suria

Lelaki serik, cuak... Dada terasa ketat, batuk berdarah selepas 10 bulan hisap vape!

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Faizul ini berkongsi pengalamannya yang mengalami batuk berdarah selepas beberapa bulan menggunakan vape sebagai alternatif untuk berhenti merokok.

“INI hikmah untuk saya, mungkin Tuhan nak tunjukkan lebih awal,” ujar seorang lelaki yang berkongsi pengalamannya mengalami batuk berdarah selepas menggunakan vape sebagai alternatif untuk berhenti merokok.

Berkongsi cerita dengan mStar, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Faizul itu berkata, dia mula menggunakan vape sekitar Februari lalu selepas membuat keputusan untuk berhenti merokok.

ARTIKEL BERKAITAN: Baru 2 minggu hisap vape, doktor kesan lelaki ditahan sebab denggi ada satu lagi penyakit - “Saya perlu dibedah, paru-paru divakum” 

ARTIKEL BERKAITAN: Kononnya vape jalan pintas ganti rokok, selepas 3 bulan perokok tegar ini terpaksa bedah telinga, hidung dan tekak serentak... kos cecah RM20K! 

“Saya mula merokok sejak berusia 20 tahun. Setelah hampir 15 tahun bergelar perokok tegar, saya bercadang untuk berhenti, tambahan pula isteri pun memang menggalakkan saya untuk berhenti merokok.

“Ramai orang berkata, vape merupakan alternatif terbaik untuk membantu seseorang berhenti merokok. Jadi saya pun cuba. Saya cuba hisap vape bermula Februari sehingga Jun. Alhamdulillah , pada Jun saya berjaya berhenti merokok sepenuhnya, iaitu memang 100 peratus hisap vape sahaja,” ujar lelaki berusia 35 tahun ini.

Tambah Faizul, dia pada mulanya menggunakan vape dengan sukatan nikotin sebanyak 35 miligram (mg) sahaja, namun mula menaikkan tahapnya kepada 50 mg sejak dua bulan lalu.

Posting yang dimuat naik Faizul di Facebook menjadi tular sehingga meraih melebihi 2,000 perkongsian.

“Dipendekkan cerita, awal bulan ini, saya seperti rasa tidak sedap badan…rasa satu macam. Rasa letih, lesu, macam nak demam dan seram sejuk terutama menjelang petang.

“Kemudian pada satu malam, saya alami selsema. Saya pun makan ubat, dan tak lama selepas itu rasa lali dan mengantuk. Bila nak tidur, tiba-tiba rasa dada ketat sangat. Saya cuba tarik nafas empat lima kali untuk tenteramkan diri.

“Tak lama selepas itu, kedengaran seperti bunyi kasar dari dalam dada seperti ada kahak. Ketika itu memang saya cuak, sebab memang tak pernah jadi seperti ini sebelum ini. Dalam hati saya berdoa moga Allah jauhkanlah perkara yang tak diingini. Saya enggan kejutkan isteri dan anak. Sambil-sambil itu, saya cuba tarik nafas dan akhirnya terlelap,” kata bapa kepada dua cahaya mata ini lagi.

Menurut Faizul, keesokannya selepas terjadi dari tidur, dia mula alami batuk-batuk yang berlanjutan selama hampir sejam.

Namun apa yang mengejutkan, batuk tersebut turut disertai dengan darah sekaligus membuatkan dirinya bertambah panik.

“Saya terus ajak isteri ke hospital untuk buat pemeriksaan. Selepas keputusan x-ray keluar, doktor berkenaan bertanya kepada saya, dan soalan pertamanya adalah “Awak merokok ke”.

“Saya pun cerita yang saya berhenti merokok beberapa bulan lalu dan beralih kepada vape. Doktor itu kemudian berkata, vape ini sungguhpun kandungan bahan kimianya kurang, namun ia tetap memberi kesan,” ujarnya yang berasal dari utara tanah air.

Antara komen netizen di posting Faizul.

Menurut Faizul, dia diberi beberapa jenis ubat dan dalam masa sama perlu melakukan rawatan susulan sebagaimana yang telah dijadualkan.

“Setakat ini, saya sudah ke hospital untuk memberikan sampel kahak tiga hari berturut-turut. Kemudian pada 21 November nanti, saya perlu ke hospital lagi untuk membuat ujian darah.

“Buat masa ini, saya memang tak hisap vape ataupun rokok. Memang serik apabila dah jadi seperti ini. Kalau nampak orang hisap, saya abaikan saja. Alhamdulillah, keadaan kini beransur baik, dada pun dah tak ketat, batuk pun dah tak keluar darah,” ujarnya.

Bila nak tidur, tiba-tiba rasa dada ketat sangat. Saya cuba tarik nafas empat lima kali untuk tenteramkan diri. Tak lama selepas itu, kedengaran seperti bunyi kasar dari dalam dada seperti ada kahak. Ketika itu memang saya cuak, sebab memang tak pernah jadi seperti ini sebelum ini. 

FAIZUL

Mengulas bersabit perkongsiannya di Facebook yang menjadi tular dan menerima pelbagai respon daripada netizen, Faizul berkata niatnya hanyalah sekadar berkongsi pengalaman kepada kenalannya di laman sosial itu.

“Selepas pulang dari hospital kali pertama pergi mendapatkan rawatan, kebetulan tengah berehat jadi sajalah nak tulis apa yang terjadi untuk dikongsi bersama kenalan di Facebook. Tak sangka pula ia menjadi viral malah turut dikecam oleh penghisap dan peniaga vape.

“Bukan setakat di komen, malah mereka juga DM dan 'serang' saya. Mereka kata macam-macam konon saya tak pandai hisap vape dan sebagainya kerana mereka dah hisap bertahun-tahun tanpa ada masalah kesihatan. Mereka kata ada cara yang betul untuk hisap vape. Kalau betul mereka nak pertahankan, di mana artikel mengenainya?.

“Namun saya enggan melayan komen-komen negatif itu. Sebaliknya saya menggunakan DM untuk menerangkan kepada mereka. Alhamdulillah, 97 peratus beri respon yang baik.

“Apapun, apa yang berlaku ini hikmah untuk saya. Mungkin saya baru hisap vape dan Tuhan nak tunjukkan lebih awal kepada saya. Jadikanlah kisah ini sebagai pengajaran,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
vape, dada, batuk berdarah, rokok

Artikel Lain