“SAYA terus tuang air sirap yang bertakung dalam lens itu sebaik saja melihatnya,” kata seorang lelaki yang terpaksa menanggung kerugian gara-gara lensa kamera miliknya dijadikan mainan oleh seorang kanak-kanak ketika sedang menjalankan tugas di sebuah majlis perkahwinan, baru-baru ini. Berkongsi cerita dengan mStar, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Bak itu berkata, kejadian berlaku pada Sabtu minggu lalu ketika dia sedang merakam suasana di majlis perkahwinan sahabatnya, di Shah Alam. Menurut Bak, sebagaimana kebiasaannya sejak empat tahun lalu ketika menjalankan tugas sebagai juruvideo atau jurufoto di majlis perkahwinan, dia akan meletakkan lensa yang akan digunakan di hadapan pelamin atau di meja berhampiran pentas untuk memudahkan tugasnya. ARTIKEL BERKAITAN: Rasa diri tak tampan, badan berisi... jurufoto tak sangka ada sepasang mata ‘usha’ dirinya, “Ingatkan klien nak ambil saya” ARTIKEL BERKAITAN: Nikah pakai tudung RM15, kahwin bajet disamakan dengan kenduri arwah! Pengantin dedah kisah tragis “kenduri arwah bapa pun tak mampu buat” Bak juga berkata, lensa itu juga bukan diletak sesuka hati, sebaliknya ia akan diletakkan di kawasan yang diyakini selamat, bukan kawasan yang menjadi laluan tetamu dan berada dalam jangkauan penglihatannya. “Dipendekkan cerita, ketika kejadian, saya sedang menyusun ahli keluarga pengantin untuk sesi bergambar di atas pelamin. Ramailah sebab ia adalah sesi bergambar untuk keluarga besar pengantin. “Ketika itu memang nampak seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan usia tiga hingga empat tahun yang sedang berlegar-legar berhampiran lensa saya. Namun saya tidak fikir negatif memandangkan ibunya ada sekali. “Tidak lama kemudian, rakan saya minta saya pergi ambil lens yang diletakkan dekat depan pelamin kerana dia kata, nampak kanak-kanak tu macam usik-usik. Saya pun pergilah nak ambil lens dan ketika sampai di situ, ibu kanak-kanak itu terus mendokongnya dan berlalu. “Sebaik saja saya ambil lens itu, memang speechless apabila tengok air sirap bertakung di dalamnya. Terus saya tuangkan air sirap yang bertakung tu,” ujarnya. Perkongsian Bak di Twitter menjadi tular sehingga ia meraih lebih 3,000 retweet. Kata Bak, dia mengakui insiden tersebut menjejaskan 'mood'nya untuk meneruskan tugas. “Rasa seperti nak balik pun ada. Sebab saya hanya ada dua lens, bila satu rosak, saya terpaksa gunakan satu sahaja lens untuk shoot sehingga habis majlis. Bimbang hasilnya nanti tidak cantik,” ujar pemuda berusia 24 tahun ini. Bagaimanapun selepas dipujuk dan ditenangkan oleh rakan serta pengantin sendiri, dia mengenepikan perasaan tidak itu kerana mahu bertindak profesional sehingga majlis berakhir. “Sebenarnya, ibu pengantin yang tahu mengenai insiden ini pergi berjumpa dengan ibu kanak-kanak tersebut. Namun wanita itu menyalahkan saya kerana katanya, saya yang letak barang sepah-sepah. Dia sikit pun tak datang jumpa dengan saya, sekurang-kurangnya untuk kata ‘sorry’. “Saya tidak salahkan budak kecil itu kerana dia mungkin tak tahu apa-apa… tapi mak dia yang tahu apa-apa tu kenapa tak tegur langsung anaknya? Bukan dia tak nampak anaknya sedang bermain sebab dia memang ada bersama anaknya. Itu yang saya terkilan,” katanya. Antara komen netizen yang turut bersimpati dengan nasib yang menimpa Bak. Walaupun perasaannya bercampur baur, Bak dia tetap meneruskan tugasnya sebagai juruvideo sehingga sesi penggambaran outdoor yang terletak tidak jauh dari lokasi resepsi. “Saya letakkan lens itu sekejap dan pergi ambil gambar mempelai. Selepas selesai, saya kembali semula untuk mendapatkan lens itu. Penuh semut hurung lens itu. Mungkin sebab sisa-sisa air manis masih melekat,” ujarnya. Menurut Bak, selepas pulang, dia meletakkan lens berkenaan di dalam beras sebagaimana petua yang dikongsi kenalannya. Saya tak salahkan budak kecil itu kerana dia mungkin tak tahu apa-apa… tapi mak dia yang tahu apa-apa tu kenapa tak tegur langsung anaknya? Bukan dia tak nampak anaknya sedang bermain sebab dia memang ada bersama anaknya. BAK JURUVIDEO “Saya cuba sajalah petua tu, tapi rasanya mungkin hasil selepas ini dah tak sama sebab barang dah terjejas. Saya bimbang untuk hantar service, was-was mereka ada buat replacement atau tukar sesuatu pada lens. Nak hantar pergi HQ, pasti agak mahal. Lebih ralat, lens itu baru saja dibeli sebulan yang lalu,” kata Bak lagi. Bak mengakui insiden tersebut sedikit sebanyak datang daripada kesilapan sendiri kerana tidak lebih berhati-hati, namun jauh di sudut hati, dia sedikit terkilan kerana pihak yang berkenaan langsung tidak bertemunya atau menghubungi untuk menyuarakan permohonan maaf. “Masing-masing ada silapnya. Mungkin salah saya juga sebab letak barang di situ. Mungkin sebab rasa ia tempat yang selamat, sebab dah berpuluh job wedding yang saya buat, memang macam itu saya letak lens sebab senang nak tukar-tukar. Tapi inilah kali pertama jadi seperti ini. “Kalau budak itu main-main dengan rakannya, saya tak kisah sebab budak tak tahu apa-apa. Tapi budak tu ada dengan mak dia. Pada saya, sebagai ibu bapa, kalau anak-anak buat silap, ucapkanlah maaf. Benda itu mudah saja. Kalau ucapkan maaf, pada saya ia dah selesai, itu saja,” ujarnya lagi.