KOTA metropolitan Kuala Lumpur menjadi tumpuan anak muda dari seluruh negara untuk mencuba nasib bagi mendapatkan pekerjaan. Namun berbeza pula dengan dua jejaka kota yang sanggup berhijrah ke Pantai Timur untuk mencari rezeki dengan melakukan kerja yang biasa dilakukan oleh orang kampung. Kisah dua beradik ini menjadi tular di media sosial apabila mereka memilih untuk berniaga santan, yang mana kerja mereka adalah memarut kelapa dan memerah santan setiap hari. ARTIKEL BERKAITAN: “Tanpa malu saya jaja sana sini nak bagi anak-anak makan”, usahawan menangis kenangkan kereta suka duka ditemui semula ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi bazar! Apa yang pelanggan lakukan buat peniaga air balang terharu, “Yang patahnya meja, tapi semangat saya tak patah” Seorang abang terpaksa melupakan hasrat untuk membeli kereta idaman, manakala adiknya pula menjual motosikal kesayangan demi perniagaan ‘Santan Adik-Beradik’. Muhammad Zaidi (kiri) bersama pembeli motosikalnya. Hasil jualan digunakan untuk modal membeli mesin parut dan perat kelapa. Muhammad Azizi Umar, 23, berkata, bisnes santan itu diusahakan bersama adiknya, Muhammad Zaidi, 20, sejak bulan lalu di Kuala Terengganu, Terengganu. Menurutnya, mereka sebenarnya dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur, malah ibu bapa mereka turut menetap di ibu negara. “Saya sebelum ini bekerja buat kimpalan, manakala adik jadi penghantar makanan. Kami ambil keputusan untuk berhenti kerja dan mencuba nasib di kampung mak di Kuala Terengganu. “Pada mulanya kami cadang nak buat bisnes cuci kereta, tapi ia bermusim sebab cuaca tak menentu. Kakak kemudian cadangkan kami untuk berniaga santan sebab ia digunakan hari-hari,” kata Muhammad Azizi kepada mStar, sambil menambah dia dan Muhammad Zaidi, masing-masing merupakan anak ketujuh dan kelapan daripada sembilan adik-beradik. (kiri) Muhammad Azizi dan Muhammad Zaidi bersama motosikal terpakai yang dibeli untuk dibawa ke Kuala Terengganu. (kanan) Aksi Muhammad Zaidi di tepi lebuh raya dalam perjalanan ke Kuala Terengganu. Muhammad Azizi berkata, pandangan negatif segelintir penduduk tempatan diterima mereka saat mahu membina kedai santan di Jalan Pulau Musang di Kuala Terengganu. Bagaimanapun, ia tidak menjadi kudis buat dua beradik ini untuk meneruskan rancangan untuk mengusahakan kedai santan secara kecil-kecilan di atas tanah milik ibu mereka. Mungkin ramai anak muda dari kampung berhijrah ke Kuala Lumpur nak cari kerja. Jadi, kenapa tidak kami pula mencuba nasib mencari rezeki di kampung MUHAMMAD AZIZI “Kata-kata negatif itu tidak melemahkan semangat kami, sebaliknya cabaran adalah modal kami yang terhad. Duit simpanan saya untuk membeli kereta digunakan untuk membina kedai. “Kami tak cukup modal untuk beli mesin parut dan mesin perah sehingga adik saya Zaidi terpaksa jual motosikalnya,” katanya sambil menambah kos untuk membina kedai dan membeli mesin menelan belanja kira-kira RM14,000. (kiri) Muhammad Azizi dan Muhammad Zaidi melakukan kerja-kerja memarut kelapa dan memerah santan di kedai. Dengan baki simpanan yang ada, mereka kemudian membeli motosikal terpakai pada harga jauh lebih murah untuk kegunaan penghantaran santan di sekitar Kuala Terengganu. Mengenai penghijrahan mereka, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melati, Kuala Lumpur itu menyifatkan rezeki ada di mana-mana selagi ada kemahuan untuk berusaha. “Masa mula-mula buka kedai tu saya sampai terfikir ‘Apa yang aku buat ni?’. Bayangkan dulu saya buat kimpalan kerja orang jantan ‘keras’ tapi sekarang kerja ‘lembut-lembut’ perah santan. “Mungkin ramai anak muda dari kampung berhijrah ke Kuala Lumpur nak cari kerja. Jadi, kenapa tidak kami pula mencuba nasib mencari rezeki di kampung,” katanya sambil menambah cabaran mereka lebih kepada mendapatkan bekalan kelapa kampung kerana kesegarannya. Dua beradik ini bercadang untuk mengembangkan premis mereka sebagai kedai runcit pada masa akan datang. Sejak beroperasi, kedai mereka sentiasa dikunjungi pelanggan, malah tidak menang tangan apabila menerima tempahan santan untuk majlis perkahwinan sehingga terpaksa berjaga malam saat orang lain dibuai mimpi. “Kurang sebulan kami beroperasi, kami terima tempahan santan 23 kilogram untuk disiapkan semuanya pada pukul 7 pagi. Dengan kudrat kami dua beradik dan satu mesin parut dan mesin perah, kami berdua bersengkang mata dari pukul 2 pagi untuk menyiapkan tempahan. “Syukur alhamdulillah, permulaan kami dipermudahkan. InsyaAllah pada masa akan datang kami merancang untuk memperbesarkan lagi premis untuk dijadikan sebagai kedai runcit. Jadi, lepas ni pelanggan bukan datang beli santan saja, tapi barang keperluan lain juga,” katanya.