'UNTUK hidup anda perlu bekerja!' merupakan senario yang sering kita dengar. Jika tidak, pastinya akan ada kesukaran terutamanya dari segi kewangan dalam meneruskan kehidupan. Umum tahu memilih pekerjaan bukan perkara kecil, mana tidaknya setiap antara kita pasti mahukan karier terbaik serta bersesuaian dengan pengalaman atau kelayakan akademik yang dimiliki. ARTIKEL BERKAITAN: Tak sia-sia 'perigi cari timba'! Penganggur dapat banyak lamaran luar negara selepas idea 'rare' iklan diri Tapi awas! Sikap terlalu memilih pekerjaan mungkin akhirnya boleh makan diri apabila terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas golongan ini. Situasi inilah yang menimpa seorang wanita yang mana kisahnya dikongsi secara umum oleh rakannya di laman Facebook, Selasa. Emel yang diterima oleh Gory selepas menghantar permohonan sebagai setiausaha di sebuah syarikat. Menurut Che Nithiya, 39, rakannya yang dikenali sebagai Gory ada menghantar permohonan berserta resume bagi mengisi jawatan setiausaha seperti yang diiklankan di portal Linkedin oleh sebuah syarikat. Jelas Nithiya, selepas rakannya membuat permohonan pada Selasa lalu, dia kemudiannya menerima maklum balas menerusi emel daripada syarikat berkenaan pada hari yang sama menyatakan permohonannya telah diterima. "Kepada calon. Kami telah terima resume anda sebagai setiausaha peribadi. Saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa pengarah kami adalah orang yang berfikiran terbuka. Dia juga mungkin akan sentuh anda di sana sini. Adakah anda selesa untuk menjadi setiausaha beliau? Sekiranya anda okay, saya akan memproses semula resume anda," demikian respons yang diterima oleh rakannya. Sebab tu kita perlu ada akta khas berkaitan gangguan seksual ini. Kalau tak, inilah yang terjadi yang mana terdapat syarikat yang tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan ke atas wanita. NITHIYA RAKAN MANGSA Tambahnya lagi, syarikat berkenaan turut menawarkan bayaran gaji bulanan yang tinggi kira-kira RM5,000 ke RM7,000, selain turut menyediakan elaun sampingan seperti kereta, perlindungan insuran ke atas dirinya dan keluarga. Menurut Nithiya, rakannya yang sebelum ini merupakan bekas eksekutif di salah sebuah syarikat produksi terkejut selepas menerima maklum balasan daripada syarikat berkenaan. Seorang wanita turut berkongsi pengalamannya menerusi ruangan komen. Kecewa dengan respons negatif itu, Gory kemudiannya membalas emel tersebut: "Terima kasih atas emel anda. Walau bagaimanapun, jika anda tidak berminat untuk ambil saya, tolong maklumkan kepada saya dengan cara yang profesional bahawa syarikat anda mencari orang yang berpengalaman atau telah mempunyai calon lain. "Tolong jangan rendahkan martabat wanita! Anda memiliki jawatan yang tinggi dan perlu bersikap profesional. Saya harap anda jaga bahasa sebelum menghantar sebarang emel kepada orang lain pada masa akan datang. Ini peringatan daripada saya." Nithiya ketika dihubungi mStar berkata dia pada mulanya terkejut dengan apa yang dikongsi oleh rakannya. Namun selepas melihat kesemua emel yang diterima Gory, dia akhirnya bertindak berkongsi secara umum dengan memuatnaik paparan skrin emel tersebut di laman Facebook pada hari kejadian. Dia juga tidak menyangka bahawa posting yang dimuatnaiknya itu menjadi tular. "Saya sendiri tak sangka posting tu viral. Tapi apa-apa pun bagi saya benda ni sangat melampau. Seolah-olah menceroboh hak wanita. Bayangkan, belum lagi dapat kerja dah cakap bukan-bukan. Kalau kerja nanti macam manalah agaknya. "Gory dah lama berhenti kerja dan sekarang dia tengah cari kerja. Kebetulan nampak iklan dekat Linkedin terus dia apply. Tapi bila syarikat tu balas emel macam tu, memang tak patutlah," jelasnya yang sedikit kecewa dengan sikap tidak profesional syarikat berkenaan. Tag yang ditinggalkan oleh Nithiya kepada dua menteri menerusi posting tersebut. Berdasarkan posting tersebut, Nithiya turut meletakkan tag kepada Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Hannah Yeoh Tseow Suan dan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran V. Murugeson dengan harapan isu ini mendapat perhatian mereka. Malah tegasnya, negara sebenarnya memerlukan akta khas berkaitan gangguan seksual yang lebih kukuh bagi menangani isu seperti ini khususnya di tempat kerja. "Sebab tu kita perlu ada akta khas berkaitan gangguan seksual ini. Kalau tak, inilah yang akan terjadi, yang mana terdapat syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan ke atas wanita. "Dan sebab tu juga saya tag posting itu dengan menteri-menteri kerana saya mahu mereka aware dengan isu seperti ini. Ye mungkin kamu fikir kejadian seperti ini jarang berlaku. Tapi sebenarnya ia wujud! "Dan jika dilihat di ruangan komen ada juga yang memberitahu mereka pernah alami perkara yang sama," ujarnya.