suria

Takut tengok! Dahan sebesar paha tembus cermin kereta, nyaris terjah muka - “Ratusan kenderaan yang lalu, ditakdirkan aku mengharungi ujian ini seorang diri”

Seorang lelaki mengalami pengalaman ngeri apabila sebatang dahan pokok yang patah menembusi cermin keretanya. Fofo: FB Mohd Saiful Rusdy Rozlan.

BERPANTANG maut sebelum ajal!

Itulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan insiden yang menimpa seorang lelaki yang terselamat selepas sebatang dahan patah menembusi cermin keretanya di bahagian depan.

Menurut perkongsian Mohd Saiful Rusdy Rozlan di Facebook, insiden berlaku pada pagi Isnin lalu ketika dia sedang melalui jalan Serdang-Kulim.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu lain cuai, penunggang motosikal jadi ‘wanita besi’... patah tulang tengkuk, kepala ditebuk - “Bila fikir semula, saya kagum dengan diri sendiri”

ARTIKEL BERKAITAN: Darah keluar banyak sebab salah pasang tiub, doktor kata ‘tak ada masalah’... balik rumah isteri nak pitam tengok suami terketar tahan sakit

Menerusi video yang dikongsikan di laman sosial, Mohd Saiful berkata dahan yang menembusi keretanya itu adalah dari pohon pokok mati di bahu jalan tersebut.

“Pokok ini sudah mati, dahannya yang besar jatuh dan mengenai kereta saya. Naya betul," katanya dalam video tersebut.

“Kalau sesiapa yang lalu jalan Serdang-Kulim minta lebih berhati-hati dengan keadaan jalan di sana. Selain jalan-jalan berlubang, pokok-pokok di kiri dan kanan jalan juga kena jaga-jaga,” tulisnya.

Perkongsian yang dimuat naik oleh Mohd Saiful di Facebook mengenai insiden ngeri yang menimpanya.

Sebelum ini Mohd Saiful memuatnaik perkongsian di laman Facebook menceritakan mengenai insiden yang menimpanya.

Dia turut memuatnaik gambar hadapan cermin keretanya yang ditembusi dahan pokok sebesar paha orang dewasa tepat di bahagian pemandu.

Dia terselamat dalam insiden tersebut, bagaimanapun cermin keretanya mengalami kerosakan teruk khususnya pada bahagian hadapan.

“Alhamdulillah saya selamat dari sebarang kecederaan. Cuma keretalah kena tahan satu bulan,” tulisnya.

Sementara itu dalam satu posting berasingan, Mohd Saiful menyifatkan dia seakan-akan diberi peluang kedua untuk hidup bagi memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.

Kedudukan dahan yang menembusi cermin hadapan dan hanya beberapa jengkal daripada jarak kepala pemandu.

“Apa yang terjadi hari ini mungkin peluang kedua yang diberi untuk memperbaiki diri.

“Apa yang terjadi hari ini adalah bukti yang diri ini sentiasa diperhati.

“Apa yang terjadi hari ini adalah pengajaran lebih kepada diri sendiri. Dalam ratusan kenderaan yang melalui jalan tersebut, ditakdirkan untuk aku mengharungi ujian ini seorang diri. Mungkin ini hanyalah jentikan kecil untuk aku lebih sedar dan mendalami ilmu kehidupan yang hakiki,” tulisnya.

Dalam pada itu tambah Mohd Saiful, pihak berwajib sewajarnya membuat pemantauan dan penyelenggaraan agar insiden yang sama tidak berulang kepada pengguna jalan raya yang lain.

Mohd Saiful memuat naik gambar dari bahagian luar keretanya, dan juga pokok mati di tepi jalan yang menjadi punca kepada insiden yang menimpanya.

“Minta panjangkan berita ini agar semua orang lebih berjaga-jaga selepas ini. Tunggu pihak berkuasa buat kerja tak tahulah bila lagi,” tulisnya.

Dalam pada itu, rata-rata kenalan dan netizen turut melahirkan rasa lega kerana lelaki tersebut terselamat dalam insiden ngeri itu.

“Betul-betul kepala dia tembus tu, Alhamdulillah bro selamat,” tulis seorang pelayar.

“Perkongsian yang membuatkan semua untuk saling beringat. Nasib baik tak jadi apa-apa,” komen seorang pelayar lagi.

“Allahu takut tengok. Alhamdulillah hang (kamu) tak ada apa-apa. Sabar banyak-banyak, ada hikmah di sebalik semua yang berlaku,” tulis pelayar yang lain pula. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
dahan, ujian, Kulim, Serdang, patah, pokok mati

Artikel Lain