SEJAK kemunculan iPhone 11, iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max bulan lalu, media sosial kerap dibanjiri dengan posting daripada para pelayar yang berkongsi kegembiraan dan momen indah mereka menerima hadiah berupa telefon pintar keluaran Apple itu. Tidak terkecuali gadis ini yang turut menerima telefon pintar berkenaan daripada ibu bapanya. Perkongsian Nur Fezra Aleya Bashir Ahmad di Twitter baru-baru ini menjadi tular, meraih sehingga 3,200 retweet selain turut mendapat reaksi pelbagai daripada netizen. ARTIKEL BERKAITAN: Misi kejutan nyaris gagal... isteri terpegang kotak hadiah, mujur suami pandai ‘tipu’ - “Terlalu banyak pengorbanannya, bagi kereta pun tak terbalas” ARTIKEL BERKAITAN: Jadi pembeli terawal, ‘pakcik’ beli iPhone 11 512GB disaran guna duit pergi umrah... tapi lelaki ‘humble’ ini sebenarnya lebih dari mampu! Ada antara netizen yang melemparkan komen negatif dengan menyifatkan perkongsian gadis tersebut bertujuan untuk menunjuk-nunjuk. Namun tidak kurang juga yang dengan sewenang-wenangnya membuat penilaian sendiri, menyifatkan gadis tersebut terlalu dimanjakan oleh ibu bapa gara-gara mendapat hadiah bernilai ribuan ringgit. Berkongsi cerita dengan mStar, gadis yang mesra dengan panggilan Pia berkata, dia langsung tidak terdetik untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya perkongsian tersebut bertujuan untuk mengabadikan momen yang diraikan ketika sambutan ulang tahunnya yang ke-15. Perkongsian yang dimuat naik oleh gadis ini mengundang reaksi yang pelbagai daripada netizen. “Sebenarnya, telefon saya yang lama sudah dua bulan rosak gara-gara terjatuh dalam kolam renang. Saya kemudian hantar telefon itu untuk diperbaiki dan ia mengambil masa juga. “Jadi agak lama juga saya sudah tidak menggunakan telefon sendiri. Kadang-kadang sedih juga sebab ada antara kawan yang gelakkan saya sebab tak ada telefon. Dipendekkan cerita, ketika sambutan hari lahir saya baru-baru ini, ibu bapa ajak keluar makan dan ketika itu memang tak sangka langsung dapat iPhone. “Ini kerana saya tidak pernah pun meminta daripada mereka untuk dibelikan telefon baharu memandangkan telefon lama rosak disebabkan kecuaian sendiri. Malah mereka pun kata ‘rosak tanggung sendiri’. “Bila dapat hadiah yang tak disangka-sangka, itu yang menyebabkan saya gembira dan muatnaik gambar di laman sosial untuk berkongsi perasaan tersebut, bukan untuk menunjuk-nunjuk,” katanya yang mendapat hadiah berupa iPhone 11 Pro Max daripada kedua orang tuanya. Telefon pintar iPhone 11 Pro Max yang diterima dari ibu bapanya ketika meraikan ulang tahun kelahiran baru-baru ini. Pia turut menafikan tanggapan sesetengah pihak yang menyifatkan ibu bapanya terlalu memanjakan anak sehingga sanggup menghadiahkan barangan mahal, apatah lagi dirinya masih menuntut di sekolah menengah. Menurut anak tunggal yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang ini, ibu dan bapanya yang masing-masing merupakan seorang jurutera dan pengurus di sebuah syarikat sebenarnya amat tegas khususnya berkaitan soal akademik dan pencapaiannya di sekolah. Antara komen netizen terhadap pekongsian gadis ini. “Ibu bapa saya tidak akan senang-senang memberikan hadiah. Sebaliknya ia hanya akan diberi sekiranya pencapaian saya dalam bidang akademik mencapai sasaran atau memuaskan. Contohnya, semasa Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), ibu dan bapa beritahu kalau nak dapat hadiah, perlu dapat 5A. “Malangnya saya hanya dapat 4A sahaja, jadi tak dapatlah hadiah. Tapi saya bertekad untuk melakukan yang terbaik sewaktu peperiksaan akhir di Tingkatan 1. Alhamdulillah saya berjaya dapat keputusan cemerlang, dan ibu bapa beri telefon iPhone 7 Plus sebagai reward,” ujarnya lagi. Dalam pada itu tambah Pia, pemberian hadiah atau ganjaran daripada ibu bapanya itu adalah sebagai salah satu cara untuk menzahirkan rasa kasih dan sayang terhadapnya yang merupakan satu-satunya zuriat mereka. “Ibu bapa saya tidak akan senang-senang memberikan hadiah. Sebaliknya ia hanya akan diberi sekiranya pencapaian saya dalam bidang akademik mencapai sasaran atau memuaskan. Contohnya, semasa Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), ibu dan bapa beritahu kalau nak dapat hadiah, perlu dapat 5A. NUR FEZRA ALEYA BASHIR AHMAD “Ibu bapa Pia selalu sibuk, pergi outstation… Jadi mungkin ini salah satu cara mereka untuk menyatakan rasa sayang kepada saya sebab tak dapat meluangkan masa bersama-sama selalu. “Mungkin ibu bapa orang lain pula ada banyak masa bersama keluarga dan anak-anak mereka. Apa yang boleh saya katakan, setiap ibu dan bapa ada cara mereka masing-masing untuk tunjukkan kasih sayang,” ujar gadis ini lagi. Bercerita lebih lanjut, Pia yang becita-cita mahu menjadi seorang pereka fesyen berkata, dia akan membalas kasih sayang, jasa dan pengorbanan yang dicurahkan ibu bapanya itu dengan menterjemahkannya menerusi keputusan yang cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kelak. “Sebelum ni masa percubaan, saya mendapat keputusan 6A. Mudah-mudahan saya dapat keputusan yang cemerlang dalam PT3 nanti sebagai balasan kepada ibu bapa saya. Dengan cara sebegini sahajalah saya mampu membalas jasa dan kasih sayang mereka, insyaAllah,” ujarnya lagi.