KELIHATAN pelajar-pelajar sibuk mengulang kaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tetapi berbeza dengan seorang calon di dalam kelas ini. Menerusi gambar yang dimuat naik di laman sosial, remaja berkenaan hanya duduk di lantai keseorangan dan kerap memeriksa cermin matanya, dan kemudian dilap berkali-kali. “Ni kawan aku daripada kecil, tapi tak pernah sekelas sebab dia ada masalah mengingat. Jadi, daripada sekolah rendah dia duduk kelas ‘belakang’. ARTIKEL BERKAITAN: Dulu pernah dapat markah corot 38/100, tapi siapa sangka remaja ini catat keputusan SPM 9A! ARTIKEL BERKAITAN: Gagal 18 kali, belajar 11 semester baru dapat ‘degree’... bakal peguam pernah nak rempuh kereta orang - “Saya bukan slow learner” “Tahun ini dia SPM , sama seperti saya. Tapi masalahnya, cermin mata dia macam dah tak berfungsi,” tulis seorang remaja di laman Twitter sehingga menjadi tular. Faizal duduk di lantai kerana masalah rabun jauh dan keadaan cermin mata yang uzur. Remaja berkenaan, Mohamad Haikal Ahad, 17, memberitahu, foto tersebut dirakamkan semasa kelas tuisyen di sekolah pada Isnin untuk persediaan SPM bagi subjek Pendidikan Islam. Walaupun sama-sama berasal dari Felda Tenggaroh di Mersing, Johor tetapi menurut Mohamad Haikal, dia dan rakannya, Muhammad Nur Faizal Abdullah, 17, belajar di kelas berlainan. “Saya dan Faizal tak sama kelas, tapi hari tu dia join kelas tuisyen kami untuk fokus SPM bagi subjek Pendidikan Islam. Kami dibenarkan untuk duduk di mana-mana dalam kelas. “Tapi Faizal lain sikit sebab dia tak nak duduk di kerusi, sebaliknya dia duduk di lantai betul-betul depan layar putih yang digunakan untuk paparan projektor,” katanya kepada mStar. Mohamad Haikal berkata, gelagat rakannya itu bukan sahaja pelik bahkan kekerapannya mengelap kanta cermin mata turut menimbulkan tanda tanya. “Bila saya periksa kanta cermin mata dia nampak ada banyak kesan calar selain kabur. Dia sepatutnya kena tukar cermin mata sebab power dah makin kuat (tahap kerabunan). “Faizal ni seorang yang pemalu, walaupun ada masalah susah nak ingat tapi dia ada usaha untuk belajar. Dia sanggup join kelas tuisyen orang lain untuk belajar ekstra daripada orang lain. Sayang juga dengan cermin mata ni sebab tu pemberian arwah mak. Mak ada berpesan kalau suatu hari nanti dia dah tak ada, teruskan usaha dan belajar rajin-rajin FAIZAL “Saya kenal dia sejak kecil dari umur enam tahun, dia bukan dari keluarga yang senang,” ujar Mohamad Haikal sambil menambah mengakui memulakan kempen kutipan dana menerusi postingnya di laman Twitter bagi menggantikan cermin mata yang baharu buat rakannya itu. Sementara itu, Faizal yang merupakan anak sulung daripada enam beradik itu secara sukarela duduk di barisan paling hadapan di dalam kelas kerana masalah rabun jauhnya, tetapi keadaan cermin matanya yang semakin ‘uzur’ menyukarkannya untuk memberikan tumpuan. Faizal (kiri) dan Mohamad Haikal berkawan sejak kecil. Menurut Faizal, dia dan seorang adiknya tinggal bersama bapa saudara mereka selepas ibu dan dua adiknya maut dalam kemalangan jalan raya akhir tahun lalu, manakala dua lagi adiknya dijaga oleh bapa kandung selepas ibu bapanya berpisah. “Pakcik iaitu adik mak yang jaga kami selepas mak meninggal dunia. Pakcik saya kerja pasang kanopi, dan gaji dia tak besar tapi mengambil tanggungjawab untuk menjaga kami. Jadi, saya pun tak nak susahkan dia dengan minta beli cermin mata baharu. “Cermin mata yang ada sekarang ni dibeli oleh arwah mak pada April tahun lalu. Jadi, mungkin sekarang power dah semakin kuat, sampai masa untuk saya pakai yang baharu,” katanya. Faizal terharu dengan keprihatinan rakannya dan rakyat Malaysia yang sudi memberikan sumbangan. Menurut Faizal, dia tidak menyangka rakannya itu sanggup melancarkan kempen bagi mengutip dana bagi membolehkan dia membeli cermin mata baharu dan keprihatinan warganet yang sudi menghulurkan bantuan amat dihargai. “Hanya ucapan terima kasih yang mampu saya berikan ketika ini. Kemurahan hati rakyat Malaysia memberi semangat kepada saya untuk memberi tumpuan dalam peperiksaan SPM. Semoga urusan saya dipermudahkan. “Sayang juga dengan cermin mata ni sebab tu pemberian arwah mak. Sebelum mak meninggal dunia, dia ada berpesan kalau suatu hari nanti dia dah tak ada, teruskan usaha dan belajar rajin-rajin untuk keputusan yang baik demi masa depan,” katanya yang bakal memiliki cermin mata baharu hasil kutipan dana itu.