UMUM tahu makanan Korea boleh dikatakan menjadi satu fenomena dalam masyarakat kita hari ini. Bermula dari ramen, kemudian kimci dan baru-baru ini 'corn dog' chesee tarik leleh sedang hangat di pasaran. ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa penjual durian 'rare', pelanggan akui buruk sangka tapi akhirnya 'dapat lebih', "Saya kata kat suami, mahal juga tu..." Tular baru-baru ini satu posting yang dimuatnaik oleh peniaga online di akaun Twitternya, @kinafairy memaparkan video rakaman skrin perbualannya bersama seorang pelanggan kanak-kanak. Posting yang dimuatnaik pada Isnin tular di Twitter. Peniaga berkenaan, Nur Shakinah Rusly, 26, berkata dia agak terkejut apabila mendapat pesanan daripada seorang kanak-kanak berusia 11 tahun. Lebih dikenali sebagai Kinah, wanita ini berkata ini bukan kali pertama dia menerima pesanan daripada seorang kanak-kanak, justeru dia tidak begitu berasa ragu-ragu. "Mula-mula dia ada DM (direct message) dekat Instagram, saya layan macam biasa saja. Lepas tu dia cakap, saya darjah 5, akak. Kemudian terus terfikir, baru darjah 5 ada duit ke nak beli? Atau mungkin mak dia yang suruh belikan. Ragu-ragu juga kalau-kalau dia tipu sebab sekarang ni banyak kes budak kecil tapi dah pandai scam cari duit. "Tapi bersungguh-sungguh dia ada minta saya COD 'corn dog' tu ke kuarters guru di Batu Caves. Jadi saya minta dia mesej saya di WhatsApp untuk mudahkan urusan jual beli," katanya ketika dihubungi mStar. Jelas Kinah yang sudah setahun berkecimpung dalam perniagaan makanan atas talian ini, dia sedikit tersentuh melihat kesungguhan kanak-kanak yang mesra dipanggil Ainur yang sanggup mengumpul wang hanya kerana ingin membeli produk yang dijualnya. Paparan skrin mesej perbualan Sakinah dengan kanak-kanak itu. Tambah gadis kelahiran Tanjung Malim, Perak ini, pada mulanya kanak-kanak itu memintanya supaya menghantar 'corn dog' yang dipesannya pada Sabtu lalu. Namun disebabkan duit yang dikumpulnya tidak mencukupi, Ainur kemudiannya meminta untuk tangguh pada Sabtu ini (16 November). "Dia order hari Khamis, suruh hantar hari Sabtu (9 Nov). Tiba-tiba dia bagitahu nak tukar ke Sabtu depan boleh tak akak? Sebab duit kat tangan tak cukup dan nak kena kumpul lagi'. Dia cakap duit pada masa tu ada RM24 dan jumlah semua RM30, tak cukup lagi RM6 sebab tu dia nak tangguh. "Lepas saja dia cakap nak kumpul lagi RM6, saya rasa tersentuh. Saya tanya duit sekarang ada berapa sebab saya niat nak jual pada harga duit yang dia ada saja," kata Kinah. Bagaimanapun seorang rakannya mencadangkan agar dia memberikan saja satu pek 'corn dog' percuma kepada kanak-kanak itu. Saya dari Perak dan dia asyik tanya saya bila nak hantar. Saya awal-awal lagi dah pesan yang saya akan sampai lewat. Dia balas 'okay, takpe saya tunggu akak'. NUR SAKINAH RUSLY Peniaga "Kawan cakap, tak apalah bagi percuma satu pek kat dia. Saya pun jual harga untuk satu pek RM16 dan satu beg lagi bagi percuma. Tapi Ainur tolak, dia nak bayar RM20. Saya pun setuju, baki lagi RM4 tu saya ambil sebagai upah duit minyak," kongsinya lagi. Menurut Kinah, ini merupakan kerja sampingannya kerana dia masih lagi belajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan di sebuah universiti tempatan. Katanya tindakan memberi pek percuma kepada kanak-kanak itu disebabkan kesungguhannya dalam mengumpul wang demi dua pek 'corn dog'. Selain itu, dia turut memuji adab dan sikap bertanggungjawab kanak-kanak itu dalam urusan jual belinya dengan orang dewasa. Teringin nak makan 'corn dog' viral, Ainur sanggup kumpul wang untuk memesan dua pek makanan tersebut. Kongsi Kinah lagi, pada Ahad dia menghantar pesanan kanak-kanak itu tetapi telah memaklumkan tentang kelewatannya kerana baru pulang dari kampung. "Saya dari Perak dan dia asyik tanya saya bila nak hantar. Saya awal-awal lagi dah pesan yang saya akan sampai lewat. Dia balas 'okay, takpe saya tunggu akak'. "Masa nak COD tu saya sesat banyak kali, merata saya pergi. Kemudian saya tanya kawan, 'patut ke bagi free kat dia?' Dengan banyak kali sesatlah, saya fikir duit minyak lagi... berbaloi ke buat benda ni?" ujarnya. Namun rakannya memberi nasihat supaya ikhlaskan hati dalam menghulurkan bantuan dan menganggap ia sebagai sedekah. Paparan mesej perbualan menerusi WhatsApp. Jelas Kinah, setibanya dia di lokasi yang ditetapkan, kelihatan dua kanak-kanak sedang menunggu di bawah pokok dengan wajah gembira. "Sampai saja sana, bukan main seronok dia, tunggu dengan kawan di bawah pokok. Terfikir juga, dari pukul berapa dia tunggu. Turun saja kereta budak-budak tu senyum-senyum. Lepas bagi 'corn dog' tu, dia bagi duit. Bila saya kira jumlah semua RM25, duit seringgit-seringgit pula, itu yang lagi sedih. Mula-mula cadang nak bagi RM24 saja, sampai sana RM25 dia cakap dia dah tambah RM1. Allah! "Tapi saya setuju ambil RM20 saja dan pulangkan bakinya. Tengok reaksi dia bukan main seronok. Sejak bilalah budak-budak ni teringin nak makan 'corn dog', mesti dah lama sampai kumpul duit tu pun masih tak cukup," luahnya sedikit terkesan dengan tindakan kanak-kanak itu. Kinah mengakui terdapat pengajaran serta nilai positif yang diterimanya daripada kisah ini, termasuklah setiap apa yang dilakukan perlulah ikhlas dan percaya mungkin ada rezeki lebih besar pada masa akan datang.