suria

Paha ‘meletup’ ketika main bola petanda kanser, perkongsian abang tentang adiknya cukup menyayat hati - “Sampaikan saya takut nak pejam mata untuk tidur”

Mohamad Haiqal Najmi disahkan mengalami sarcoma tahap empat dan menghembuskan nafas terakhir pada 26 November lalu.

KEHILANGAN insan yang disayangi memberi tamparan hebat kepada remaja ini malah turut meninggalkan kesan mendalam buat keluarganya.

"Kesedihan boleh diatasi, tetapi kenangan tak mungkin hilang," demikian luahan seorang abang selepas adiknya, Mohamad Haiqal Najmi Muhammad Zura menghembuskan nafas terakhir selepas didiagnosis kanser sarcoma Februari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Video tribute untuk arwah! Sembuh bahu kiri, pelajar VI maut kemalangan... bahu kanan pula patah - “Baiknya arwah masa hidup...” 

Tular satu video 'tribute' berdurasi 2:20 saat yang dimuatnaik oleh Mohamad Aiman Farhadan, di Twitter pada Rabu bagi mengenangkan pemergian arwah adiknya, Mohamad Haiqal Najmi pada usia 15 tahun.

Posting tersebut tular di Twitter.

Video tersebut mendapat perhatian ramai dengan 253,700 jumlah tontonan dan rata-rata netizen meluahkan rasa sebak.

Menurut remaja berusia 18 tahun ini, pada awalnya adiknya hanya mengalami bengkak di bahagian paha namun tidak menyangka dia disahkan menghidap kanser tahap empat.

"Arwah memang aktif bersukan terutama bola sepak dan pernah mewakili sekolah. Kaki arwah bengkak selepas perlawanan itu. Malah, ada kawan beritahu yang mereka terdengar sesuatu seperti 'benda meletup' dekat paha arwah.

"Tapi dia langsung tidak beritahu keluarga, sampailah bengkak tu makin besar dan masa bulan puasa baru-baru ini arwah selalu menangis mengadu sakit," katanya ketika dihubungi mStar.

Dikenali sebagai Aiman, dia berkata adiknya kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh bagi mendapatkan rawatan.

Rasa sayang saya pada dia sukar nak luahkan. Sampaikan saya takut nak pejam mata untuk tidur, saya sanggup berjaga risau kalau terjadi apa-apa. Tapi akhirnya adik tetap pergi tinggalkan kami semua.

MOHAMMAD AIMAN FARHADAN

ABANG

Namun jelasnya pihak hospital tidak dapat mengesan penyakit yang dialami adiknya walaupun ujian imbasan sudah dibuat.

"Selepas beberapa hari dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, adik dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk dapat khidmat doktor pakar di sana.

"Malangnya pada dua hari terakhir puasa doktor mengesahkan adik mengidap kanser tahap empat. Masa tu kami sukar terima kenyataan dan tidak percaya sebab sebelum ini kami sekeluarga langsung tak tahu tentang penyakit itu," kongsinya.

Gambar kenangan bersama arwah.

Kongsi Aiman lagi, melalui keputusan imbasan yang dilakukan di Hospital Pulau Pinang, doktor kemudiannya mengesahkan arwah mengalami sarcoma tahap empat dan ada ketumbuhan di bahagian pahanya.

Tambah anak kedua daripada lima beradik ini, adiknya turut mendapatkan rawatan susulan dengan melalukan kimoterapi sebanyak 21 kali seperti dinasihatkan oleh doktor.

"Sepanjang tempoh itu, atas nasihat doktor adik sempat mendapatkan rawatan susulan dengan menjalani rawatan kimoterapi sebanyak 21 kali di hopital tersebut.

"Malah sebelum melakukan kimoterapi, doktor ada hubungi adik untuk lakukan pembedahan pada pahanya untuk buang ketumbuhan itu. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar... dah kurang sikit sakit dia tu," luah Aiman.

Arwah (dua dari kanan) bersama keluarganya.

Bagaimanapun, keadaan menjadi serius apabila doktor mengesahkan kuman sudah merebak ke paru-paru.

Infeksi dari kuman merebak itu membuatkan saluran darah pada jantung tersumbat hingga menyebabkan jantung arwah gagal berfungsi dengan baik.

"Tapi siapa sangka Allah lebih menyayanginya. Adik pergi selepas waktu Asar pada pada 26 November lalu. Sedih dan tak sangka sebab ingat boleh baik. Yalah lepas macam-macam rawatan yang kami cuba. Sekarang kami sekeluarga perlu reda menghadapi ujian ini,” katanya.

Aiman berkata adiknya juga sempat membuat pembelian sepasang kasut, selipar, seluar serta beg secara atas talian sebelum menjalani rawatan susulan tersebut.

Malangnya, kesemua barangan yang dipesan tidak sempat dipakainya selepas arwah menghembuskan nafas terakhir.

Barangan yang dibeli arwah melalui platform atas talian belum sempat dipakainya.

"Adik ada beritahu saya yang dia ada pesan beberapa barang di Shopee. Dia cakap nanti lepas sihat dia nak pakai semua tu. Tapi tak sempat. Sayu hati bila tengok semua barang-barang yang dia pesan tu," katanya.

Anak kelahiran Ipoh, Perak ini berkata, adiknya juga sempat berkongsi cerita sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

"Setiap malam, adik memang tidur dengan saya. Perkara biasalah sebelum tidur adik selalu mengadu yang dia sakit, lepas tu dia selalu minta saya tolong urutkan dan picit-picit kakinya. Mungkin dia tak sakit sangat masa tu.

"Selain itu, adik selalu juga cerita dengan saya tentang dirinya, sekolah dan kawan-kawan dia. Rasa sayang saya pada dia sukar nak luahkan. Sampaikan saya takut nak pejam mata untuk tidur, saya sanggup berjaga risau kalau terjadi apa-apa. Tapi akhirnya adik tetap pergi tinggalkan kami semua," luahnya dengan sebak.

Arwah (kiri) bersama ayah serta adiknya.

Bercerita lebih lanjut mengenai Haiqal, Aiman menyifatkan arwah merupakan seorang yang baik dan menyenangkan selain mudah untuk didekati.

Disamping itu, Aiman turut meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada netizen yang sudi mendoakan untuk kesejahteraan arwah dan memberi kata-kata positif buat dia dan keluarga.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
arwah, sakit, keluarga

Artikel Lain