“SUDAHLAH salah dia kerana masuk simpang secara tiba-tiba, tetapi pemandu itu salahkan saya pula untuk melarikan diri. Lebih teruk, langsung tak minta maaf,” demikian cerita seorang penghantar makanan (rider) GrabFood yang ditimpa kemalangan baru-baru ini gara-gara kecuaian seorang pemandu kereta. Berkongsi cerita dengan mStar, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ijal berkata, ketika kejadian pada tengah hari Rabu lalu, dia sedang dalam perjalanan menghantar pesanan makanan kepada seorang pelanggannya. ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu lain cuai, penunggang motosikal jadi ‘wanita besi’... patah tulang tengkuk, kepala ditebuk - “Bila fikir semula, saya kagum dengan diri sendiri” ARTIKEL BERKAITAN: Rider Foodpanda bukan saja hantar makanan ‘on time’, selamatkan perempuan cuba bunuh diri pun tepat pada masanya! “Ketika itu pukul 1.30 petang, saya baru saja mengambil pesanan di sebuah restoran makanan segera berhampiran Medan MARA untuk dihantar kepada seorang pelanggan di sebuah kondominium di tengah bandaraya Kuala Lumpur. “Ketika sedang melalui Jalan Raja Laut dan hampir tiba di sebuah persimpangan lampu isyarat, saya memperlahankan motosikal kerana lampu isyarat sedang merah. Secara tiba-tiba, muncul sebuah kereta yang keluar daripada simpang di kanan saya tanpa memberi signal. “Akibatnya, saya tidak sempat mengelak menyebabkan motosikal terperosok dalam bahagian kiri tayar kereta tersebut, dan saya terus terjatuh di atas jalan raya. Pemandu kereta yang merupakan seorang lelaki lingkungan 40-an keluar dari keretanya, dan terus menyalahkan saya yang didakwa menunggang dengan laju. “Secara logik, masakan saya bawa agak laju sedangkan lampu isyarat sedang merah dan saya sedang bergerak untuk berhenti di hadapan sebagaimana penunggang motosikal yang lain,” ujar lelaki berusia 22 tahun ini. Posting yang dimuat naik oleh Ijal mendapat perhatian netizen sehingga ia meraih 4,300 retweet. Menurutnya, mujur ada beberapa orang saksi yang tampil membantunya dan menerangkan situasi sebenar kepada pemandu kereta berkenaan. “Ketika itu, adegan bertekak berlangsung selama beberapa minit kerana pemandu kereta berkenaan asyik menyalahkan saya dan enggan mengakui kesalahannya. Dia mahu menang juga. Apabila saya ajak buat laporan polis, dia enggan dan menyuruh saya sahaja berbuat demikian,” kata Ijal. Kata Ijal lagi, pemandu kereta itu kemudian terus berlalu begitu sahaja meninggalkannya tanpa mengucapkan kata-kata maaf mahupun bertanyakan keadaan dirinya. “Alhamdulillah saya tidak mengalami cedera yang teruk pun. Cuma motosikal yang saya gunakan untuk mencari rezeki sahajalah yang teruk. Pedal clutch tangan patah, pedal brek rosak dan beberapa calar di bahagian body motosikal. “Mujurlah ada kawan-kawan rider yang lain datang tolong. Mereka membantu saya menunda motosikal ke bengkel berdekatan. Disebabkan beberapa kerosakan, motosikal jadi sukar bergerak dan berat. “Nak tunda guna kereta pikap, saya juga yang terpaksa keluarkan duit sendiri. Jadi mahu tak mahu, terpaksa juga tunda dengan motosikal rider lain,” ujar Ijal lagi. Ijal memuat naik gambar motosikalnya yang mengalami kerosakan sehingga patah clutch tangan dan gambar pemandu yang didakwa melanggarnya. Kata Ijal lagi, mujur pelanggannya bertimbang rasa dan memahami keadaannya yang ditimpa kecelakaaan pada ketika itu. Bercerita lebih lanjut, Ijal berkata selepas dia menguruskan motosikalnya di bengkel, dia kemudian membuat laporan polis dengan ditemani rakan. “Saya terpaksa menanggung sendiri kos untuk membaiki motosikal memandangkan pihak di sebelah sana enggan memberikan kerjasama. Mujurlah kosnya tidak begitu tinggi dan ia juga tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk dibaiki. Walaupun kos sekitar RM200, namun jika diikutkan, ia boleh digunakan untuk bayar komitmen saya yang lain,” katanya. Bercerita lebih lanjut, menurut Ijal yang juga seorang graduan Diploma Pengurusan Pelancongan, insiden tersebut merupakan yang pertama sejak dia bekerja sebagai penghantar makanan lebih enam bulan lalu. Mujur ketika itu tak bawa laju, kalau tidak, memang kaki saya terperosok dalam ruang tayar keretanya. Alhamdulillah, tubuh badan masih sihat untuk mencari rezeki. Sungguhpun tak terlalu lumayan, saya bersyukur hasil pendapatan cukup untuk orang bujang seperti saya IJAL PENGHANTAR MAKANAN “Sementara mencari kerja yang sesuai, saya cari rezeki dengan menjadi rider makanan secara sepenuh masa. Memang tak dapat dinafikan kerja sebagai penghantar makanan memang banyak risiko kerana sentiasa berada di atas jalan raya. Memang perlu sentiasa berhati-hati. “Mujur ketika itu tak bawa laju, kalau tidak, memang kaki saya terperosok dalam ruang tayar keretanya. Alhamdulillah, tubuh badan masih sihat untuk mencari rezeki. Sungguhpun tak terlalu lumayan, saya bersyukur hasil pendapatan cukup untuk orang bujang seperti saya,” ujarnya. Mengulas perihal perkongsiannya di media sosial, menurut Ijal, dia hanya sekadar mahu berkongsi pengalaman, di samping mahu membangkitkan kesedaran orang ramai mengenai betapa pentingnya mematuhi peraturan jalan raya. “Saya hanya cuba mahu sampaikan mesej, di mana sebagai pengguna jalan raya, kita tidak boleh mementingkan diri sendiri. Tak kira apa jua bangsa sekalipun, perlu ada sikap bertoleransi. Sekurang-kurangnya ucapkan perkataan maaf apabila buat salah. “Bagi yang memandu kereta pula, pandang-pandanglah cermin sisi, dan jangan lupa beri signal sebelum membelok. Gunakan sebaiknya signal yang ada, bukan main masuk sahaja,” ujarnya mengakiri bicara.