua daripada tiga beradik ini lagi, meskipun sedia maklum akan tiada pelindungan insuran yang disediakan daripada syarikat atas talian ini terhadap dirinya, namun Irwan tetap dengan keputusan menjadikan ia sebagai kerjaya sampingannya. Saya terima sahaja apa orang nak cakap. Tetapi kena ingat, tak semua orang yang bekerja tu susah. Ramai ja orang kaya yang bekerja. Ingatlah, dalam sesuatu perkara yang kita lakukan itu mesti ada sebab-sebab tertentu. Janganlah selalu nak menghukum MUHD IRWAN SHAH SABARUDIN PELAJAR “Sebelum minta kerja ni saya tahu banyak risiko yang akan saya hadapi. Satu, semua riders memang tak ada pelindungan insuran dan kedua, risiko berlaku kemalangan tu memang tinggi. Jadi kalau apa-apa jadi semua atas tanggungan sendirilah. “Tapi disebabkan jadual kerja dia sangat fleksibel, itu yang saya suka. Lagipun saya kerja setiap hari Sabtu dan Ahad saja. Tak ganggu pun waktu sekolah,” jelasnya. Kata pelajar tingkatan empat ini, bukan dia sahaja yang bekerja sebagai penghantar makanan di syarikat itu, malah abangnya turut sama bekerja. Bahkan, jelasnya idea ini terlintas di fikirannya selepas menemani abangnya menghadiri temu duga tersebut. “Sebenarnya saya baru saja start kerja hari Ahad lepas (27 Oktober), lebih kurang seminggu macam tu lah. Asalnya saya hanya ikut abang pergi interview, kemudian selang seminggu lepas tu saya pula pergi. Alhamdulillah, kami berdua dapat. Tapi abang buat full-time, macam saya pula buat part-time sahaja untuk Sabtu dan Ahad,” kongsinya. Abangnya, Ikhwan juga turut sama bekerja sebagai penghantar makanan di syarikat atas talian itu. Mengambil subjek ekonomi dan akaun sebagai subjek elektif di sekolah, pelajar ini menafikan dakwaan sesetengah pihak yang memberi respons negatif dan menjelaskan niatnya hanyalah ingin mengisi masa lapang serta berkongsi rezeki bersama keluarganya. “Kalau nak cakap saya tak cukup duit nak sekolah, taklah. Selama ni saya pergi sekolah bawa duit macam biasa saja, alhamdulillah. Cuma biasalah kita ni jiwa muda kan, macam-macam teringin dan kalaulah nak sesuatu yang mahal tu tak kan nak minta dengan ibu ayah? “Apa-apa pun tujuan sebenar saya kerja ni sebab nak isi masa lapang dan kalau dapat duit lebih tu bolehlah saya bagi pada ibu dengan ayah sikit, belanja makan ka. Walaupun tak banyak, sekurang-kurangnya duit yang ada tu boleh buat kita bersyukur dan berkongsi rezeki dengan orang lain,” luahnya. Kata Irwan lagi, sebagai salah seorang calon yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun hadapan, dia berjanji akan menfokuskan sepenuh tumpuan dalam pelajarannya serta memberikan yang terbaik buat orang tuanya. Antara komen positif daripada netizen. “Cuma apa yang boleh saya katakan, saya terima sahaja apa orang nak cakap. Tetapi kena ingat, tak semua orang yang bekerja tu susah. Ramai ja orang kaya yang bekerja. Dan ingatlah, dalam sesuatu perkara yang kita lakukan itu mesti ada sebab-sebab tertentu. Janganlah selalu nak menghukum,” tegasnya. Walaupun begitu, rata-rata netizen memberikan respons positif serta mendoakan yang terbaik buat remaja ini. “Semoga sentiasa dikurniakan tubuh badan yang sihat dan sentiasa dilindungiNya demi mencari rezeki yang halal. Bila kita dah biasa hidup susah, tak ada istilah putus asa dalam hidup,” kata salah seorang netizen di ruangan komen posting tersebut.