MEMPUNYAI berat badan ideal dengan bentuk tubuh yang menarik sememangnya menjadi idaman setiap individu. Justeru, tidak hairanlah golongan yang berdepan dengan masalah berat badan sanggup mengamalkan diet serta senaman agar matlamat untuk kurus dapat direalisasikan. Begitu juga dengan pemuda ini yang tekad menurunkan berat badannya untuk mendapatkan berat badan ideal. ARTIKEL BERKAITAN: Rasa diri tak tampan, badan berisi... jurufoto tak sangka ada sepasang mata ‘usha’ dirinya, “Ingatkan klien nak ambil saya” ARTIKEL BERKAITAN: “Mata saya dan suami biasa-biasa saja” - Anak comel macam mix, ibunya pun pelik... petua lentik bulu mata nenek mungkin menjadi! Bagaimanapun, perkongsiannya mengenai kaedah yang digunakan dalam misi tersebut mengundang kecaman netizen. Ini gara-gara perkongsiannya di Twitter mengenai pengambilan sebanyak tujuh liter air putih sehari, yang mana netizen menyifatkan tip tersebut hanya akan membahayakan kesihatan. Bukan sahaja mendapat kecaman netizen, perkongsian tersebut turut mengundang perhatian doktor yang turut memberikan respons berhubung kaedah tersebut. Perkongsian Azhar mengenai tip untuk menurunkan berat badan mengundang kecaman netizen. Berkongsi cerita bersama mStar, lelaki tersebut, Mohd Azhar Andi Tahir berkata, dia sekadar berkongsi tip dan tidak pernah memaksa mana-mana individu untuk mengikutnya. “Sebenarnya, saya mengikuti program menurunkan berat badan bersama seorang coach. Menerusi program yang diikuti secara dalam talian itu, peserta akan menjalani diet yang betul iaitu makan dengan portion yang betul, waktu pengambilan makanan yang betul, dan kemudian barulah pengambilan air. “Peserta memang digalakkan untuk minum air dalam jumlah yang banyak untuk pastikan kita flush semula apa yang kita makan. Jadi, ia perlu diamalkan bersama diet yang betul dan senaman, bukan semata-mata minum air sebanyak tujuh liter itu. “Saya sedar banyak komen negatif dan memang tak salahkan kerana itu pendapat masing-masing. Lagi pula, saya sudah beritahu itu cara saya. Dan saya tak pernah memaksa mana-mana individu untuk ikut. Ikutlah badan masing-masing,” katanya yang mesra disapa Azhar. Antara komen netizen yang memberi komen berbaur kecaman terhadap perkongsian Azhar. Sebelum ini, perkongsian Azhar di Twitter menjadi tular sehingga meraih 1,200 retweet selain dibanjiri ratusan komen netizen. Rata-ratanya mengecam kaedah tersebut yang disifatkan hanya memberi kemudaratan kepada tubuh. Malah, perkongsian tersebut turut mengundang perhatian doktor yang menerangkan pengambilan air cukup sekadar memadai lapan gelas sehari, dan pengambilan melebihi jumlah itu hanya akan mengakibatkan sawan. Perkongsian seorang doktor mengenai bahaya amalan meminum air yang banyak untuk kurus, sebagaimana yang diamalkan Azhar. “Bagi saya, komen doktor mungkin dalam bentuk umum yang bergantung kepada average setiap orang. Tapi sebagaimana yang saya beritahu, saya hargai setiap komen namun kaedah ini sesuai untuk saya. “Bukanlah setiap hari minum tujuh liter sekali gus. Ada waktu-waktunya, dan ia juga bergantung kepada cuaca. Kebiasaannya, saya ambil antara lima hingga tujuh liter sehari. “Alhamdulillah, kesihatan saya juga OK. Malah saya baru selesai menderma darah beberapa hari lalu. Setiap bulan, memang saya akan periksa body composition untuk pastikan ia tak lari dan setakat ini tiada masalah,” ujar pemuda berusia 33 tahun ini. Sejak mengikuti program diet sejak Julai lalu, Azhar berkata dia sudah berjaya menurunkan berat badan sehingga 35 kilogram. Walaupun pada awalnya agak tertekan juga dengan komen-komen negatif, tapi saya kongsi dengan coach dan rakan-rakan. Mereka kata, kalau saya tertekan, berat badan takkan turun. Mujur tak sampai tahap depresi lagi, kalau saya depresi, mungkin dah bunuh diri MOHD AZHAR ANDI TAHIR “Daripada 115 kilogram, kini berat saya sudah mencecah 80 kilogram. Saya sasarkan untuk turunkan lagi 10 kilogram. “Baju-baju saya pula daripada saiz XXXL kini sudah menjadi saiz M. Saya tak suka berbadan besar kerana susah untuk cari baju,” ujarnya yang mengakui berbadan besar sejak kanak-kanak. Ditanya mengapa dia tekad untuk menurunkan berat badan, Azhar berkata ia bermula pada April lalu, selepas permohonannya untuk memohon perlindungan insurans ditolak beberapa kali gara-gara obesiti. “Dua kali permohonan saya ditolak. Mungkin syarikat insurans tak mahu menanggung risiko kerugian kerana orang berbadan besar selalunya ada risiko masalah kesihatan. “Itu yang membuatkan saya tekad. Dan lebih daripada itu, saya ingin mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat. Kepada orang di luar sana, saya tak paksa untuk ikut kaedah ini. Ikutlah badan masing-masing. “Walaupun pada awalnya agak tertekan juga dengan komen-komen negatif, tapi saya kongsi dengan coach dan rakan-rakan. Mereka kata, kalau saya tertekan, berat badan takkan turun. Mujur tak sampai tahap depresi lagi, kalau saya depresi, mungkin dah bunuh diri,” ujarnya mengakhiri bicara.