MALANG tidak berbau. Itulah situasi dilalui seorang pemuda apabila didatangi beberapa individu ketika motosikalnya tiba-tiba rosak di lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dari Cheras menghala ke Mid Valley pada Rabu lalu. Perkongsian seorang pemuda mengenai pengalaman dia menjadi mangsa 'pomen penipu' di Twitter menjadi tular dan mendapat pelbagai respons dalam kalangan netizen. Rupa-rupanya ramai mendedahkan mereka pernah melalui insiden sama sebelum ini. ARTIKEL BERKAITAN:'Temperature' kereta tiba-tiba naik, isi air tak juga penuh... “Ada bau macam scammer” ARTIKEL BERKAITAN: Setuju nak beli, nak membayar banyak helahnya! Penjual handphone dedah perangkap scammer, “Dulu ABC, kini sistem pemindahan berjadual” Malah ramai yang marah dengan tindakan sekumpulan enam lelaki yang mahu membantunya tetapi dengan kos yang tidak masuk akal. Paparan skrin posting Khairul Asyraff Qaiyyum di Twitter. Setakat ini posting itu mendapat 9,700 ulang kicau dan 5,100 tanda suka. Menurut Khairul Asyraff Qaiyyum, motosikalnya mengalami masalah terputus timing belt semasa dalam perjalanan mahu menghadiri temuduga bersama seorang sahabatnya di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur. Namun dia memberitahu tiba-tiba didatangi enam lelaki yang kebetulan sedang membaiki sebuah kereta yang turut rosak di lokasi sama. "Mereka datang dekat motor saya dan tengok apa problem. Saya ingatkan mereka boleh tolong dan saya tanyalah kalau repair berapa? Mereka kata RM280. "Jadi saya pun call parents terlebih dahulu. Masa call tu mereka dah buka siap buka screw motor tu semua. Semuanya berlaku tanpa persetujuan saya," katanya kepada mStar. Ceritanya lagi, kesemua lelaki itu kelihatan marah apabila dia memberitahu bahawa seorang rakan dalam perjalanan untuk membantunya. "Bila saya cakap tak payah sebab ada kawan dalam perjalanan nak datang mereka macam bengang. "Bila saya tanya kalau upah sekali berapa? Mereka kata semua sekali RM400 jadi memang saya tak bagilah," katanya. Motosikal yang mengalami kerosakan pada timing belt. - Gambar hiasan Malah pemuda berusia 17 tahun itu berkata dia terkejut apabila lelaki tersebut meminta upah sebanyak RM40 untuk memasang skru yang sudah dibuka. "Bila saya suruh mereka pasang screw tu semula mereka tak nak dan salah seorang daripada mereka minta RM40 pula untuk kos buka screw tu padahal saya tak suruh pun. "Saya cakaplah tak ada duit sebab saya kerja pun tak lagi. Lepas tu mereka macam paksa saya juga. Jadi saya pun bagi RM20 demi nak halau mereka. "Walaupun mereka kata tak cukup, saya malas nak layan. Saya biar je sampai mereka pergi dan tunggu kawan saya sampai," katanya. Mereka datang dekat motor saya dan tengok apa problem. Saya ingatkan mereka boleh tolong dan saya tanyalah kalau repair berapa? Mereka kata RM280. KHAIRUL ASYRAFF QAIYUMM. Semasa menunggu rakannya tiba, pemuda yang mesra disapa Qaiyyum itu sempat berborak dengan pemandu kereta rosak yang menjadi mangsa 'pomen penipu' itu. "Saya tanyalah berapa dia kena bayar. Dia kata kena transfer RM1,000 dekat geng tu. Mereka bawa dia pergi bank barulah dia boleh lepas. "Saya tiba-tiba terfikir dah berapa ramai jadi mangsa geng ni sebab tu mereka berani," katanya. Susulan insiden itu, Qaiyyum menasihati orang ramai supaya berhati-hati semasa berdepan situasi kereta rosak di tepi jalan. "Jika kenderaaan korang rosak tepi jalan terus call member atau kenalan dan tunggu sampai mereka datang. Jangan keluar kereta terutamanya perempuan. Lagi bahaya sebab mereka ramai. Respons netizen berkaitan posting Qaiyyum yang tular di Twitter. "Tolong jadi berani sikit untuk lawan jika mereka buat apa-apa terus call polis. Jangan bagi chance atau hulur duit sebab nanti makin menjadi-jadi mereka dapat duit dengan tipu orang macam tu," katanya. Namun pemuda berasal dari Kajang itu turut meluahkan rasa bersyukur kerana dia sempat menghadiri temuduganya pada hari kejadian. "Alhamdulillah sempat pergi interview sebab orang yang interview tu datang lambat dan saya dapat kerja situ. "Jadi pengajarannya Allah beri kita sedikit dugaan dan beri kita nikmat yang lain cuma kita kena bersabar," katanya. Malah di sebalik insiden itu, Qaiyyum turut mendedahkan urusan menunda motosikalnya itu ke Kajang turut dipermudahkan. "Masa nak balik kawan saya yang tunda saya sampai Kajang. Time perjalanan itu ada pakcik yang tolong tunda sekali dan ada posmen yang tolong jaga belakang angkat tangan supaya kereta semua beri laluan. "Jadi adillah. Saya pergi jumpa orang jahat dan time balik saya jumpa orang yang baik dan Allah permudahkan semua. Bersyukur sangat. Banyak perkara saya belajar melalui pengalaman ini," katanya.