suria

Anak ada kesan lebam, pengasuh beri alasan ‘tahi lalat’... doktor baru tengok dah tahu bayi ditampar - “Bagi salam lima kali tapi tak jawab, rupa-rupanya...”

Keadaan pipi Lufya Daleesha berbirat kemerahan disyaki ditampar oleh pengasuh.

"LULUH... Hati ibu mana yang tak sedih kalau lihat darah daging sendiri diperlakukan sebegitu," luah seorang wanita.

Umum tahu, sukar bagi kebanyakan ibu bapa membuat keputusan menggunakan khidmat pengasuh terutamanya jika anak masih kecil dan dijaga individu yang tidak dikenali. 

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya sanggup lakukan apa saja demi Ain” - Siswa UKM tolak tuduhan sebar kisah mangsa dera sebab nak popular

Mana tidaknya, hampir setiap hari pelbagai kes penderaan bayi dilaporkan dan inilah yang menjadi dilema ibu bapa yang bekerja, bimbang anak mereka mendapat layanan teruk daripada penjaga.

Posting yang dimuatnaik oleh Fatin di akaun Facebook miliknya.

Baru-baru ini tular perkongsian yang dimuatnaik di akaun Facebook  Fatin Zulhaq, apabila dia berkongsi kisah anaknya, Lufya Daleesha yang didakwa didera oleh pengasuh yang sangat dipercayai dia dan suami.

"Saya dapat pengasuh ini daripada satu grup di Facebook iaitu 'Kelab Babysitter Kuala Lumpur dan Selangor' dan lepas saja saya dapat, saya terus mesej dia. Tanya semualah pasal anak, pasal asuhan dia dan macam-macam.

"Kemudian, pengasuh tu cakap dia dah 18 tahun pengalaman dalam mengasuh budak dan dia juga ada sijil tentang penjagaan anak. Saya pun OK lah masa tu. Dia pun ada cakap yang dia hadkan kepada dua orang anak sahaja itupun kalau keluarga tu tak kisahlah," katanya menerusi posting tersebut.

Menurut Fatin, beberapa hari selepas berhubung dia dan ibunya pergi ke rumah pengasuh berkenaan untuk berjumpa dan berkenalan dengannya lebih dekat.

Semalam pergi HKL doktor tak check lagi tapi dah cakap itu kesan tampar dan dalam surat doktor tulis Lufya disyaki didera. Kemudian mereka (pengasuh) ada tanya kalau-kalau saya masih nak buat report.

FATIN ZULHAQ

IBU MANGSA

Selepas berbincang dan meletakkan kepercayaan terhadap pengasuh berkenaan, dia akhirnya bersetuju untuk menghantar anaknya, Lufya selepas tarikh 9 September 2019.

"Saya dan emak pergi ke rumah pengasuh itu untuk suai kenal dan turut membawa Lufya. Habis saja berbincang, kami setuju untuk hantar Lufya tapi selepas tarikh 9 September sebab saya masa tu saya masih cuti dan perlu hantar emak balik kampung dulu.

"Pengasuh itu pun setuju dan dia minta saya bayar kalau boleh pada setiap awal bulan, mungkin dia takut ada parents yang tak jujur," katanya.

Jelas Fatin lagi, selepas mendapat persetujuan bersama suami, dia kemudian membuat bayaran kepada pengasuh berkenaan pada awal bulan September walaupun anaknya belum dihantar di rumah berkenaan.

Kesan merah pada pipi Lufya disyaki ditampar oleh pengasuh berkenaan.

"Masa pertama kali hantar Lufya terkejut betul sebab ramai sangat anak asuhan yang dia jaga, rasanya lebih lapan orang. Tapi pengasuh tu cakap ramai yang 'transit baby' ada 3 orang termasuk Lufya.

"Bulan pertama hantar memang langsung tak rasa susah hati. Walaupun pada bulan pertama tu saya hanya hantar lapan hari sahaja, tapi kami tetapi bayar penuh sebab kami sangat percaya pada pengasuh tu," kongsinya.

Tambah ibu kepada seorang cahaya mata ini lagi, pada bulan kedua dia mula berasa tidak sedap hati setiap kali menghantar anaknya ke rumah asuhan itu.

"Masuk saja bulan kedua, tak tahu hati ni rasa macam tak sedap saja bila hantar Lufya. Bila letak dalam carseat mulalah dia menyebek nak menangis. Asal balik dari rumah pengasuh, mata mesti bengkak macam baru lepas menangis yang lama.

"Naluri ibu memang kuat. Jujur saya cakap sebagai ibu, saya tahu anak saya macam mana dan dia bukan jenis yang mengada-ngada pun," luahnya yang hairan dengan reaksi yang ditunjukkan oleh anaknya itu.

Kongsi Fatin lagi, anak perempuannya sebenarnya seorang yang mudah diurus sebab itulah dia berasa ragu-ragu apabila anaknya mula menunjukkan perubahan sikap.


Fatin kepada ibu bapa diluar sana agar perlu selidik dahulu latar belakang pengasuh.

Tambah ibu ini lagi, dia pernah melihat satu kesan seakan-akan lebam di bahagian leher anaknya dan bertanyakan perkara itu kepada pengasuh berkenaan. Namun kata pengasuh itu, ia hanyalah tahi lalat.

"Pernah satu hari tu saya ternampak kesan lebam pada leher Lufya dan saya tanya pengasuh tu, kenapa dekat leher Lufya macam ade lebam, kena semut ke? Tapi pengasuh tu cakap, itu tahi lalat. Pelik juga, saya ibu takkanlah saya tak tahu di mana tahi lalat anak saya. Lepas saja tiga hari, kesan yang dia cakap 'tahi lalat' tu hilang," kata Fatin.

Tambahnya lagi, selepas dia bertanyakan tentang 'tahi lalat' itu, keesokan harinya pengasuh berkenaan tiba-tiba mahu menaikkan bayaran upah mengasuh.

Jelasnya, walaupun dia dan suami setuju untuk membayar jumlah yang diminta, mereka dalam masa yang sama mengambil inisiatif untuk mencari pengasuh lain menjaga Lufya.

"Saya tak terkejut pun bila dia minta naikkan upah sebab tahu dia jaga sebab duit. Saya ada bincang dengan suami dan kami setuju buat sementara sahaja. Sambil-sambil tu saya cuba cari pengasuh lain dalam grup tu juga," luahnya.

Cerita wanita ini lagi, pada bulan ketiga semua perilaku pengasuh itu terbongkar, malah dia turut mendapat tahu bahawa anaknya didera apabila terdapat beberapa kesan seolah-olah dipukul pada wajah anaknya.

"Masuk bulan ketiga pada Selasa lalu (12 November), saya sepatutnya kerja petang tapi saya hantar Lufya awal sebab nak ke rumah anak-anak yatim di Ampang, ada hal di sana.

"Saya sempat mesej pengasuh tu cakap nak hantar anak awal. Sampai sana pukul 10.30 pagi, bagi salam sampai lima kali tapi tak dijawab. Ada juga dengar budak-budak gelak main mainan. Lepas tu saya call baru dia jawab. Rupanya dia tidur, saya pun letak Lufya baik-baik dekat tilam sebab dia dah mengantuk," katanya menerusi posting tersebut.

Rata-rata netizen mengecam tindakan pengasuh itu.

Kongsinya, pada sebelah petang suaminya pergi menjemput anaknya di rumah asuhan tersebut namun luluh hati si bapa apabila melihat kesan merah pada muka anaknya.

Selepas suaminya bertanyakan apa yang berlaku pada anaknya, pengasuh itu berkata anaknya dicakar oleh kanak-kanak lain. Malah suaminya turut menghantar beberapa keping gambar keadaan wajah Lufya kepadanya.

"Petang pukul enam, suami pergi ambil Lufya kat rumah asuhan tu. Tengok-tengok muka anak habis berbirat. Suami terus tanya pengasuh tu dan dia cakap kene cakar dengan anak asuhan lain. Tak cakap banyak suami ambil beg Lufya dan terus keluar.

"Tengah-tengah kerja, tiba-tiba suami hantar gambar muka Lufya. Ya Allah, hati ibu mana tak runtun tengok muka anak sampai macam ni. Bila saya telefon tanya, dia suruh saya pergi settle dengan mak budak-budak yang cakar Lufya tu," katanya yang tidak berpuas hati.

Fatin mengakui bahawa dia dan suami kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab dan lepas tangan yang ditunjukkan oleh pengasuh itu.

Tambahnya lagi, ibu kanak-kanak ada menghubunginya dan memohon maaf atas apa yang berlaku.

Pengasuh turut mendakwa dia ditampar oleh wanita berkenaan.

"Mak budak tu telefon saya, mintak maaf semua. Dia cakap pengasuh tu bagitahu anak dia cakar anak saya. Padahal bukan salah dia dan tak tahu betul ke tidak anak dia yang pukul sebab anak dia baru setahun enam bulan.

"Esok harinya, saya dan suami pergi jumpa pengasuh tu sebab kami nak tahu cerita sebenar dan kebetulan ibu budak tu ada kat situ. Awalnya pengasuh tu cakap dengan saya, Lufya kena cakar dengan seorang budak tapi dengan ibu budak tu dia cakap anak dia tampar Lufya. Dan bila berdepan dengan semua dia cakap anak saya kena permainan lego. Saya dah pelik kenapa lain pula," katanya yang curiga akan situasi yang sebenar.

Susulan insiden itu, dia dan suaminya membawa anak mereka ke hospital bagi menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin.

"Semalam pergi HKL doktor tak check lagi tapi dah cakap itu kesan tampar dan dalam surat doktor tulis Lufya disyaki didera. Kemudian mereka (pengasuh) ada tanya kalau-kalau saya masih nak buat report.

"Tak cakap banyak saya terus keluarkan report yang dibuat oleh suami dan hanya tunggu pihak polis jalankan tugas. Waktu itu apa yang boleh saya katakan, muka mereka sangat resah. Saya sempat juga salam dan berterima kasih dengan pengasuh tu," kongsi wanita ini.

Walau sudah puas dipaksa untuk ceritakan hal yang sebenar, pengasuh itu masih berkeras tidak mengakui perbuatannya mendera bayi itu. Malah ketika di balai polis, dia turut menfitnah bahawa wanita ini telah menamparnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
anak, dera, pengasuh, baby sitter

Artikel Lain