suria

Kakak cari adik dan ayah... hanya ‘berbekalkan’ nama Abdullah - “Kami sikit pun tak pernah dicium, dibelai oleh ibu bapa kandung”

Satu-satunya gambar kenangan Nurin bersama adiknya, Muhammad Adam Syafiq.

"DIALAH teman bermain, kadangkala juga teman bergaduh... Saya rindu adik! Teringin nak tahu perkembangan dia sekarang ni, layanan keluarga angkat dia macam mana?" luah seorang gadis.

Semestinya kehilangan satu-satunya adik memberikan tamparan hebat kepada gadis berusia 16 tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya sanggup lakukan apa saja demi Ain” - Siswa UKM tolak tuduhan sebar kisah mangsa dera sebab nak popular

Mana tidaknya, sudahlah tidak pernah mendapat kasih sayang daripada seorang ibu dan bapa kandung kerana mereka berdua ditinggalkan kepada sebuah keluarga angkat sejak masing-masing masih bayi, ketika dirinya berusia sembilan tahun pula, adiknya Muhammad Adam Syafiq diserahkan kepada sebuah keluarga angkat yang lain.

Posting yang dimuatnaik oleh gadis ini pada Selasa.

Kisah ini dikongsi oleh Nurin Irdina Maisarah Abdullah di akaun Twitter miliknya baru-baru ini dengan kapsyen, 'Boleh tak aku nak guna kuasa viral untuk cari adik aku? Aku rindu adik aku, terakhir kami jumpa masa aku darjah tiga dan dia umur enam tahun. Sekarang aku tingkatan empat dan dia tingkatan satu. Nama dia Muhammad Adam Syafiq. Kami satu mak dan ayah, kalau adik beradik yang lain satu mak dan lain ayah'.

Lebih mesra disapa sebagai Nurin, gadis ini berkata dia dan adiknya ditinggalkan oleh ibu kandung mereka di bawah jagaan keluarga angkat sejak mereka masih bayi.

"Kami dibesarkan oleh keluarga angkat sejak kami 'merah' lagi dan kami tak pernah berjumpa dan kenal siapa sebenarnya ayah kandung kami. Cuma kenal ibu kandung sahaja. Selepas ditinggalkan ibu kandung, kami kemudian dibesarkan di Taman Bukit Kempas, Johor, rumah keluarga angkat.

"Alhamdulillah saya bersyukur sangat, walaupun saya dan adik hanyalah anak angkat kepada mama dan abah tetapi mereka tak pernah nak beza-bezakan kasih sayang dengan anak kandung mereka yang lain. Mama dengan abah layan kami baik sangat," katanya ketika dihubungi mStar.

Nurin turut memuatnaik bebenang pada posting tersebut.

Menurut Nurin, dia memanggil ibu angkatnya 'mama' manakala bapa angkatnya, sebagai 'abah' kerana baginya, pasangan ini telah dianggap seperti ibu bapanya sendiri.

Jelasnya lagi, keluarga angkatnya bukan terdiri daripada ahli keluarga terdekat sebaliknya merupakan orang luar yang sanggup mengambil dia dan adiknya untuk dibesarkan di bawah jagaan mereka.

Bagaimanapun, bapa angkatnya telah menghembuskan nafas terakhir pada 17 Ogos lalu akibat sakit tua.

Saya tahu sebenarnya mustahil untuk saya berjumpa dengan ayah, sudahlah gambar pun tak ada, muka dan wajahnya pun saya tak tahu macam mana, hanya dengan nama 'Abdullah' langsung tak masuk akal.

NURIN IRDINA MAISARAH ABDULLAH

PELAJAR

Kata Nurin yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Impian Emas, Johor Bahru, Johor, ketika umurnya tiga tahun, ibu kandungnya pernah datang mengambilnya dan adik secara senyap dan dibawa ke Kuala Lumpur tanpa pengetahuan keluarga angkat mereka selain diberi layanan yang teruk.

"Masa umur saya tiga tahun dan adik kecil lagi, ibu datang dan bawa lari kami senyap-senyap balik ke Kuala Lumpur. Tapi ibu tak jaga kami, sampai saja kat sana ibu bagi kami pada orang lain. Saya dengan adik dilayan teruk oleh orang tu... kami juga didera.

"Sampaikan adik dicucuh dengan putung rokok pada badan. Lama juga kami dibiarkan di sana, sampaikan nak kena jual dan macam-macam lagi. Sedih tengok adik dilayan macam tu, saya pun tak boleh buat apa-apa sebab masing-masing masih kecil. Sampailah satu hari keluarga angkat dapat tahu kami ada kat mana, mereka datang ambil kami dan bawa pulang ke Johor semula," luahnya.

Nurin bersama mama serta keluarga angkatnya.

Bercerita lanjut, Nurin mengakui kecewa dengan sikap lepas tangan ibu kandungnya, seolah-olah hilang rasa sayang terhadap dua anak kandungnya sendiri kerana ditinggalkan kepada individu tidak bertanggungjawab.

Namun kegembiraannya dan adik tinggal bersama keluarga angkat tidak kekal lama. Selepas beberapa tahun, datang sebuah keluarga meminta izin untuk mengambil adiknya sebagai anak angkat.

"Mama setuju untuk bagi adik pada keluarga tu. Masa tu umur adik empat tahun, dia dibawa pergi dan dijaga oleh keluarga lain. Walaupun kami terpisah sebab dia duduk dengan orang lain, kami selalu juga berjumpa.

"Tapi lepas saja ibu angkat kepada adik saya meninggal, kami langsung tak jumpa sampailah sekarang ni. Saya teringin sangat nak jumpa dengan dia sebab dia satu-satunya keluarga yang saya ada... Hanya kami, saya dan dia," luah Nurin dengan sebak.

Kata gadis ini, dia turut bertanyakan kepada ibu angkatnya berhubung keluarga angkat adiknya, namun hampa apabila jawapan yang diberikan tetap sama, 'tidak tahu'.

Susulan itu, Nurin kemudiannya mengambil inisiatif untuk memuatnaik posting berkaitan pencarian adiknya di laman Twitter serta berharap agar ada individu yang sudi menghulurkan pertolongan.

Paparan mesej salah seorang individu yang tampil mengakui dia mengenali Adam.

"Disebabkan mama pun tak tahu di mana adik, saya cuba pula cari di Facebook dan Google nama dia. Saya taip satu-satu nama adik, saya cari semua akaun yang naik. Ada ramai orang dengan nama yang sama tapi muka dan gambar lain.

"Jadi sebab itu saya ambil pendekatan untuk memuatnaik di Twitter dan berharap ada individu sudi berkongsi maklumat atau kenal dengan adik saya. Gambar itu pun saya ambil dari Facebook ibu kandung saya. Alhamdulillah pada malam Selasa itu, ada seorang wanita mesej saya cakap dia kenal Adam. Tapi sehingga kini saya masih menunggu jawapannya" katanya.

Nurin juga mengakui bahawa sudah lama dia dan ibu kandungnya tidak berhubung, dan kali terakhir mereka berhubung pada enam tahun yang lalu ketika umurnya 10 tahun.

Komen netizen mendoakan semoga 'pencarian adiknya' dipermudahkan.

"Selain mahu cari adik, saya juga mahu cari ayah saya. Cemburu tu hanya tuhan saja yang tahu tengok kawan-kawan lain bahagia dengan keluarga mereka, cukup kasih sayang seorang ibu dan ayah kandung. Tapi saya dan adik sikit pun tak pernah dicium dan dibelai oleh ibu dan ayah kandung.

"Saya tahu sebenarnya mustahil untuk saya berjumpa dengan ayah, sudahlah gambar pun tak ada, muka dan wajahnya pun saya tak tahu macam mana, hanya dengan nama 'Abdullah' langsung tak masuk akal.

"Kadang-kadang terfikir, 'kenapa Allah bagi ujian pada saya macam ni?' Sampaikan pernah rasa putus asa dalam hidup. Sakit betul. Satu sahaja yang saya harapkan dari masyarakat, tolonglah saya jika anda ada maklumat dan info hubungi saya. Saya nak jumpa adik dan cari ayah kandung saya," luah gadis cekal ini.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
gadis, mencari, adik, keluarga angkat

Artikel Lain