“DIA selalu tanya mama, bila nak potong, demikian cerita seorang ibu yang berkongsi penderitaan anak tunggalnya yang menghidap penyakit menyebabkan pergelangan tangannya membengkak dan menjadi kebiru-biruan. Shahidatul Akma Sharin, 26, berkata naluri keibuannya tersentak setiap kali Muhammad Awal Neddim Muhammad Shahril yang baru berusia empat tahun itu menangis dan mengadu kesakitan. Menurut Shahidatul yang juga suri rumah, Muhammad Awal Neddim yang disapa Awal itu menderita Hemangioma (Venous Malformation) iaitu sejenis penyakit salur darah tersumbat. ARTIKEL BERKAITAN: “Kami tengok betul-betul, jari kelingkingnya dah tinggal separuh” - Awas, pintu gril ada bahaya tersembunyi, kanak-kanak ini hancur semua urat! ARTIKEL BERKAITAN: Keriangan bertukar tragedi, dahi anak terbelah dihempap besi rosak di taman permainan- “Mama akan lawan kes ini” Berkongsi cerita dengan mStar, ibu muda ini berkata, penyakit anaknya itu dikesan sejak usianya lapan bulan. “Ketika itu, saya dan suami perasan ada satu ketulan di jari kelingking pada tangan sebelah kanannya. Masa itu ketulan tu kecil lagi tapi kami tetap bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. “Kami diberitahu ada risiko sekiranya mahu membuat pembedahan ketika itu kerana Awal masih bayi lagi. Ini kerana bimbang berlaku komplikasi pendarahan sewaktu pembedahan. Keadaan jari Muhammad Awal Nedim ketika dikesan mempunyai ketulan pada usia lapan bulan. “Pada mulanya, Awal tidak mengadu sakit sangat. Tapi bila bengkak di jari semakin membesar dan melarat hingga telapak tangan, dia kerap mengadu sakit. Dia hanya menangis kerana tidak dapat menggambarkan rasa sakit yang ditanggungnya sehingga bertanya mama, bila nak potong? “Hati ibu mana yang tidak sedih apabila anaknya mengadu sakit. Saya hanya mampu minta dia bersabar dan tunggu hingga cukup duit untuk mendapatkan rawatan di luar negara,” ujarnya yang kini menetap di Puncak Alam, Selangor. Ujar Shahidatul, setiap kali Awal mengadu kesakitan, dia hanya menyapu minyak bidara dengan harapan dapat meredakan kesakitan yang ditanggung anaknya itu. Menurut ibu muda ini lagi, dia sudah membawa anaknya untuk menjalani rawatan di hospital namun ujarnya, doktor tidak dapat memberi jaminan sekiranya tangan anaknya itu dapat diselamatkan atau terpaksa berdepan dengan risiko kudung. Muhammad Awal Neddim berdepan risiko dipotong pergelangan tangan ekoran penyakit salur darah tersumbat. “Doktor malah memberitahu, sekiranya pembedahan memotong pergelangan tangan dilakukan pun, risiko untuk penyakit tersebut menyerang kembali adalah 50-50. “Disebabkan itu, saya mahu mencari alternatif lain, kalau boleh nak elakkan tangannya daripada dipotong. Melalui pencarian, saya dapati ada sebuah pusat perubatan di Moscow, Rusia yang boleh merawat penyakit tersebut menerusi kaedah laser dan tidak perlu memotong tangannya. “Bagaimanapun, sudah tentu kos perubatan di luar negara menelan belanja yang amat tinggi. Saya pula hanyalah seorang suri rumah, manakala suami pula hanya bekerja di kilang. Mudah-mudahan dengan sumbangan yang disalurkan kami dapat memulihkan Awal,” ujarnya lagi. Dia hanya menangis kerana tidak dapat menggambarkan rasa sakit yang ditanggungnya sehingga bertanya, bila nak potong jarinya itu. Hati ibu mana yang tidak sedih apabila anaknya mengadu sakit. SHAHIDATUL AKMA SHARIN IBU Bercerita lebih lanjut, Shahidatul berkata disebabkan penyakit tersebut, pergerakan anaknya sedikit terhad dan perlu melakukan apa jua aktiviti menggunakan tangan kiri. “Kadang-kadang apabila berjumpa dengan rakan sebaya, dia menyorokkan tangan kanannya kerana malu. Apabila memikirkan masa depannya, bagaimana jika nak masuk sekolah kelak, bagaimana dia nak bekerja, semuanya membuatkan saya tidak boleh tidur malam. “Ibu mana yang sanggup lihat anaknya menderita. Sebagai ibu, sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk anak tunggal saya. "Bagi mereka yang membantu menghulurkan sumbangan dan mendoakan kesihatan Awal, saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga, semoga Allah membalas kebaikan anda semua,” ujarnya mengakhiri bicara. Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 016-2802454 (Shahidatul Akma).