KEWUJUDAN laman sosial menawarkan banyak faedah kepada masyarakat pada masa kini. Selain menjadi medium untuk berhubung bersama kenalan serta berkongsi informasi, media sosial juga menjadi tempat buat sesetengah individu mencari pasangan hidup. Inilah yang dilakukan pemuda ini yang berani mengiklankan diri sendiri untuk mencuba nasib mencari jodoh di Twitter. ARTIKEL BERKAITAN: Video dating sebagai tanda sayang... Hasil suntingan pemuda ini buat ramai terpegun ARTIKEL BERKAITAN: “Setiap kali rasa nak kena, saya terus ke tempat selamat” - Lelaki tak pernah terfikir ada anxiety attack... tangan menggigil tiba-tiba Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda yang bernama Muhammad Luqman Hakim Abdul Hamid berkata, tujuannya memuat naik ‘iklan’ tersebut hanya sekadar suka-suka sambil mahu mencuba nasib. “Pada usia sekarang, saya terfikir juga untuk mencari pasangan. Pada mulanya saya rasa agak keberatan juga untuk upload, kemungkinan juga ia didorong oleh penyakit anxiety yang saya alami. “Saya sebenarnya seorang yang pemalu. Dan sebelum ini langsung tak pernah sertai atau daftar di mana-mana laman web berkaitan dengan jodoh. Jadi saya sekadar mencuba-cuba saja. Namun memang tidak disangka ia akan menjadi viral dan menerima banyak komen daripada netizen,”ujarnya. Perkongsian yang dimuatnaik oleh Muhammad Luqman di Twitter menjadi tular. Menurut pemuda berusia 26 tahun ini, selain mahu mencuba nasib, faktor lain yang mendorong dia berbuat demikian adalah kerana perasaan mahu berpasangan apatah lagi melihat ada antara adik-adiknya sudah mempunyai pasangan sendiri. “Ada juga rasa ingin berteman. Tetapi jika tidak berteman pun tidak mengapa, sekadar berkawan dan menambah kenalan,” kata pemuda yang berasal dari Melaka ini. Terdahulu, pemuda ini memuatnaik satu posting di Twitter berupa poster dengan tajuk ‘Mencari Zaujah’, selain menyenaraikan ciri-ciri dirinya beserta kriteria wanita yang diinginkannya. Perkongsian tersebut sehingga kini meraih melebihi 2,600 ulang kicau selain dihujani ratusan komen netizen. Muhammad Luqman berkata niatnya memuatnaik perkongsian di Twitter sekadar untuk mencari kenalan. Ada antara netizen yang memuji pendekatan berani pemuda berkenaan, namun ada juga yang mengecam tindakannya dan menyifatkan pemuda itu ‘terlebih yakin’. Maklum dengan reaksi negatif sedemikian, Muhammad Luqman berkata dia pada mulanya berasa agak sedih, namun enggan terlalu memikirkan perkara berkenaan. “Pada saya, kalau ada antara netizen yang tidak suka, abaikan saja perkongsian saya itu. Memang mulanya agak down juga tapi saya malas nak ambil kisah sangat. “Tapi tengok keadaan nanti bagaimana, kalau tak jumpa calon atau tak dapat sambutan, mungkin saya akan padam perkongsian itu selepas beberapa hari,” ujar Muhammad Luqman. Antara komen netizen di Twitter yang memberi maklum balas terhadap perkongsian Muhammad Luqman. Bagaimanapun Muhammad Luqman mendedahkan, setakat hari pertama perkongsiannya di laman sosial itu, dia menerima lebih dari 100 pesanan menerusi Direct Message (DM). “Dalam ramai-ramai yang DM, ada jugalah yang saya berkenan. Ada dalam dua tiga orang yang menepati ciri-ciri yang saya senaraikan. Gadis-gadis tersebut ada dari Melaka, Kelantan dan Kuala Lumpur. Malah ada juga yang beri gambar mereka. “Perancangan saya, saya nak kenal dulu sebagai kawan sebelum mengenali dengan lebih rapat. Saya menerima sahaja sesiapa yang sudi menjadi kawan, asalkan boleh menerima diri ini seadanya,” katanya merujuk kepada sindrom kebimbangan melampau yang dihadapinya sekarang. Pada usia sekarang, saya terfikir juga untuk mencari pasangan. Pada mulanya saya rasa agak keberatan juga untuk upload, tetapi kemungkinan juga ia didorong oleh penyakit anxiety yang saya alami. MUHAMMAD LUQMAN HAKIM ABDUL HAMID “Ada yang DM, mereka tanya mengenai penyakit saya dan saya menerangkan kepada mereka mengenainya. Mungkin secara tidak langsung, ia boleh menimbulkan kesedaran kepada orang lain juga,” ujarnya yang masih lagi menerima rawatan mengenai penyakitnya itu. Dalam pada itu ujar anak ketiga daripada enam adik beradik ini lagi, adalah tidak salah untuk mana-mana individu membuat perkongsian terbuka di laman sosial dalam usaha untuk mencari pasangan hidup. “Tidak salah, namun ia bergantung kepada individu itu sendiri. Sekiranya ada keberanian, boleh saja muatnaik di laman sosial,” ujarnya mengakhiri bicara.